Monday 17 August 2009

:: Keutamaan Ramadhan




Kewajipan Berpuasa
Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )
" Wahai orang-orang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.."
Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manafaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

Keutamaan Ramadhan
Terdapat puluhan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan puasa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini. Antara Fadhilat dan Kelebihan Berpuasa di bulan Ramadhan;

1. Pintu Langit dibuka
2. Pintu-pintu Syurga dibuka

Fadhilat yang lain-lain
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaannya oleh Allah SWT.
3. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak.
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah SWT.
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga.
6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan seribu tujuh ratus kebaikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

Amal Ibadah di Bulan Ramadhan
Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan, antaranya ialah:

1. Solat sunat Tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil.
6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah SWT.
7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.


p/s: Selamat berpuasa buat para teman serta seisi keluarga. Sama-samalah kita menjalani ibadah puasa dengan hati yang bersih dan ikhlas, kerana sesungguhnya ibadah puasa itu memberi banyak kebaikan. Selain membersihkan diri dari dosa, ia juga memberi kesegaran kepada fizikal dan mental seseorang..

:: credits to resource & Eagle Nisa's photostream@flickr.com

Thursday 13 August 2009

:: Hilangnya Sebutir Permata Rabbani..


KUALA LUMPUR: Penyanyi utama kumpulan nasyid terkenal Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.

Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan pada sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira 10.30 pagi.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39.

:: Sumber; Harian Metro Online, Jumaat 14 Ogos 2009

-Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman, dah dilimpahkan rahmat olehNya.. Aminn..

Pemergiannya meninggalkan naskhah karya yang mencerminkan dakwah serta perjuangannya dalam arena nasyid, yang pasti akan dikenang dan terus dihargai oleh kita semua.. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Asri. Moga tabah menghadapi kehilangan ini...

Wednesday 12 August 2009

:: Cencaluk meletup..!

Alkisah di suatu hari aku teringin hendak merasa cencaluk buah tangan dari Melaka yang aku beli sewaktu persinggahan di sana tempoh hari. Kebetulan kunjungan teman baik ke rumah hari itu membuatkan aku sedikit bersemangat untuk menyiapkan hidangan di dapur. Selalunya kalau tidak makan di sekolah, aku cuma membeli saja di kedai, maklumlah suamiku masih lagi jauh di perantauan.. sebab itulah dapur jarang berasap.. :D

Botol cencaluk yang masih belum dibuka ku ambil lalu ku minta bantuan temanku Kak Fiza untuk membuka penutupnya. Dia juga menawarkan diri untuk menyediakan cencaluk itu lengkap dengan campuran asas yang lain seperti hirisan bawang, limau nipis dan cili padi. Aku serahkan saja tugas itu kepada yang lebih arif.


Sewaktu aku leka membancuh air, tiba-tiba kedengaran.. "Poppppp!"

Lantas aku menoleh dan ku lihat Kak Fiza sudah ber'mandi' cencaluk. Dan lebih melucukan, bila ku pandang ke sekeliling, kelihatan palitan cencaluk di sana-sini. Siling dapur yang paling comot. Tak sangka cencaluk itu mampu terbang sampai ke atas sana..!

"Bila beli cencaluk niii.....?" Soal Kak Fiza sambil kami ketawa terbahak-bahak.
"Mmm.. sebulan lebih dah rasanya.."
"Patutlah.. gas banyak sangat ni, lain kali lepas beli terus buka penutupnya.. barulah tak meletup macam ni.."
"Oooo, manalah saya tau.. ni dah terkena lain kali beringatlah.. hehe"

....Selepas kejadian ini, pasti aku takkan melupakan cencaluk dan kenangannya. Sungguhpun begitu ia sangat enak, dan kami makan bertambah... Sehingga terlupa akan dapur yang 'harum' berbau cencaluk pada hari itu.. ^_^

p/s: Patutlah wujud larangan membawa cencaluk ke dalam kapal terbang. Takut meletup akibat tekanan di atas sana. Betul ke..?


:: credits to tolahah's photostream@flickr.com

Thursday 6 August 2009

:: Viva Elite

Pulang dari kerja tadi sempat aku singgah di premis Perodua yang berhampiran. Hajat di hati nak melihat sendiri rupa bentuk model baru keluarannya- Viva Elite. Sebelum ini, memang aku telah jatuh hati dengan model Viva yang lama, namun melihatkan model baru ini, hati berangan untuk memilikinya sementelah lebaran bakal menjelang. Maklumlah untuk keselesaan perjalanan jauh, kereta sedia ada sudah agak uzur.. hehe..




Pandangan peribadiku; model baru ini tampak lebih kemas dan bergaya. Walaupun begitu, aku lebih menggemari rekabentuk bahagian hadapan model yang lama. Namun, ia masih berbaloi kerana banyak elemen yang telah dipertingkatkan mutunya. Tentang warna pilihanku pula, samada putih, ataupun biru tua. Putih mungkin menampakkan saiz kereta 'comel' ini kelihatan lebih besar... : )

Emm, doakanlah moga hajatku ini tercapai.. InsyaAllah...

p/s: Jauh di lubuk hati masih tetap mengidam yang ini....... (masih jauhhhh lagi..) :D


Tuesday 4 August 2009

:: Bukan demam biasa..

Sana-sini kecoh tentang H1N1.. segelintir dari kita masih tidak ambil peduli akan penularan virus tersebut yang semakin meningkat akhir-akhir ini. Setakat hari ini, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara kita, 1,446 kes dengan lapan kematian. Angka lapan itu sudah cukup untuk kita membuka mata.


Berhati-hatilah wahai teman semua. Ini melihat kepada kehidupan seharian kita yang tidak dapat lari dari bercampur gaul dengan orang ramai. Jika ada orang di sekeliling kita yang kurang sihat, maka kita juga harus mengambil langkah berwaspada.

Di sekolah pun ramai muridku yang demam. Mungkin demam biasa namun ada juga yang ku lihat terlalu lemah. Segera ibu bapa dihubungi untuk membawa anak-anak mereka ke klinik atau hospital. Program Semarak Merdeka yang ingin dijayakan tidak lama lagi juga mendapat tempiasnya. Ada ibu bapa yang bimbang dan tidak membenarkan anak mereka terlibat dalam program yang membabitkan orang ramai seperti ini. Aku cukup berharap agar anak-anak muridku kekal sihat dan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa.

Ramai antara kita sudah sedia maklum akan simptom-simptom penyakit berjangkit ini. Namun ada sesetengah kematian berpunca dari salah tanggapan yang mana tanda-tanda awal itu dikira cuma demam biasa lantas tiada rawatan susulan diambil. Kita harus lebih peka, bersegeralah ke hospital untuk mendapatkan kepastian.

Sedikit info berkaitan wabak ini yang ingin ku kongsi di sini;

Simptom H1N1;
-Demam, batuk, selsema, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Tanda-tanda ini diikuti dengan beberapa masalah kesihatan yang lain seperti sesak nafas, dan cirit-birit/muntah (sesetengah kes).

Langkah pencegahan;
-Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk.
-Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
-Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selsema.
-Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
-Jika anda sakit akibat demam selsema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah, juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
-Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Individu yang berisiko tinggi mengalami gangguan kesihatan kronik akibat jangkitan H1N1;
-Individu dengan berat badan berlebihan, wanita mengandung, pesakit diabetes, pesakit respiratori kronik, dan mereka yang mempunyai daya tahan rendah dalam menentang penyakit.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails