Petikan dari sumber berita;
Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa, pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum berlaku kemalangan.
“Bas dipandu dalam keadaan tidak stabil, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian,” dakwanya.
Apapun, aku pasti semua penumpang pengangkutan awam seperti ini telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemandu yang diamanahkan untuk menakhoda perjalanan mereka ke destinasi yang dihajati. Tetapi dek kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dengan panduan keselamatan yang telah digariskan, maka tragedi seperti ini berlaku dan terus berlaku.
Yang menjadi mangsa, para penumpang. Kepulangan yang dinanti keluarga tersayang, cuma disambut dengan air mata penuh duka, melihat jasad yang telah kaku tidak bernyawa.
Mungkin sehari dua lagi perkara ini akan lenyap dari ingatan kita semua. Namun buat keluarga mangsa yang terlibat, ia akan menjadi noktah hitam dalam hidup mereka. Buat semua pengusaha pengangkutan awam, terutamanya pemandu yang menjadi tonggak utama, jadikanlah nahas ini sebagai iktibar. Yang dipegang erat dalam hati..
Sunday, 27 December 2009
:: Bas terbabas; takziah buat semua mangsa..
Sunday, 6 December 2009
:: Selamat Pengantin Baru..
Perjalanan ke rumah pengantin di Raub, Pahang tidak membosankan sama sekali. Pemandangan indah di lebuhraya Karak membuai rasa. Bukit-bukau yang dilitupi kabus membuatkan mata tidak jemu memandang. Hampir dua jam perjalanan, kami sampai di sana.
Seronok bertemu rakan lama. Walaupun kami dulu bersahabat di usia yang masih mentah (ketika zaman sekolah menengah), dan kemudiannya terpisah oleh jarak dan masa, namun kenangan-kenangan manis dulu yang mengukuhkan persahabatan kami.
Sama cantik, sama padan, kupanjatkan doa agar mereka bahagia sehingga ke anak cucu. Ops, sampai cucu sahajakah? Bagaimana pula bila sudah bercicit? Ada yang membuat humor. Semua pasangan kalau boleh mahu kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Moga begitulah hendaknya..
Minggu depan pula majlis perkahwinan sepupuku. Lazimnya jika majlis yang melibatkan keluarga sebegini, kita akan sama-sama 'turun padang' membantu serba-sedikit persiapan majlis tersebut. Bila ramai-ramai berkumpul, di situlah kemeriahan dapat kita rasai.
Bagaimana dengan kalian? Khabarnya ada seorang dua teman blogger yang akan naik pelamin dalam masa yang terdekat. Tahniah aku ucapkan dan terima kasih kepada mereka yang menjemput. InsyaAllah aku akan menghadirkan diri. Selamat Pengantin Baru dan moga majlis tersebut akan menjadi saat terindah pada diri anda dan pasangan..
Friday, 4 December 2009
:: Kataku pada Malam
Malam itu indah
Malam itu waktu untuk kita memejam mata
Memutar mimpi-mimpi indah
Jangan takut jika mimpi itu menyesakkan dada
Jika kau bangun lagi esok hari
Tersenyumlah
Kerana mungkin ada lagi malam-malam indah untukmu
di kemudian nanti
Malam
Balutilah aku dengan selimutmu
Aku tak dapat melihatmu yang gelap pekat
Tapi aku dapat merasakan
nyaman yang kau beri
Maka ucapku.......,
Terima kasih Malam...
Thursday, 26 November 2009
:: Aku sudah siap!
Di sebalik kegembiraan hari yang mulia, kesedaran dan keinsafan yang terlahir dari dalam diri itu yang lebih utama.. Salam Aidiladha buat teman semua..
Sunday, 22 November 2009
:: Inginku kembali..
Tuesday, 20 October 2009
:: cerita berita
KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur bunyi ekzos bising, dua sahabat mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditetak sekumpulan Mat Motor yang bengang dengan teguran itu di kawasan flat Desa Puteri, Seri Petaling di sini, awal pagi semalam.
JEMPOL: Bagaikan dirasuk, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menetak ibu dan adiknya di rumah mereka di Felda Palong 4, Gemas, dekat sini.
TANAH MERAH: Hanya kerana seekor kerbau yang baru dibeli, seorang warga emas cedera parah dan koma selepas kepalanya ditetak dengan sabit rakan sekampung dalam kejadian di Kampung Salak, dekat sini, semalam.
Tuesday, 6 October 2009
:: Buah hati baru..
Bagi yang berminat, antara jenama lain mini laptop yang terdapat di pasaran; Asus, Samsung, Sony, HP, Lenovo, Toshiba, dan banyak lagi. Pilihlah saja yang mana berkenan di hati.. : )
Sunday, 4 October 2009
:: Warna-warni Aidilfitri..
Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih punya kesempatan menghirup suasana bahagia di Aidilfitri kali ini.. Belum terlewat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua teman, semoga ceria dan gembira di sisi keluarga..
Kuala Lumpur masih meriah dengan majlis keraian sempena lebaran yang belum berakhir. Aku dan seisi keluarga sudah pun berkunjung ke beberapa acara rumah terbuka yang diadakan oleh sanak saudara. Setahun sekali berkesempatan berkumpul beramai-ramai, memang sesuatu yang menyeronokkan.
Namun begitu, dalam suka ada duka. Sedang kita dibaluti kegembiraan, jangan pula dilupa pada mereka yang tidak dapat merasa apa yang sedang kita rasa ketika ini. Kenang saja peristiwa bencana alam yang berlaku di beberapa negara jiran baru-baru ini. Menyedihkan, dan moga dapat kita utuskan doa agar Tuhan menguatkan hati mereka.. Semua ini peringatan buat kita dan sama-samalah kita renungkannya..
Akhir kata,
Salam Lebaran, & selamat malam...
Friday, 18 September 2009
:: Salam Lebaran...
Lebaran menjelang tiba.. Salam Aidilfitri buat semua teman dan pengunjung yang singgah di teratakku ini. Salah dan silap, andai terlanjur kata kumohon kemaafan.. Moga gembira dan berbahagia di Aildilfitri.. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin..
p/s: Malam ini aku akan berangkat pulang ke kampung Atuk di Endau,Rompin bersama seisi keluarga. Doakan perjalanan kami moga selamat sampai ke destinasi.. Jumpa lagiii.. Assalamualaikum..
:: credits to azreena.zafian's photostream@flickr.com
Tuesday, 8 September 2009
:: Sembang-sembang raya..
-Kuih raya 'tunjuk' atau buat sendiri?
-Ucapan melalui SMS lebih jimat dari berutus kad raya?
-Duit raya RM1 masih relevan kan...? : )
One Drop Perfumes WOMEN Celebrities' Special
Saturday, 5 September 2009
:: Dua minggu sudah...
Diriwayatkan dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas raldhiallahu 'anhuma : "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan; saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur'an.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang paling dermawan, juga paling mulia, paling berani dan amat sempurna dalam segala sifat yang terpuji; kedermawanan beliau pada bulan Ramadhan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini. Berbagai pelajaran yang dapat diambil dari berlipatgandanya kedermawanan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di bulan Ramadhan :
1. Bahawa kesempatan ini amat berharga dan melipatgandakan amal kebaikan.
2. Membantu orang-orang yang berpuasa dan berzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka ia memperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang.
Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam beliau bersabda: "Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya. " (HR. Ahmad dan At-Tirmidzl).
3. Bulan Ramadhan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan dari api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar. Allah Ta'ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah nescaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan. Balasan itu adalah sejenis dengan amal perbuatan.
4. Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama termasuk sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadits Ali radhiallahu 'anhu, bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luamya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. " Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badwi seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,? jawab beliau: "Untuk siapa saja yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan solat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. " (HR. At-Tirmidzi dan Abu Isa berkata, hadits ini gharib)
Semua kriteria ini terdapat dalam bulan Ramadhan. Terkumpul bagi orang mukmin dalam bulan ini; puasa, solat malam, sedekah dan perkataan baik. Kerana pada waktu ini orang yang berpuasa dilarang dari perkataan kotor dan perbuatan keji. Sedangkan solat, puasa dan sedekah dapat menghantarkan pelakunya kepada Allah Ta 'ala.
5. Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan dari api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi solat malam. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Puasa itu merupakan perisai bagi seseorang dari api Neraka, sebagaimana perisai dalam peperangan" (Hadits riwayat Ahmad, An-Nasa'i dan Ibnu Majah dari Ustman bin Abil-'Ash).
Dan dalam hadis Mu'adz radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api" (Hadist riwayat At-Tirmidzi dan katrrnya. "Hadits hasan shnhih. ")
6. Dalam puasa, tentu terdapat kekeliruan serta kekurangan. Dan puasa dapat menghapuskan dosa-dosa dengan syarat menjaga diri dari apa yang mesti dijaga. Padahal kebanyakan puasa yang dilakukan kebanyakan orang tidak terpenuhi dalam puasanya itu penjagaan yang semestinya. Dan dengan sedekah kekurangan dan kekeliruan yang terjadi dapat terlengkapi. Kerana itu pada akhir Ramadhan, diwajibkan membayar zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa dari perkataan kotor dan perbuatan keji.
7. Orang yang berpuasa meninggalkan makan dan minumnya. Jika ia dapat membantu orang lain yang berpuasa agar kuat dengan makan dan minum maka kedudukannya sama dengan orang yang meninggalkan syahwatnya kerana Allah, memberikan dan membantukannya kepada orang lain.
Untuk itu disyari'atkan baginya memberi hidangan berbuka kepada orang-orang yang berpuasa bersamanya, kerana makanan ketika itu sangat disukainya, maka hendaknya ia membantu orang lain dengan makanan tersebut, agar ia termasuk orang yang memberi makanan yang disukai dan kerananya menjadi orang yang bersyukur kepada Allah atas nikmat makanan dan minuman yang dianugerahkan kepadanya, di mana sebelumnya ia tidak mendapatkan anugerah tersebut. Sungguh nikmat ini hanyalah dapat diketahui nilainya ketika tidak didapatkan. (Lihat kitab Larhaa'iful Ma'arif, oleh Ibnu Rajab, hlm. 172-178.)
Semoga Allah melimpahkan taufik-Nya (kepada kita semua). Salawat dan salam semoga senantiasa dilimpahkan Allah kepada Nabi kita Muhammad, segenap keluarga dan sahabatnya.
Monday, 17 August 2009
:: Keutamaan Ramadhan
Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )
Keutamaan Ramadhan
Terdapat puluhan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan puasa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini. Antara Fadhilat dan Kelebihan Berpuasa di bulan Ramadhan;
1. Pintu Langit dibuka
2. Pintu-pintu Syurga dibuka
Fadhilat yang lain-lain
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaannya oleh Allah SWT.
3. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak.
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah SWT.
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga.
6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan seribu tujuh ratus kebaikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.
Amal Ibadah di Bulan Ramadhan
Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan, antaranya ialah:
1. Solat sunat Tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil.
6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah SWT.
7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.
Thursday, 13 August 2009
:: Hilangnya Sebutir Permata Rabbani..
Wednesday, 12 August 2009
:: Cencaluk meletup..!
Lantas aku menoleh dan ku lihat Kak Fiza sudah ber'mandi' cencaluk. Dan lebih melucukan, bila ku pandang ke sekeliling, kelihatan palitan cencaluk di sana-sini. Siling dapur yang paling comot. Tak sangka cencaluk itu mampu terbang sampai ke atas sana..!
:: credits to tolahah's photostream@flickr.com
Thursday, 6 August 2009
:: Viva Elite
Pandangan peribadiku; model baru ini tampak lebih kemas dan bergaya. Walaupun begitu, aku lebih menggemari rekabentuk bahagian hadapan model yang lama. Namun, ia masih berbaloi kerana banyak elemen yang telah dipertingkatkan mutunya. Tentang warna pilihanku pula, samada putih, ataupun biru tua. Putih mungkin menampakkan saiz kereta 'comel' ini kelihatan lebih besar... : )
Emm, doakanlah moga hajatku ini tercapai.. InsyaAllah...
p/s: Jauh di lubuk hati masih tetap mengidam yang ini....... (masih jauhhhh lagi..) :D
Tuesday, 4 August 2009
:: Bukan demam biasa..
Tuesday, 28 July 2009
:: Petua lapan 'P'..
Puji – Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.
Peluk – Pasangan suami isteri hendaklah selalu memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu belaian penuh kasih sayang.
Penghargaan – Antara yang patut dilakukan amalan memberi hadiah yang boleh menambah kasih sayang.
Perhatian – Aspek ini mesti diberi penekanan kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.
Persefahaman – Sebagai manusia berkerjaya, ia memerlukan pasangan lebih bertolak-ansur dan memahami kerjaya masing-masing.
Pergaulan – Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan rasa cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.
Percutian – Harus merancang percutian berdua-duaan dengan pasangan di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.
Permohonan – Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.
Wednesday, 22 July 2009
:: 'Berlian'..
Jika berhajat mencari yang indah bak berlian, carilah di kedai-kedai perhiasan.. sebaliknya jika ingin memungut sampah yang tidak berguna, keluar saja ke mana-mana akan terjumpalah ia di pinggir jalan..
Sunday, 19 July 2009
:: Bergembira di Ladang Ostrich.. ^_^
Tamat sesi lawatan di kilang kristal kami bergegas menyambung perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Masing-masing memahat kemas cerita dan pengalaman yang berharga di lipatan memori, untuk diceritakan kepada keluarga tersayang. Kira-kira jam 4 petang, kami semua selamat tiba di sekolah dan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing.
Kesimpulannya, kanak-kanak wajar diberi peluang menyertai lawatan sebegini bersama teman dan para guru kerana ini akan mendidik mereka cara untuk berdikari, selain memantapkan kebolehan berkomunikasi dalam menyempurnakan setiap aktiviti yang berlangsung di destinasi lawatan.
Setiap tahun pihak sekolah kami akan menganjurkan lawatan tahunan, dan destinasi tahun depan pastinya lebih menarik..! Ku akhiri catatan pengalaman ini dengan senyuman... ^_^
Friday, 17 July 2009
:: Si hitam manis, kesukaanku..
Friday, 10 July 2009
:: Bahasa kita apa salahnya...
Kerjaya sebagai guru membuatkan fikiranku berjalan sepanjang hari. Mulut tak henti-henti berbicara, bersoal jawab dengan anak-anak kecil yang semuanya petah belaka. Tiba saja di rumah, usai urusan segala, hendak bercerita panjang di sini kadangkala aku kehabisan ilham. Namun begitu, minatku untuk menulis masih sama seperti dulu. Aku akan tetap ada, walaupun dijarak oleh masa.
Emm, antara yang menarik minggu ini dan aku kira ada bersangkut paut dengan kerjayaku; pengumuman pihak kerajaan mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di mana ia akan dimansuhkan berkuat kuasa pada tahun 2012. Semuanya akan kembali seperti dulu, segalanya diajar dalam Bahasa Malaysia. Apa pendapat kalian..?
Sebagai guru Sains dan Bahasa Inggeris, aku agak bersetuju dengan langkah ini. Aku melihat kepada hasil kajian dan pemantauan Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak ia dimulakan yang mana ia menunjukkan penurunan prestasi dalam pencapaian murid. Yang jelas, tidak semua murid dapat mengikuti sistem ini dengan baik terutamanya murid dari lingkungan luar bandar yang tidak mendapat pendedahan meluas dalam aspek penggunaan Bahasa Inggeris.
Sebagai contoh, di dalam kelas, walaupun aku mengajar dalam Bahasa Inggeris, namun dalam sesi soal jawab bersama murid, seringkali saja aku perlu menerangkan kembali maksud bagi sesetengah ayat menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengelakkan kekeliruan mereka. Bukan mereka tidak dapat menerima Bahasa Inggeris, malah mereka memberi reaksi yang positif, namun sokongan Bahasa Malaysia itu turut penting bagi membantu meningkatkan pemahaman mereka dalam subjek yang terlibat.
Sarananku (sekadar pendapat), aplikasikan dwi-bahasa. Selain sesi pembelajaran menjadi lebih menarik, minda pelajar juga akan turut berkembang. Misalnya, semasa sesi penerangan, gunakan Bahasa Malaysia, dan ketika berinteraksi dengan murid semasa sesi latihan mahupun eksperimen, bertuturlah dalam Bahasa Inggeris. Aku akui murid sekarang semakin bijak, dan mereka dapat menerima kaedah ini.
Kesimpulannya, kita lihat dulu perkembangan seterusnya buat tahun-tahun yang mendatang. Harapanku, anak-anak kecil dapat memupuk sifat cintakan bahasa ibunda, dan membesar menjadi seorang individu yang berfikiran terbuka dalam menuntut ilmu. InsyaAllah.
p/s: Buat masa ini aku terus berbahasa Inggeris kerana pemansuhannya lambat lagi.. 2012..! :D
Monday, 29 June 2009
:: Janganlah bersedih..
QURAN MENJAWAB:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan:
Kami telah beriman (I am full of faith to Allah), sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3
2. KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
-Surah Al-Baqarah ayat 216
3. KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB:
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
-Surah Al-Baqarah ayat 286
4. KITA BERTANYA : KENAPA RASA KECEWA?
QURAN MENJAWAB:
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.
-Surah Al-Imran ayat 139
5. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB:
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
6. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
-Surah Al-Baqarah ayat 45
7. KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.
-Surah At-Taubah ayat 111
8. KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB:
Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.
-Surah At-Taubah ayat 129
9. KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
QURAN MENJAWAB:
..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.
-Surah Yusuf ayat 12
:: Ingat padanya..
Friday, 26 June 2009
:: Noktah Yang Ternama..
Michael Jackson meninggal dunia. Aku tahu khabarnya melalui berita yang disampaikan oleh Paknil di radio Era pagi tadi. Begitu ramai yang menggilai Raja Pop itu, dan sudah pasti para peminatnya di seluruh dunia begitu sedih dengan pemergiannya yang boleh dikatakan mengejut.
Begitulah, bila ajal telah datang menjemput, kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedetik pun. Kita perlu akur yang mana usia itu bukanlah satu kayu pengukur selama mana kita akan hidup di dunia pinjaman sementara ini.
Perjuangan Michael Jackson dalam industri muzik boleh dibanggakan. Banyak lagu-lagunya mampu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia. Ada 'semangat' barangkali. Lagu Earth Song ini ku pilih sebagai salah satu karyanya yang terbaik. Bercerita tentang kemusnahan dunia, Michael Jackson menyampaikannya dengan penuh penghayatan.
~Salam perpisahan yang terakhir buat beliau.. Ada yang mengatakan beliau telah memeluk Islam sekitar tahun 2008 dan menukar namanya kepada Mikaeel. Wallahua'alam.. Meninggal dunia dalam Islam adalah satu keberuntungan buat beliau, begitulah hendaknya..
Sunday, 21 June 2009
:: Bak laut..
:: Andalah hero di hati mereka...
Selamat Hari Bapa...
Tuesday, 26 May 2009
:: Yang tidak terlupakan..
"Tolong tengokkan adik, mak nak memasak." pesan emak.
"Kakak, ambilkan botol susu adik.." kita juga akur.
Dan agak berat juga jika kita diminta mendodoi adik tatkala teman sudah menunggu di luar untuk mengajak bermain. Oh, dalam pada merungut, diselesaikan juga dengan sebaik mungkin.
Hatta jika adik menangis tak semena-mena pun kadangkala kita yang dipersoalkan, umpamanya kita telah berbuat sesuatu yang menyakiti adik.
Walaupun sesekali timbul perasaan negatif terhadap adik-beradik akibat perselisihan faham, esok lusa pasti kasih bertaut semula. Bermasam muka tidaklah lama, kecuali egois yang wujud di kala dewasa saja yang seringkali menggugat hubungan silaturrahim ini.
Begitulah antara kenangan yang sinonim dengan kisah hidup kita dalam sebuah keluarga. Bila menginjak dewasa, hubungan menjadi bertambah kompleks dan kita juga pasti sudah mengetahui hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.
Di sini akan wujud toleransi dan sikap bertolak ansur. Kasih sayang inilah yang amat berharga bagi kita. Sesuatu yang bernilai dan tidak dapat ditukar ganti.
Friday, 22 May 2009
:: Bersama anak-anak..
p/s: Tugas yang menyeronokkan. Pasti sedih jika perlu bertukar angin kelak..
Monday, 18 May 2009
:: Cerita yang sudah lepas..
Salam.. aduhai.. menyepi buat seketika.. bila lama tak menulis mulalah hati rasa janggal! : )
Komitmen untuk berblog ini bukan mudah rupanya.. Keterbatasan waktu membuatkan kita tak sempat untuk berbicara walaupun hati masih selalu teringat pada segala yang menarik di ruangan ini. Mujur semangat masih belum padam, maka gagah jugalah jari-jemari menjamah papan kekunci untuk mencatat sesuatu untuk ingatan diri sendiri.
Cerita semalam.
Aku berkunjung ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 (K3G) yang berlangsung dari 15 Mei yang lalu, bertempat di PWTC. Semalam merupakan hari terakhir. K3G ini disertai oleh 400 hingga 600 pempamer yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, agensi kerajaan, entepris kecil dan sederhana (SME), IPT tempatan, serta pelbagai institusi lain.
Cerita kelmarin.
Mm, cubaan untuk menjadi usahawanita berjaya...? Hehe.. tak perlu ku ceritakan panjang lebar kerana halnya kecil saja. Ya, aku mula berjualan dadih setelah mempromosikannya secara kecil-kecilan. Resepi tersendiri, dan boleh dikatakan rasanya juga lain dari yang lain. Ingin mencuba..? Boleh saja.. Terbuka juga untuk tempahan.. : ) Buat masa ini aku cuma sediakan perisa asli dan coklat. Mungkin selepas ini akan muncul pula perisa jagung dan strawberry. InsyaAllah.. : )
Cerita minggu lepas.
Jika aku menyepi, itu tandanya aku tak lekat di rumah. :D
Lokasinya di mana pula? Alhamdulillah, kali ini sampai juga kami ke pulau legenda Langkawi. Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kerana diri telah jatuh hati dengan pantai, maka lama tak melihat desiran ombak, hati jadi rindu.
Mungkin bagi segelintir pengunjung, membeli belah di Langkawi membuatkan mereka teruja, namun bagiku pulau ini memiliki keistimewaan yang lebih dari itu. Sampaikan tiba hari kami mahu berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk menambah satu hari lagi. Semuanya kerana hati yang merasa tidak puas.
Tak puas melihat cantiknya laut, dan masih lagi ingin merasakan ketenangan tatkala dibuai angin petang, ditemani langit yang membiru. Mm, bila masa kian lapang nanti akan ku segerakan tambahan foto-foto di flickr.com.
Sekian, bertemu lagi di hari esok.. Salam manis buat semua teman yang sudi berkunjung ke mari.. Selamat malam.. : )
Sunday, 3 May 2009
:: Jiwa dalam Lagu 1
Getar senandung Suralaya menggamit
Di ruang sanubari rindu menghimpit
Wajah kasih ku melirik senyum tangis
Sukar untuk ku tangkis
Getar senandung Suralaya menggamit
Di sudut perasaan cinta menjerit
Bisik kasih ku gemersik makin jelas
Makin rasa sebegitu ikhlas
Kata kata mu bagaikan sinar yang ditelan kabus
Yang sempat ku dengar
Hanya madah
Hanya kata
Selamat tinggal
Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menadah hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Tergerak ku mendakap kau pun hilang
Dari pandangan
Getar senandung Suralaya menggamit
Di sudut perasaan cinta menjerit
Bisik kasih ku gemersik makin rangsang
Makin rasa sebegitu terang
Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menadah hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Tergerak ku mendakap kau pun hilang
Bukan beralah kecewa kerana cinta
Tapi berjuta kecewa kerana rindu
Berjuang ku hanya satu pegangan hidup
Dan mati ku ingin terasa kau bersama
Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menadah hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Tergerak ku mendakap kau pun hilang
Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menadah hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Tergerak ku mendakap kau pun hilang
Dari pandangan...
~Suralaya Dalam D Major (Amy Search)~
Saturday, 2 May 2009
:: Perlukah catu makan..?
Namun lama-kelamaan aku mula terfikir tentang sisi negatif perubahanku ini. Aku cuba bandingkan dengan diriku 5 tahun yang sudah. Waktu itu, makanlah banyak mana sekalipun, berat badan tetap maintain.
Perbezaannya kini, tanpa sebarang senaman berat badanku akan naik, naik dan terus naik. Selera sedap memanjang; antara faktor yang menyumbang akan pertambahan berat badan. Mungkin juga kadar metabolisme yang kian rendah seiring peningkatan usia, menyebabkan lemak terkumpul sukar untuk dihapuskan.
Untuk menapak ke tingkat tiga kediamanku ini saja cepat aku merasa lelah. Dan mata juga sering rasa letih dan mengantuk. Emm, mungkin itu implikasi berat badan berlebihan yang ku alami kini.
Membelek majalah RAPI, beberapa fakta dan tips telah menarik perhatianku.
Waktu Pengaruhi Apa Yang Anda Makan
Menurut kata pengkaji dalam kajian yang dilakukan di California State, waktu itulah yang paling bahaya untuk pengamal diet kerana waktu membuatkan seseorang itu cenderung untuk mengambil makanan ringan. Ketika ini juga, tahap tenaga fizikal dan kekuatan berada pada tahap yang sangat rendah.
Untuk mengharungi masa tersebut, pakar mencadangkan para pengamal diet mengambil sedikit makanan ringan yang sihat tanpa gula. Sekiranya anda mula teringin hendak mengambil makanan bergula, anda digalakkan berlari menuruni anak tangga selama beberapa minit. Cara ini bukan sahaja dapat menyegarkan minda, malahan menaikkan tenaga dan mengurangkan nafsu makan kita.
Tips Mengawal Saiz Hidangan
-Hidangkan makanan dalam pinggan bersaiz kecil. Anda cenderung melihat saiz hidangan anda lebih banyak.
-Setiap kali ingin menikmati makanan ringan, bahagikannya ke bekas yang lebih kecil. Jangan makan terus dari beg plastiknya.
- Tambahkan salad dan buah dalam diet terutama pada awal waktu makan. Ia menghilangkan rasa lapar dan mengawal jumlah pengambilan kalori.
-Makan dengan perlahan-lahan. Beri peluang pada perut untuk merasa kenyang lebih lama.
...Aku turut merasakan yang buat sementara ini aku perlu mengenepikan rutin makan malam. Terpaksalah mengikat perut sedikit untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Ubat atau pil kurus..? Berat hati untuk mencuba kerana mungkin saja banyak kesan sampingannya terhadap tubuh badan. Lebih baik gunakan cara yang lebih semulajadi.
Kesimpulannya, untuk gaya hidup yang lebih sihat, kawal jumlah hidangan serta cergaskan diri dengan senaman. Cubalah untuk konsisten, baru boleh berjaya. : )
Saturday, 25 April 2009
:: Meneroka Alam T-rex
Emm, T-rex bertemu Spinosaurus, siapa yang akan menang dalam pertarungan? T-rex kedengarannya agak popular berbanding lawannya itu. Namun begitu, di dalam filem Jurassic Park III, Spinosaurus digambarkan begitu gagah kerana berjaya membunuh T-rex. Benarkah..?
Sunday, 19 April 2009
:: Seronokkah memancing..?
Rupa-rupanya ada pelbagai teknik memancing yang boleh disesuaikan dengan keadaan perairan yang berbeza. Ilmu ini perlu dituntut sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk menjadikan aktiviti ini sebagai hobi di masa lapang. Aku..? Cukuplah sekadar pengetahuan yang asas sahaja kerana aku lebih suka bersantai sambil melihat orang memancing berbanding mencubanya sendiri. Aku sebenarnya takut untuk memegang umpan mahupun ikan yang masih hidup. :D
lokasi kami memancing; di atas jambatan nun di belakang sana...
Tak lama menunggu, mata kail dipagut sesuatu. Wah, kami berjaya mendapatkan ikan! Bila dinaikkan rupa-rupanya ia seekor ikan gelama yang kecil. Kurang berpuas hati, kami melepaskannya kembali ke dalam laut. 2-3 ekor ikan hasil pancingan berikutnya juga sederhana saja. Kemungkinan air yang deras malam itu menyebabkan ikan-ikan tidak banyak berkumpul di kawasan favourite ini. Kami tidak kecewa, kerana hakikatnya kami sekadar ingin mendapatkan pengalaman memancing di situ.
"Mana ikan?"
"Semua dah bagi orang.." jawabnya.
Seronok juga memancing..! Nanti boleh pergi lagi.. ;D
:: credits to ayares151.fotopages.com