Monday 6 September 2010

:: Ramadhan bertemu Syawal

Menyepi dan kembali. Itu memang aku. :D

Sedar-sedar Syawal kian hampir. Itulah Ramadhan, datang setahun sekali. Pemergiannya begitu terasa di hati. Moga ibadah kita semua diterima oleh Allah SWT hendaknya.

Persiapan raya sederhana saja. Seperti biasa sedondon dengan suami. Biru warna pilihan tahun ini, melambangkan ketenangan di pagi Syawal. Kuih-muih sedikit saja yang dibeli, dan persiapan rumah juga tidak bertukar ganti. Lagi pula, rumah 'bujang' kami biasanya tidak ramai tetamu yang datang berkunjung melainkan ahli keluarga terdekat. : )

InsyaAllah esok selepas berbuka puasa, aku dan suami akan berangkat pulang ke kampung halaman suami di Jertih, Terengganu. Doakan perjalanan kami berdua moga selamat sampai ke destinasi. Begitu jua buat semua teman-teman yang pasti sedang merancang perjalanan pulang menyambut Syawal di kampung masing-masing. Berhati-hati di jalan raya, elakkan melebihi had laju dan memotong secara berbahaya. Ingatlah penantian penuh harapan insan yang tersayang..

Sempena bulan yang mulia ini, aku dahului dengan ucapan maaf andai ada tersalah-silap lahir dan batin.. Selamat Hari Raya buat teman-teman semua.. Moga bergembira dan ceria di Aidilfitri..

Dalam kita gembira, jangan lupa mereka yang berduka. Sama-sama kita raikan Aidilfitri ini dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan. Syukur atas nikmat dariNya.. Alhamdulillah..


Sunday 23 May 2010

:: Enak bangat lagunyaa..!!


"there is no need to compared Malaysia and Indonesia. Both country are different in every single way. To be honest nothing good music/singer or movie from malaysia as far as i remember. Malaysia way far behind Indonesia in
entertainment industry especially music and movie/ sinetron. We don't know
anything about malaysian celebrity but for sure Malay people knows everything
about Indonesian celebrity. That's my 2 cents. Peace out"


Aku terbaca komen ini di salah satu ruangan komentar di Youtube. Terfikir sejenak. Betul juga.. Banyak yang aku tahu tentang band tersohor Indonesia, namun bila memikirkan lagu kegemaran dari artis negara sendiri, payah aku nak mengingatkan judulnya.

Walaupun lagu dan filem sekadar hiburan, perlu dikaji juga sebab musabab mengapa pilihan kita masih juga terarah kepada muzik garapan artis seberang. Antara jawapan yang biasa ku dengar; Indonesia sudah lama dalam industri muzik, kerana itu lagu-lagunya jauh ke hadapan. Rakyatnya ramai, pelbagai idea boleh dicedok.. dan macam-macam lagi.

Emm, ada yang melenting bila stesen radio di Malaysia banyak memutarkan lagu - lagu popular Indonesia, katanya boleh membinasakan industri muzik kita.
Apa yang nak ditakutkan ya.., mungkin dari situ kita boleh bangkit dan bersaing..? ^_^




p/s: tetap suka Sheila Majid, Aizat, Black, Meet Uncle Hussein dan lagu rock klasik dulu-dulu.. :D

Saturday 15 May 2010

:: Mimpi buruk!

Semalam, setelah sekian lama tidur tidak terganggu dengan mimpi yang tidak menyenangkan, aku bermimpi yang buruk. Agak menakutkan. Apa yang ku alami seakan-akan benar. Seingatku aku dah membaca doa sebelum melelapkan mata. Mungkin tidak sepenuh hati agaknya, maka sang syaitan datang mengganggu.

Tersentak dari tidur jam 3 pagi, payah pula ingin lena kembali. Termangu sendirian buat beberapa ketika. Ingin mengejutkan suami, kelihatannya dia nyenyak benar. Lantas aku membuka lampu bilik, terang benderang hingga ke pagi. : ) Bila dah cerah, barulah aku mampu memejam mata. Mujur dapat tidur yang cukup, kerana pagi tadi, aku harus ikut serta dalam lawatan anjuran sekolahku ke Bukit Cerakah yang pastinya menuntut energy yang lebih.

Emm, ada sedikit info tentang hal mimpi ini. Sama-sama kita kongsikan..

VIVAnews - Sebagian besar orang dewasa pernah mengalami mimpi buruk setidaknya satu kali dalam sebulan. Mimpi buruk ini terkadang membuat seseorang terbangun tiba-tiba, merasa pusing, lelah, dan tidur pun menjadi kurang berkualitas.

Penyebab mimpi buruk antara lain, konsumsi obat-obatan, gen yang tidak sempurna, penyakit saraf degeneratif seperti Alzheimer, dan peristiwa traumatis. Mimpi buruk juga mendera orang yang mengalami stres saat siang hari. Pada malam hari, emosi yang timbul karena stres siang hari, muncul dalam bentuk mimpi buruk.

Lalu, beberapa orang, terutama yang berkepribadian terbuka dan sensitif, mungkin memiliki batas tipis antara mimpi dan kenyataan. Sehingga, kejadian buruk saat siang hari bisa hadir saat malam hari dalam bentuk mimpi buruk.

"Mimpi buruk adalah mimpi yang bersifat disfungsional," kata Rosalind Cartwright, kepala pelayanan gangguan tidur dit Rush-Presbyterian - St. Luke's Medical Center, AS, seperti dikutip dari Best Health Mag.

Ketika anda berusaha menenangkan perasaaan dan meredakan emosi negatif, otak pun memprosesnya. Emosi negatif yang berlebihan diproses, dan justru muncul saat anda tidur melalui mimpi buruk. Jika anda pernah berada dalam kecelakaan mobil yang buruk misalnya, anda mungkin tidak dapat segera mengatasi rasa trauma dan emosi negatif yang muncul. Mimpi buruk pun akan mudah muncul.

Seperti Cartwright tulis dalam bukunya 'Crisis Dreaming', ia mengungkap kalau mimpi buruk adalah tangisan dalam bentuk lain. Terkadang mimpi buruk bisa membantu seseorang mencari resolusi untuk mengatasi masalah dan trauma yang dihadapinya. Tetapi, jika mimpi buruk dan tak kunjung hilang selama berhari-hari ada baiknya, berkonsultasi dengan psikolog atau psikiater.


p/s: orang tua-tua kata tidur tak basuh kaki tak elok! : ) fakta atau mitos?

Thursday 13 May 2010

:: Detoksifikasi bermula..

Salam.. baru selesai makan malam, berkongsi hidangan dengan suami. 'Tapau' aje, bukan masak sendiri. : ) Tapi, kebelakangan ini, aku selalu rasa tak sedap hati. Kalau boleh aku mahu elakkan makanan yang dibeli tapi kadang-kadang terpaksa jua kerana masa tak mengizinkan. Bukan kita tahu bagaimana cara penyediaannya. Bahan-bahan penambah perisa yang dimasukkan dalam menu itu, mahupun tahap kualiti kebersihannya.

Pelbagai penyakit timbul pada dekad ini kerana mungkin cara hidup kita sendiri telah berubah. Dari kecil anak-anak sudah disuap dengan makanan segera dan kudapan yang memberi kesan jangkamasa panjang.

Semenjak kebelakangan ini tubuhku kurang cergas. Berat sudah berlebihan, dan senaman pula kurang. Sebelum terlambat, aku akan cuba memperbaiki keadaan. Dua hari yang lepas, aku memulakan proses detoksifikasi. Aku ambil cara paling mudah, sebelum aku dapat memulakan diet sihat, dan memulakan latihan kecergasan, terlebih dahulu aku mengambil persediaan herba HPA yang mampu menyingkirkan toksin dan racun-racun dalam badan. Bila perut sudah bersih, insyaAllah, diet kita akan lebih berkesan.


Sebagai pengedar produk HPA yang terkenal dengan perubatan herba, aku rasa yakin dengan sinergi produknya. InsyaAllah aku akan kongsikan dengan kalian blog niagaku itu tidak lama lagi. Sebelum menjual, lebih baik kita membuktikan komitmen kita sebagai pengguna terlebih dahulu. : )

Pada pendapatku, badan kita jadi lemah kerana faktor utamanya, kurang senaman dan latihan pernafasan. Tubuh tidak menerima kesegaran alami yang boleh diperolehi dengan cara pengeluaran peluh dan pengaturan ion yang seimbang. Banyakkan senaman, dan kawal pemakanan. Nasihatku pada diri sendiri. Mencegah itu lebih baik dari merawat. Itu benar.

Tuesday 11 May 2010

:: Yang kita sangka...



Kadang-kadang kita mahu orang lain memahami kita
Kadang-kadang kita mahu orang lain menghormati kita
Kadang-kadang kita mahu orang lain bersabar dengan kita
Kadang-kadang kita mahu orang lain berlembut dengan kita

Kadang-kadang kita mahu orang lain buat kita gembira
Kadang-kadang kita mahu orang lain menyayangi kita
Kadang-kadang kita mahu orang lain mencintai kita
Kadang-kadang kita mahu orang lain tidak meninggalkan kita


Jika mereka enggan..?
.......kita marah, kita kecewa, kita merana..

"Kenapa mereka begitu kejam...?" itu yang kita sangka



Apa kata...
kita cermin dulu diri kita


Apakah sudah cukup usaha kita selama ini
untuk berbuat perkara sama pada orang-orang yang lain itu?
Adakah segala apa yang kita mahu itu sempurna kita tunaikan..?

Jika tidak,
masih belum terlambat...



:: credits to teo_0's photostream@flickr.com


Sunday 9 May 2010

:: Ayah, Ibu, Anak

Selamat Hari Ibu teristimewa buat ibuku, Siti Zaharah
dan juga buat semua para ibu di luar sana.. pengorbanan dan kasih sayangmu begitu indah..
Aku dedikasikan lagu ini, buat kita semua..
Wahai anak.. janganlah sesekali kita lupakan orang tua kita.. kasih mereka membawa ke syurga.


Wednesday 5 May 2010

:: Cinta datang lagi..

Salam buat semua.. nyaris aku lenyap terus dari dunia blog. Apakah tidak rindu? Semestinya ya... amat rindu. Kadang-kadang ingin bercerita tapi bila sudah lama tidak menjamah huruf-huruf untuk dititip di ruangan ini, jemari jadi kaku. Sekadar catatan ringkas di laman Facebook, aku fikir sudah mencukupi. Tapi di sana tiada yang benar-benar jadi peneman setia. Oh, rupanya ia tetap di sini, sentiasa menanti ceritaku walaupun yang remeh cuma.

Untuk mengucapkan selamat tinggal buat " freedom is an illusion", tidak!! Aku kembali menapak ke sini kerana ada banyak cerita yang tertinggal ingin ku sapa. Moga kini aku tidak lagi berlari jauh dan sesat ke dalam hutan masa. InsyaAllah..

Wednesday 6 January 2010

:: Jatuh, bangun..

Salam tahun baru buat semua.. Moga kedatangan 2010 memberi perubahan yang lebih positif dalam diri kita. Jika semangat telah luntur, perlulah digilap kembali. Adat dalam kehidupan, tidak ada senang jika tidak bersusah, tidak ada kejayaan tanpa usaha. Sesungguhnya kejayaan itu lebih bermakna jika sebelum itu kita sudah merasa jatuh bangun, bangkit dari kegagalan.

Berbalik pada diri sendiri, aku akui aku pernah merasa itu semua. Mengecap manisnya kejayaan, kemudian menempuh pula kegagalan, bagaimana lesunya hati tidak bersemangat, dan jiwa tiba-tiba kabur tentang masa depan. Namun di sebalik semua itu, aku belajar sesuatu. Tentang hakikat sebuah kehidupan.

Rupanya jika kita tidak mahu terus kalah dalam hidup, kita perlu lebih kuat. Ambil langkah bertahan, dan yang paling penting, jangan mudah putus asa. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Itu kata azimat yang paling mudah untuk diingati.

Sehebat dugaan yang kita hadapi, ingatlah Tuhan. Begitu juga jika kita dilimpahi kesenangan yang bisa menghanyutkan. InsyaAllah, dapat kita lalui hari esok dengan hati yang tenang dan yakin..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails