Wednesday 4 March 2009

:: Mangsa Jenayah; apa perasaan mereka..?

Terkejut, marah, geram, takut, sedih, kecewa dan sebagainya.

Saat aku menjadi mangsa ragut, aku sungguh terkejut. Gamam kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.

Marah. Aku menjerit berang ke arah dua penjenayah yang memecut motosikal namun perbuatanku sia-sia.

Hati jadi geram setelah kelibat penjenayah itu hilang dari pandangan. Mereka sempat mentertawakan aku. Cis!

Setibanya di rumah aku terduduk lalu menangis. Rasa geram berganti gemuruh. Bertalu-talu kotak fikiran digasak andaian yang bukan-bukan. Adakah hari esok aku akan diintip lagi? Adakah penjenayah-penjenayah itu akan membalas dendam?

Perasaan tiba-tiba menjadi sedih apabila menyedari lenganku mengalami sedikit kecederaan. Bergarit dilelas tali beg tanganku sendiri. Pedih tapi tidak seperit hatiku yang amat sakit.

Syukur, mereka tak berjaya merampas hartaku kerana aku menarik kuat. Tindakan refleks mungkin. Rupa-rupanya saat-saat sebegitu, otak kita cuma sempat mengarah untuk mempertahankan diri dari disakiti. Tidak terfikir akan bahaya akibat melawan kekejaman itu.

Akhir sekali selepas memasuki fasa bertenang, tinggal kecewa yang bertandang di hati. Kawasan aku diragut itu cuma beberapa meter dari pondok kawalan polis. Namun tiada sesiapa yang ada di situ pada malam kejadian. Juga malam-malam sebelumnya.

Jadi apa fungsi pondok itu sebenarnya ..? Bukannya aku seorang saja yang pernah menjadi mangsa, malahan sudah banyak kes lain dilaporkan sebelum itu. Seharusnya sudah lama mereka membuka mata.


Mengapa aku tak bisa hidup aman di tempat sendiri..? Mengapa ada manusia yang berhati kejam? Aku sayang Malaysia tapi kadang-kadang aku benci dengan perlakuan segelintir penghuninya. Sampai bila aku sanggup bertahan..? Dan ke mana tempat selamat seharusnya aku pergi..?

Persoalan masih lagi tinggal persoalan. Kes culik, bunuh, rompak, ragut, rogol.. inikah Malaysia? Inikah dunia..? Yang aku nampak cuma hitam.

Kasihan adik Nurin. Juga adik Sharlinie.. dan ramai lagi mangsa yang lain. Siapa yang akan membela nasib mereka..? Siapa....?

Wahai para pemimpin Malaysia, tolonglah memandang isu ini lebih penting dari segala-galanya.. Dengarlah rintihan kami..;

Rakyat Mahu Aman!

p/s: Anda pernah menjadi mangsa jenayah..? Sila kongsikan pengalaman dan pendapat anda tentang masalah ini..

:: Keterbatasan waktu..

Aku masih di sini. Sesekali mengerling ke arah jam melihat jarumnya berjalan melintasi angka. Cepat sungguh putaran masa.. sehingga tidak membenarkan aku menyusun bait-bait kata menjadi seindah yang mungkin. : )

Pernah cemburu dengan masa..? Atau sebenarnya masa yang mencemburui kita..?

Sekarang aku sedikit sibuk. Walaupun gelisah kerana tak dapat menulis dengan tenang, aku tetap menghargai sedikit momen yang berjaya ku curi demi minatku yang satu ini. Umpama pengemis cinta yang berharap rindu dendamnya berbalas, begitu juga aku. Hati meronta-ronta ingin berkata tapi dihimpit oleh keterbatasan waktu..

"Masih ada tamu yang ingin berkunjung ke sini.. Maka, jangan sesekali kau membiarkan teratak kecil ini sunyi tidak berpenghuni. Sejujurnya.. kau masih sayang padanya, kan..?" soal Hati. : )

"Ya.. " jawabku sambil mengeluh nafas panjang.

"Teruskan menulis, Aku.." kata Hati sambil senyum gembira.

Aku mengangguk setuju. Sampai bila akan setia..? Moga masa akan tetap merestui cintaku yang satu ini..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails