Monday 29 June 2009

:: Janganlah bersedih..

Tak lama dulu ibuku ada menyebut tentang sebuah buku bertajuk La Tahzan ~ Jangan Bersedih!. Kandungannya hebat dan mampu mengisi hati kita, ulas ibuku. Aku cuma berseloroh, kataku aku bukannya dari golongan yang terlalu cepat bersedih. Kononnya aku kuat.

Namun kebelakangan ini aku mula perasan akan salah satu sifat negatifku. Aku suka mengeluh dalam hati dan mudah berasa cemas tidak semena-mena. Kalau boleh biar tiada satu perkara pun yang terbeban dalam hatiku. Aku mahu sentiasa senang hati. Sedangkan aku sedia tahu hakikatnya, ujian itulah kehidupan. Mengapa hati tetap mahu mengeluh..?

Yang sebenarnya semua perasaan negatif yang wujud dalam hati kita boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang merugikan. Kita sedang 'bersedih', namun kita tidak mengakuinya. Sememangnya sifat ini tidak bagus kerana ia akan menghakis sifat ikhlas dan rendah hati kita sebagai manusia.


Teringat akan buku ini, maka tergeraklah hatiku ingin mencari ruangan ulasan tentangnya. Mencari di beberapa laman web, aku terjumpa naskhahnya yang boleh dimuat turun. Walaupun begitu aku tetap mahu membelinya di toko buku bagi memudahkan pembacaan. : ) InsyaAllah.

Sedikit untaian hikmah ku ambil dari blog seorang teman, untuk dikongsikan bersama. Salam buat semua.. : )

Persoalan Manusia dan Jawapan Al-Quran


1. KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan:
Kami telah beriman (I am full of faith to Allah), sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


2. KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
-Surah Al-Baqarah ayat 216


3. KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB:
Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
-Surah Al-Baqarah ayat 286


4. KITA BERTANYA : KENAPA RASA KECEWA?

QURAN MENJAWAB:

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.
-Surah Al-Imran ayat 139


5. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB:
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).


6. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
-Surah Al-Baqarah ayat 45


7. KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.
-Surah At-Taubah ayat 111


8. KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB:
Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.
-Surah At-Taubah ayat 129


9. KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB:
..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.
-Surah Yusuf ayat 12


:: Ingat padanya..


Ingat padanya. Nun jauh di Busan, Korea Selatan.
Bila mahu pulang? .....Bosan tinggal seorang~ ^_^

Friday 26 June 2009

:: Noktah Yang Ternama..

Michael Jackson meninggal dunia. Aku tahu khabarnya melalui berita yang disampaikan oleh Paknil di radio Era pagi tadi. Begitu ramai yang menggilai Raja Pop itu, dan sudah pasti para peminatnya di seluruh dunia begitu sedih dengan pemergiannya yang boleh dikatakan mengejut.

Begitulah, bila ajal telah datang menjemput, kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedetik pun. Kita perlu akur yang mana usia itu bukanlah satu kayu pengukur selama mana kita akan hidup di dunia pinjaman sementara ini.



Perjuangan Michael Jackson dalam industri muzik boleh dibanggakan. Banyak lagu-lagunya mampu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia. Ada 'semangat' barangkali. Lagu Earth Song ini ku pilih sebagai salah satu karyanya yang terbaik. Bercerita tentang kemusnahan dunia, Michael Jackson menyampaikannya dengan penuh penghayatan.

~Salam perpisahan yang terakhir buat beliau.. Ada yang mengatakan beliau telah memeluk Islam sekitar tahun 2008 dan menukar namanya kepada Mikaeel. Wallahua'alam.. Meninggal dunia dalam Islam adalah satu keberuntungan buat beliau, begitulah hendaknya..

Sunday 21 June 2009

:: Bak laut..


Bak laut
Ada pasang
Ada surut
Ada tenang
Ada gelombang

Yang pasti
Berombak
Tak berhenti

Menempuh karang
Menuju ke tepi

Sabtu minggu sudah, dalam perjalanan menghadiri jemputan perkahwinan sepupuku di Batu Pahat, Johor, sempat kami sekeluarga singgah di Melaka. Demi melunaskan hajat adik-adikku yang kepingin melawat Menara Taming Sari, kami juga turut berkunjung ke Muzium Samudera yang berdekatan.

Baru aku sedari, begitu banyak sejarah yang dapat kita fahami di tempat sebegini. Tak rugi membawa anak-anak di kala cuti kerana banyak yang dapat mereka pelajari sementelah semua sejarah itu telah lama berlalu, walaupun kesan dan tinggalannya dapat kita saksikan sehingga hari ini.

Kata-kata indah di atas telah aku rakamkan dari suatu sudut di Muzium Samudera. Ibarat kehidupan manusia, itulah yang dapat aku tafsirkan dari olahan hati sendiri. Segala pahit manis, ranjau serta halangan perlu kita hadapi demi menggapai pengakhiran yang kita hajati. Bagaimana pendapat kalian pula..? : )

Salam manis buat semua, selamat berhujung minggu... ~

:: Andalah hero di hati mereka...




Ayah, Abah, Abi, Papa.. dan pelbagai lagi panggilan yang berbeza, namun tanggungjawab dan pengorbanan mereka, tetap serupa.

Selamat Hari Bapa...
buat semua yang memegang amanah ini sebaiknya, kerana di mata anak-anak anda, andalah yang terbaik..! Andalah hero di hati mereka... ^_^


:: credits to macaroniandglue's photostream@flickr.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails