Friday, 27 February 2009

:: Anak kecil fikirannya suci..

Di suatu pagi selepas kelas Sains tamat, buat kesekian kalinya riuh kedengaran lantunan suaraku mengingatkan semua anak-anak murid tentang temujanji ibu bapa dan guru yang akan berlangsung pada Sabtu hujung minggu. Ia adalah majlis ringkas untuk membincangkan prestasi anak-anak disusuli jamuan ringan. Surat jemputan sudah diberi, dan harapan kami pihak Tadika, agar semua dapat bekerjasama dengan baik demi menjayakan majlis itu.

Di suatu sudut, seorang anak kecil yang manis tiba-tiba menegurku.

"Teacher, Ain dah cakap dengan ayah dan ibu, tapi rasanya ibu Ain je yang dapat datang."

"Kenapa ayah Ain tak boleh datang..?" tanyaku acuh tak acuh sambil tangan sibuk membersihkan whiteboard.

"Ayah Ain tak mau datang sebab banyak kerja.." mata Ain kelihatan redup.

"Oo, kalau macam tu takpelah Ain, Ain datang dengan ibu je ye.."

...Dia senyap.


"Kenapa termenung tu Ain? Tak apa.., Teacher tak marah ayah Ain tak dapat datang. Sekurang-kurangnya ibu Ain dapat teman Ain kan..?"

"Mm...Teacher.." katanya terhenti di situ.

"Ya..?" aku rapat sedikit untuk mendengar butir bicaranya dengan lebih jelas.

"Kenapa kalau Ain tanya apa-apa kat ayah, mesti ayah marah. Kalau Ain cakap je.., ayah marah-marah." ada emosi yang bercelaru di sebalik wajah mungil itu.

Aku terdiam mendengar celotehnya. Lantas memandang dengan perasaan ingin tahu.


"Kalau kakak Ain cakap pun sama. Ibu pun selalu kena marah dengan ayah."

"Mm, betul ke..? Ain ada cakap apa-apa yang buat ayah Ain marah agaknya..?" aku cuba menduga.

"Taklah. Ain cakap biasa pun Ayah dah masam. Ayah tak suka Ain ke Teacher..?"

Aku lihat ada manik jernih bergenang di bibir matanya.


"Nanti ayah Ain okeylah tu.. mungkin dia ade masalah kat tempat kerja kot.. tu yang dia marah-marah. Jangan merajuk dengan ayah ye sayang..?" ..aku kehabisan ayat di situ.

Aku dapat merasakan yang kata-kataku itu tak relevan langsung untuk memujuk anak kecil. Mana mungkin mereka faham apa itu masalah orang dewasa. Yang mereka tahu, marah itu = benci. Sungguh mendalam simpatiku waktu itu.

Ain cuma tersenyum tawar saat aku memeluk bahunya.


(Beberapa hari selepas itu..)

Mengimbas kembali fail peribadi Ain dan juga hasil perbualanku dengan cikgu-cikgu senior, akhirnya aku faham mengapa boleh keluar perkara semacam itu dari mulut Ain. Rupanya ibu dan bapa Ain ini dalam proses perceraian. Mereka sudah tidak tinggal sebumbung lagi. Tak mustahil Ain menjadi mangsa dalam konflik ini.

Sepatutnya sebagai seorang guru, sejak awal lagi aku perlu tahu ini semua. Tapi aku cuma tahu setelah Ain sendiri yang menceritakan. Aku tertipu melihat senyumannya yang selalu tampak ceria. Di dalam kelas walaupun dia sedikit blur tapi dia bijak. Selalu dapat markah tertinggi dalam ujian penilaian.

Oh, apa yang cikgu boleh bantu, sayang.. Selepas dari hari itu, aku memberi lebih perhatian kepadanya. Tidak sesekali aku ungkitkan ingatan pahitnya. Bersyukur kerana dia masih punya ibu yang penyayang dan bertanggungjawab. Aku mampu menarik nafas lega kerana itu..


Hampir penghujung tahun, sekali lagi aku dikejutkan dengan kisah seorang lagi anak muridku. Anak ini kelihatan matang (malah pandai mengusikku/minta dimanja), mungkin kerana dia dan adik beradiknya sudah biasa hidup berdikari. Sambil berbisik perlahan, dia membongkar kisah hitam keluarga.

Ibunya di kurungan penjara, kerana kesalahan menipu dan menggelapkan wang. Sehingga saat itu, ramai mangsa masih menyimpan dendam pada ibunya. Sering mereka terasa dengan kata-kata hinaan yang dilemparkan. Kesempitan hidup yang mula menghimpit, memaksa si ayah menyerahkan tanggungjawab dari segi penjagaan kepada individu lain. Kasih orang, semestinya tak sama dengan darah daging sendiri.. Pasti ada kurangnya. Mujur si ayah masih lagi setia menjenguk mereka usai tugasan di tempat kerja. Paling tidak, mereka masih punya ayah untuk menumpang kasih.

Aduh.., pilu mengenangkan betapa berat beban yang ditanggung oleh mereka. Sekecil 5-6 tahun, sudah terdedah dengan noda hitam kehidupan. Bagaimana pula yang bernasib sama di luar sana..? Tambahan lagi yang tersisih terus dari kasih sayang ibu bapa kandung. Pastinya lebih banyak ranjau yang perlu dilalui.

Namun begitu, mereka masih tetap mampu ketawa tatkala berkongsi keriangan bersama kawan-kawan. Dalam hati tiada siapa yang tahu. Sesekali melihat teman seusia gembira dalam pelukan ayah dan ibu, akan terlihat cemburu di mata mereka.

Aku bersyukur diriku tidak punya kisah pahit sebegitu. Mungkin kerana itu aku mampu bahagia begini..
~Ada Tuhan yang senantiasa melindungi dan mengasihi anak-anak ini, yakinku terus dalam hati..

p/s: Institusi kekeluargaan di Malaysia kini semakin terancam. Di manakah tanggungjawab kita..? Keruntuhan moral remaja masa kini, dan sifat mabuk mengejar duniawi, tak mustahil berakar umbi dari sejarah silam yang menyedihkan.. Siapa sebenarnya yang harus dipersalahkan..?

(*maaf jika kisah ini ada berkaitan dengan sesiapa. Ini kisah benar pengalamanku semasa bergelar pendidik di sebuah tadika, di ibukota Kuala Lumpur..)

Wednesday, 25 February 2009

:: Wartawan tak bergaji..


"Dunia blogger ni macam wartawan la. Kalau ada cerita atau gambar menarik pasti nak dirakamnya. Orang lain mungkin tak faham. Dari seronok-seronok kini menjadi hobi. Kemana saja aku pergi, kamera pasti akan dibawa bersama." ~ luah seorang sahabat lewat entrinya di blog.


Aku tersenyum. Emm, betul juga ya... Ramai dari kita suka dengan gambar/imej, kerana sekeping gambar itu kadangkala bisa berbicara. Aku pun suka membawa kamera kalau mahu ke mana-mana.. (ke pasar,tidaklah..) ^_^ Mana tahu ada sesuatu yang cantik dan menarik untuk dirakam. Kalau bukan untuk blog pun, aku akan bercerita tentangnya kepada orang lain. Seronok dapat berkongsi sesuatu..

Setiap dari kita yang mempunyai blog pasti akan terfikir apa yang mahu dimuatkan dalam blog untuk entri terbaru. Apa cerita panas..? Apa yang boleh buat orang dan diri kita sendiri suka untuk baca? Gambar apa yang relevan dengan cerita..? Semua ini sedikit sebanyak bermain di kepala.

Walaupun tidak disogok dengan sebarang pendapatan, aku akui 'tugasan' ini sedikit sebanyak mewarnai hari-hari kita. Sebab itu di saat kekeringan idea ditambah pula mood yang tidak menentu, ada yang berkata; "Aku tak tau nak cerita apa", "Sorry, entah apa-apa entri aku hari ni.." dan macam-macam lagi. : ) Tak kisahlah.. aku pun selalu juga buntu nak menulis, akhirnya cuma menjengah ke blog teman-teman.. Tup-tup muncul juga idea itu nanti..

Aku tidak cerewet tentang isi apa yang aku baca. Samada blog yang memaparkan kisah peribadi atau blog yang lebih terbuka konsepnya, kesemuanya aku suka asalkan jalan penceritaannya secocok dengan jiwa aku. Kadang-kadang aku suka blog yang isinya penuh humor dan membuatkan aku ketawa. Sebahagian masa pula aku akan melayan isi yang lebih serius. Aku juga pasti kalian pun ada pendapat dan citarasa yang tersendiri.

Dulu, sewaktu aku cuma 'bermain-main' dengan kebosanan, wujudlah satu blog tentang cerita peribadi. Contohnya; apa yang aku buat sekian-sekian hari, dan siapa yang aku jumpa.. Tiada minat hendak mencari cerita/berita tentang hal ehwal dunia mahupun apa kisah yang berlaku di sekeliling. Sesuai jugalah dengan usiaku yang masih muda ketika itu. Baru saja mencapai angka 20. Dan yang menjadi teman di ruang komentar pun hanya kawan-kawan rapat yang sudah pasti dekat dengan cerita hidupku.

Setelah melebihi suku abad, aku mula tertarik dengan kisah yang lebih meluas skopnya. Cerita tentang asam garam rumahtangga, naik turun kerjaya, isu perkembangan semasa, masalah sejagat, hidup dan budaya masyarakat luar, serta pelbagai lagi perkara yang selalu diperbincangkan oleh golongan dewasa. Aku sendiri mahu berubah. Mahu dewasa dari segi pemikiran.

Dalam penulisan kita, tetap jua kita tak melupakan tentang dunia remaja dan kanak-kanak kerana kita pernah melaluinya.. Berbeza dengan sewaktu kita masih mentah dulu. Mahu bicara tentang perkara yang 'besar' seperti di perenggan atas, kita masih kerdil, naif, dan hanya secubit pengalaman untuk dipersoalkan.

Namun, zaman kini sudah semakin canggih. Bayi yang baru lahir pun sudah ada blog sendiri yang dicipta oleh ibu bapa berinspirasikan kasih sayang. ^_^ Sekurang-kurangnya bila sudah pandai membaca kelak, dapatlah mereka menghayati segala peristiwa manis yang dilalui mereka sewaktu masih kecil. Menarik bukan..?

Dengan segala kemudahan yang ada di Internet, hampir kesemua maklumat yang kita perlukan dapat diperolehi dalam masa yang singkat (mujur kalau ada servis talian internet yang memberangsangkan..). Tak lupa, sumber media lain pun banyak manfaatnya. Sama-samalah kita terus menyelongkar segala ilmu yang ada untuk dikongsi demi sebuah kebaikan. Selamat maju jaya buat teman semua , dan terima kasih atas segala info yang anda berikan.. : )

p/s: Kurang berminat menulis di lembaran kertas, kerana lebih senang menaip.. hehe

Tuesday, 24 February 2009

:: Bersantai di bawah terik matahari..

Ahad yang lepas aku berkunjung ke Chatuchak Weekend Market yang terletak di tengah kota. Sebenarnya ini kunjunganku kali yang ketiga. Aku cukup suka tempat ini. Teman-teman yang berhajat untuk melawat Bangkok, jangan lupa.. ia perlu ada dalam senarai destinasi pilihan anda..


Nama Chatuchak (atau Jatujak) ini diambil sempena nama sebuah taman awam yang turut wujud di situ. Ia merupakan pasar yang terbesar sekali di Thailand dan juga Asia. Dengan keluasan kawasan meliputi kira-kira 1.13km², ia berpusat di dataran lapang yang dikelilingi beberapa lokasi yang tak kurang menariknya seperti JJ Mall (kompleks beli belah), Chatuchak Park, Children's Museum, Railway of Thailand Museum, Chatuchak Plaza, Jatujak Day & Night, serta Queen Sirikit Park.

Untuk sampai ke sini, dari pusat bandar, kami menaiki BTS SkyTrain dan berhenti di Mo Chit. Pintu masuk ke pasar ini ada banyak. Jika kita masuk melalui pintu A, maka keluar nanti carilah semula pintu A itu, agar kita tidak perlu menapak terlalu jauh untuk kembali ke stesyen BTS tersebut.


Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 9 pagi. Awal pagi lebih menyenangkan kerana sekarang ini musim panas. Itu pun sampai di sana matahari sudah terik membahang, lantas kami membeli topi lebar untuk menghalang silau dari menujah anak mata.

Terlalu banyak gerai dan kedai yang menyajikan pemandangan menarik di sini. Mengikut fakta terkini, hampir 15,000 unit, terbahagi kepada zon-zon yang berlainan. Aku sendiri tak pernah berjaya menjelajah keseluruhannya. Kalah kepada keletihan..

Dibuka setiap Sabtu dan Ahad, ia dikunjungi lebih dari 200,000 pelawat sepanjang hari. Ramai tertarik dengan keistimewaan pasar ini yang menawarkan pilihan yang begitu berwarna-warni. Rambang mata juga melihat aneka barangan keperluan rumah, pakaian, kraftangan Thai, bahan artifak, koleksi-koleksi unik, lukisan serta perhiasan, makanan dan sebagainya.


Satu perkara yang penting, sebelum membeli, kita cuba dulu untuk survey harga barangan tersebut. Ini kerana terdapat banyak kedai yang menjual barangan yang sama dan mungkin wujud perbezaan harga di situ. Jika kita handal tawar-menawar pasti kita akan berpuas hati dengan harga yang diperolehi.

Pada mulanya aku tidak berniat hendak bershopping sakan, tujuan utama cuma hendak menjamu mata saja. Alih-alih, pulang juga dengan membimbit 2-3 beg plastik dek kerana terpukau dengan barangan yang ada di sini. Kebetulan kami pun sudah mahu pulang ke Malaysia, maka kami mengambil kesempatan untuk membeli sedikit perhiasan rumah yang boleh digunakan di kediaman baru nanti. Apa yang penting, ia bercirikan Thai.. sekurang-kurangnya bila terlihat benda-benda ini, akan mengembalikan memori kami di sini. Kononnya.. hehe ^_^

Antara lain yang menarik;
Kedai yang menjual arnab untuk dijadikan haiwan peliharaan. Siap dengan kostumnya sekali. Comel kan? (melihat² saja tanpa membeli) :D


Kehadiran 'Jack Sparrow' yang setia menghiburkan orang ramai dengan aksi silap matanya. Menjadi kebiasaan, artis-artis jalanan menjadikan lokasi sebegini sebagai medan untuk meraih rezeki.


Setelah penat berjalan, kami berehat seketika sambil menikmati hidangan tengahari di gerai Muslim yang terdapat di kawasan Clock Tower. Kesemua hidangan nampak menyelerakan dan aku memilih menu kuey teow sup serta beberapa cucuk sate. Selepas itu kami menyambung semula perjalanan. Kerana cuaca yang sangat panas, banyak kali juga kami singgah membeli minuman termasuklah ABC yang sungguh sedap.

Lewat petang, setelah berpuas hati ditambah pula dengan kaki yang sedikit lenguh, kami keluar dari Chatuchak.. Orang tetap ramai, berpusu-pusu keluar masuk pasar. Dengan pas sehari BTS, kami turut singgah di beberapa destinasi lain. Tiba di rumah kira-kira jam 10 malam, baru kami menyedari sesuatu.. Aduh, penatnya! Tapi.., seronok. ^_^

Begitulah serba sedikit catatan perjalanan buat minggu sudah. Minggu ini, belum ada lagi perancangan. Yang pasti, minggu depan tamat sudah sesi berjalan-jalan kerana perlu berkemas untuk pulang ke tanah air tercinta. Nostalgia manis di sini akan kekal tersimpan di dalam kotak ingatan... : )

:: credits to photostreams@flickr.com


Friday, 20 February 2009

:: Kembali tersenyum.. ^_^ Mudahkah..?

Perasaan itu sesuatu yang kompleks. Sekejap tadi kita tertawa, dan kini kita diam termenung. Semalam kita menangis kerana rindu, dan hari ini kita mampu berjenaka. Emosi itu sukar untuk ditelah oleh insan lain, walhal diri kita sendiri pun tidak dapat menjangka apa yang akan bersarang di hati kita keesokan hari. Kerana itu wujud pepatah;

"Dalamnya lautan bisa diukur, dalamnya hati siapa yang tahu?"

Pilu, rindu, sedih, dendam, rajuk, malu, cemburu, kecewa atau marah bukan emosi yang tergolong dalam sesuatu yang menyeronokkan. Kita kadangkala tak mahu diganggu bila berada dalam situasi seperti itu. Ada yang diam menyepi, lantas membuat hal sendiri. Tak kurang juga yang murah air matanya, kerana kata mereka setelah puas menangis, hati jadi lega.. Ada betulnya di situ. Kalau boleh biar hati sejuk dengan sendirinya, seiring masa yang berlalu.

Namun, rajuk berpanjangan dan menyepi tiada sudah, kadangkala hanya akan menambahkan masalah. Selain orang melihat akan berasa risau, hati kita yang rusuh juga akan tambah parah. Di sini apa yang aku ingin bincangkan, 'ubat' yang mampu menyembuhkan luka di hati serta menerbitkan senyum di bibir kita semula.

Bagi aku, jika timbul kesilapan dari mana-mana pihak yang membuatkan kita tidak tenteram, 'ubat' pertama adalah segera memohon kemaafan / segera memberi kemaafan. Lebih cepat kita mengakui kesilapan dan meminta maaf, maka luka yang terguris di hati tidak sempat untuk berdarah. Makin dipanjang-panjangkan perselisihan itu, mungkin saja dari rasa marah akan terbit pula rasa malu, dendam, sedih dan sebagainya. Lebih rumit bukan untuk menjernihkan emosi sebegitu..?

'Ubat' kedua; perhatian.
Sokongan dan dorongan dari mereka yang rapat dengan kita. Dengan adanya mereka ini, kita tidak akan rasa terpinggir dan sepi. Ibu yang merajuk, ada tawa anak-anak yang menghiburkan. Suami yang terbeban dengan tugasan di pejabat, kembali ke rumah ada isteri penyejuk hati. Anak yang bergaduh dengan sahabat, ada ibu bapa tempat untuk mengadu. Itu antara contoh yang dapat kita lihat dalam kehidupan sehari-hari.

Selain itu, minat dan hobi juga mampu membuatkan kita tenang, leka dan lupa seketika akan masalah tersebut. Kalau wanita ada yang menjadikan makanan dan coklat sebagai penenteram jiwa. ^_^ Tak ketinggalan, aktiviti membeli belah yang terbukti membuatkan ramai dari kita berasa ceria. Individu lelaki pula kebiasaannya akan mengaktifkan diri dengan kegiatan luar yang lasak atau menumpukan pada hobi mereka yang khas. Tepuk dada, tanya selera masing-masing.

Tapi, benarkah 'ubat-ubat' ini 100% menyembuhkan..? Atau sekadar penenang sahaja, yang mana bila tempohnya telah tamat, kesakitan akan berulang kembali..? Dari situ kita dapat tahu, apa yang paling penting adalah.. muhasabah diri.

Tanya diri kita, apa sebenarnya yang kita mahukan. Jika kita mahu sedih maka kesedihanlah yang nenemani walau kita telah cuba pelbagai cara untuk mengatasinya. Jika kita mahu dendam, maka tetap jualah perasaan itu dalam dada tanpa kita sedari bahayanya. Sebaliknya, jika kita mahu gembira, pasti segala macam idea akan terlintas di kepala untuk kita laksanakan demi hasrat itu.

Berdoa, merupakan salah satu cara yang paling mustajab untuk mengubati hati. Nescaya kita akan tenang dan damai setelah itu. Jika kita benar-benar ikhlas, Dia akan bukakan pintu hati kita untuk menerima segalanya dengan hati yang redha dan ditunjukiNya pula kita ke jalan yang lurus. InsyaAllah..

Akhir kata, moga teman-teman semua berada dalam emosi yang terbaik dan gembira bersama keluarga. Salam petang dariku, Nadine Zuharra.. : )

Tuesday, 17 February 2009

:: Sayangkan rumah, hias-hiaskan..

Emm, sembang santai saja hari ini.. Kebelakangan ini aku cukup suka membincangkan hal rumah. Sedih ada, gembira pun ada. Sedih kerana kurang sebulan dari sekarang, kami akan berpindah meninggalkan kediaman ini. Setahun masa berlalu, cukup untuk membuatkan perasaan sayang itu bertunas, tapi mengenangkan kehidupan baru di negara sendiri, timbul semangat baru.

Kami berkira-kira mahu menyewa dahulu di KL sementara mendapatkan rumah sendiri. Alhamdulillah, sudah bertemu unit kosong untuk tujuan ini, dan kawasannya juga bagus, banyak kemudahan. Duduk berdua, ruang yang terhad tidak menjadi masalah. Yang lebih kufikir, tema untuk interior, dan bagaimana mahu menghias rumah dengan kos yang sederhana.

Idea.., masih dalam stage yang sepatutnya. Benda yang tak nampak di depan mata, rupanya sukar juga untuk dizahirkan di kertas lakaran. Sedang mencari sumber-sumber yang berkaitan dengan hiasan dalaman, aku teringat pada email yang membuatku tersenyum sendirian..

Macam dalam filem Hindi dari pandangan depan... ^_^

Bila kita lihat dari perspektif yang berbeza...

Jatuh hati dengan plasma TV..

Tapi, jangan terkejut.. Ada udang di sebalik batu!

p/s: Manusia memang kreatif.. kan..? ;D

Monday, 16 February 2009

:: Yang comel dan manja..

Membaca kisah beberapa orang teman tentang haiwan peliharaan mereka, aku juga tertarik untuk berkongsi pengalaman yang sama. Mengenai jenis haiwan peliharaan, minat seseorang itu adakalanya berbeza. Antara pilihan yang sering kita lihat, kucing, arnab, hamster, ikan dan pelbagai lagi.. Ada juga yang membela 2-3 jenis haiwan dalam masa yang sama.

Mengapa ramai yang tertarik untuk memiliki haiwan peliharaan? Merujuk dari beberapa sumber, kajian membuktikan terdapat banyak kebaikan yang dapat kita perolehi dengan menjadikan haiwan-haiwan ini sebagai teman.

--> Kajian di AS mendapati bahawa 94% daripada ketua eksekutif pernah memiliki haiwan peliharaan semasa kecil dan kanak-kanak yang mempunyai haiwan peliharaan lebih memahami konsep keprihatinan, perkongsian, tanggungjawab dan kasih sayang. Mereka juga lebih berjaya menjalinkan hubungan yang mesra sebagai orang dewasa.
--> Pemilik haiwan peliharaan mempunyai tahap kolestrol darah yang lebih rendah, berbanding mereka tanpa haiwan peliharaan.
--> Pemilik haiwan peliharaan menanggung risiko penyakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding mereka tanpa haiwan peliharaan.
--> Memiliki haiwan peliharaan dapat membantu proses pemulihan pesakit daripada serangan penyakit jantung.
--> Pemilik haiwan peliharaan kurang diserang masalah seperti batuk, selesema, sakit kepala dan sakit belakang.

Kerana ramai yang menyukai kucing, kita lihat pula apa kelebihannya..

--> Kucing sesungguhnya baik untuk kita. Ia menyerlahkan kesihatan dan merupakan teman sejati di kala kesepian.
--> Kucing amat sesuai dijadikan mod terapi, khususnya untuk warga tua dan warga kurang upaya (OKU).
--> Aksi membelai kucing telah terbukti berkesan menurunkan tekanan darah. Hasil tinjauan di Australia membuktikan memiliki haiwan peliharaan sama berkesan menurunkan tekanan darah seperti mengurangkan minuman beralkohol atau mengambil kurang garam.
--> Pemilik kucing didapati mempunyai kesihatan psikologi yang lebih baik daripada bukan pemilik kucing. Kucing memberi tuannya sokongan emosi khas dan merupakan teman yang hebat sambil menjauhkan gejala kemurungan, kecemasan dan lain-lain.
--> Kanak-kanak yang membesar bersama kucing biasanya lebih berjaya dalam kerjaya dan perhubungan mereka dewasa kelak.

Haa, sebut tentang kucing, ini antara kucing yang aku sayangi. Bagaimana aku boleh berkenalan dengannya, ia kisah beberapa tahun sudah, semasa aku dan 3 orang rakanku tinggal menyewa di sebuah kawasan perumahan. Tengahari itu, sedang dalam perjalanan pulang dari kuliah, kami terserempak dengan seekor anak kucing yang berada dalam keadaan yang menyedihkan. Badannya kurus. Berdiri pun tak mampu, terketar-ketar sambil menunduk ke lantai.

Aku dan sahabatku Ina berasa amat simpati. Lama kami membelek-belek anak kucing itu. Matanya sangat comel, berwarna kelabu kebiru-biruan. Kami mencari kalau-kalau ibunya ada di sekitar namun hampa. Nak ditinggalkan kami tak sampai hati lalu kami bawa ia ke rumah..

Kemudian, kami memberi ia makan dan membersihkan bulunya yang comot. Ia makan perlahan-lahan kerana ia masih kecil, barangkali kehilangan ibu tatkala masih menyusu. Kasihan melihatnya, kami membuat keputusan untuk menjaganya selama beberapa hari sehingga ia benar-benar sihat..

Setelah tempoh itu tamat, kami pun berbincang samada hendak terus memeliharanya atau tidak. Maklumlah kami ini duduk di tingkat 3, dengan ruang rumah yang terhad bolehkah kucing itu hidup dengan selesa. Tapi sekiranya kami pulangkan ia ke tempat asalnya, apa pula nasibnya..? Ia masih kecil, tak pandai mencari makan sendiri tambahan pula tempat itu berbahaya kerana terletak bersebelahan jalan raya yang sibuk.

Perasaan simpati melebihi segala-galanya. Akhirnya kata sepakat diputuskan. Ya, kami membatalkan niat kami untuk mengembalikannya ke tempat asal. Maka, membesarlah Chiko (nama yang diberi) di depan mata kami...

Puas juga kami melayan telatahnya yang pelbagai ragam. Adakalanya sangat nakal (kerana ia kucing jantan), dan sesekali ia bijak mencuri hati kami dengan kemanjaannya. Tak sunyilah rumah kami itu, kerana kami sering bergurau dengannya mengisi masa lapang yang ada.

Kini Chiko telah dewasa. Ia masih lagi dipelihara oleh Ina yang memilih untuk meneruskan kerjaya di Pulau Pinang. Ada seekor lagi kucing comel bernama Chikee kini menjadi sahabatnya. Dapatlah ia berteman dan bermain bersama. ^_^

Entah bila lagi aku dapat berjumpa Chiko. Sesekali aku teringatkannya, aku akan merasa rindu. Banyak kenangan manis terpahat di ingatan. Semoga ia tetap sihat dan ceria, begitulah harapanku.

Mungkin suatu hari nanti, aku akan kembali memelihara kucing, kerana aku amat bersetuju dengan peranannya yang istimewa. Buat sementara ini cukup saja dengan beberapa ekor ikan di dalam akuarium menjadi peneman aku di kala keseorangan.

Akhir sekali, apa yang perlu kita tekankan sekiranya ingin memiliki haiwan peliharaan, adalah komitmen kita pada haiwan tersebut. Sekiranya kita berat hati untuk menjaga kebajikan dan memberi kasih sayang kepadanya, maka usahlah kita menzaliminya dengan memeliharanya..

Sabda Rasulullah SAW; "Siapa tidak menyayangi, ia tidak akan disayangi.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

p/s: Apa pula haiwan kesayangan anda..? : )

Friday, 13 February 2009

:: Besar kuali, besar juga keraknya..

Peribahasa ini memang selalu digunapakai, tapi mungkin perkataannya yang diubah-ubah mengikut kesesuaian. Ada yang sebut periuk dan tak kurang juga belanga.. Hehe.. Tapi yang sinonim dengan kerak yang hitam.., kualilah agaknya.

Apa maksud yang tersirat ya..? Sifat manusia yang 'prihatin', memang suka nak membuat ulasan tentang si polan dan si polan. Ayat yang sering kedengaran..

-"Banyak betul duit dia beli jam mahal-mahal."

-"Sekaranglah dia merasa nak pakai baju dan barangan berjenama. Dulu masa tengah susah, dapat ke pakai semua ni..?"

-"Ish, ish, kita ni walaupun ada duit tak adalah nak berbelanja sakan macam dia tu.."

-"Hah, suaminya kan baru naik pangkat, tu yang dia borong habis semua perabot. Beraya sakanlah nampaknya. Kita ni apa yang ada.."

-"Kan duit kau dah banyak. Cukup untuk menanggung kau dan keluarga sampai ke tua. Buat apa susah-susah nak bekerja lagi siang dan malam?"
"Mana ada cukup. Macam-macam lagi keinginan aku belum tercapai."

Ini sekadar contoh.. Kadang-kadang, aku keliru. Salahkah kalau orang yang punya rezeki lebih nak berbelanja mengikut kemampuan mereka? Kita membeli di Jalan TAR, mereka ke butik mewah Star Hill. Kita makan di rumah, mereka makan di hotel 5 bintang. Kita berjalan di Zoo Negara, mereka bersantai di Niagara Falls. Pelikkah dengan situasi begini..?

Ya, mereka berbeza kerana mereka mampu. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka.. apakah kita tidak tergoda untuk berbuat yang serupa? Dan jika kita golongan berada, mampukah kita tunduk semula bila harta hilang sekelip mata. Sukar untuk kita bayangkan kerana selagi perkara itu tak terjadi pada kita, kita bisa berkata; "Cukup saja begini." Dan bila kita berubah kelak, yang keluar dari mulut kita.. "Itu dulu.. sekarang dan dulu mana boleh disamakan."

Kesimpulan yang dapat aku buat dalam hati; Biarlah.. itu sudah bahagian mereka. Selagi rezeki yang diperolehi halal, dan amal ibadat mereka terpelihara, itu bukan urusan kita untuk membenci sebesar zarah pun. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Percaya atau tidak, semakin banyak yang kita miliki, keinginan kita juga akan semakin bertambah. Seakan tidak cukup dengan apa yang ada. Bersyukur sekiranya perasaan itu wujud dalam dada, kita masih lagi dapat mengawal diri. Sebut tentang keinginan manusia, aku teringat cerita seorang tua di dalam Apocalypto;

........and when the Man had all the gifts that they could give.. he left.

Then the owl said to the other animals: "Now the Man knows much and is able to do many things.. Suddenly I am afraid."

The deer said: " The Man has all that he needs. Now his sadness will stop."

But the owl replied: " No. I saw a hole in the Man.., deep like a hunger he will never fill, it is what makes him sad and what makes him want.

He will go on taking and taking.. until one day.., the World will say:
I am no more.. and I have nothing left to give..."


Thursday, 12 February 2009

:: Komik; senyum-sedih-seram

Pagi yang indah. Matahari bersinar terang di luar sana. Aku baru sahaja usai mengemaskan idea-idea yang baru muncul untuk ditambah ke dalam helaian karyaku. Bila mana semangat itu datang, maka aku harus segera melakukannya. Kalau berdalih dan berlengah-lengah, kelak aku cuma akan melihat cita-citaku ini terkabul di dalam mimpi. Yang seronoknya, tadi baru terlintas beberapa tajuk (rahsia) yang kufikirkan sesuai untuk ceritaku ini.. kononnya.. (Ah, aku berangan lagi.. hehe.. ) ^_^

Merayau-rayau di alam maya, aku juga merajinkan diri melawat beberapa laman penulis dan juga syarikat penerbitan. Meneliti panduan, terma dan syarat mereka . Ya, sebagai orang yang baru nak bertatih, aku perlukan begitu banyak sekali sumber yang boleh dijadikan contoh. Banyak juga ya lambakan novel-novel yang ada di pasaran. Kadang-kadang aku terfikir mampukah aku terus melangkah seterusnya menyertai kelompok mereka yang sudah berjaya..?
Walaupun dilema seperti ini sesekali melanda, akhirnya aku akan teruskan saja.. Fikir-fikir, tak rugi pun kalau kita menulis. Kerana kalau bukan untuk orang lain, ia sudah cukup bermakna bagi diri kita sendiri. Itu tegasku buat pembakar semangat.

Emm, singgah sebentar di laman CESB, aku terjumpa komik kesukaan aku di zaman kanak-kanak. Pernah tak kalian membaca riwayat tiga dara ini..? Sangat terhibur dan boleh dikatakan aku dapat menyelami watak-wataknya dengan baik. Kisah gadis kampung, yang biasa-biasa. Walaupun biasa, tapi setiap liku hidup mereka begitu istimewa. : )

Sukakan komik..? Aku suka. Tapi tak semua genre yang aku baca, cuma sebahagian yang pernah mengisi duniaku satu ketika dahulu. Alam Perwira, Dewata Raya.. (mengarut kan..?) Sin Chan, Misteri Alam Angker, Detektif Conan, Siri Penyiasat Remaja, Ujang, Apo? dan banyak lagi. Sampai sekarang aku masih curi-curi baca. Nasib baik adikku salah seorang pengumpul tegar. Aku cuma tumpang sekaki. ;p

26 tahun. Ya, sudah tua. Tapi kita perlu akui dalam diri kita masih ada sisi yang masih rindukan sesuatu yang manis; kenangan, hobi dan sifat kita semasa usia masih kecil; kita yang naif, dan benar-benar jujur. Masih lagi 'buta' tentang dunia..
Apa pula sesuatu yang kalian rindukan..? Mari kita imbas kembali bersama-sama..

p/s: Ada terima surat panggilan untuk menghadiri peperiksaan bagi permohonan jawatan kakitangan awam (PTD), 26 Feb ini. Sayangnya aku tak dapat ikut serta. Berat hati nak pulang seorang diri kerana sudah merancang nak balik berdua ke M'sia 7 Mac nanti.
Mungkin bukan rezekiku mencuba nasib kali ini. Moga-moga ada tuah lain yang menanti kepulanganku kelak. InsyaAllah..

Tuesday, 10 February 2009

:: Upin,Ipin & Geng - Pengembaraan Bermula..!

Geng: Pengembaraan Bermula... Bangga dengan hasil terbaru Les’ Copaque Production yang satu ini. Selepas berjaya menghasilkan siri-siri pendek dengan sentuhan yang cemerlang, kini mereka mengorak langkah berani dengan menghasilkan filem animasi yang juga menggunakan watak yang sama; si kecil Upin dan Ipin serta rakan-rakan mereka.


Aku dah lama mengikuti aksi dan telatah si kembar berdua ini semenjak siri-siri mereka bersiaran di kaca TV tidak lama dulu.. begitu menghiburkan. Banyak tauladan yang dapat dicontohi oleh kanak-kanak di Malaysia. Budaya berbilang kaum berkumpul dalam suasana harmoni, juga nasihat-nasihat yang berguna disampaikan dengan cara yang dekat sekali dengan jiwa kanak-kanak. Kita yang dewasa ini pun turut leka dengan dunia warna warni mereka.

Filem animasi ini bakal menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada 12 Februari 2009. Kurang dua hari lagi, anda semua dapat menyaksikannya.. Aku..? Hmm, tak pasti samada aku sempat atau tidak menjengah ke pawagam untuk filem ini bila tiba di Malaysia Mac nanti. Apapun yang pasti, aku ingin memiliki cetakan DVDnya yang original. ^_^



Bermodalkan sekitar RM4 juta bagi kos pembikinan, filem ini turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pelancongan Malaysia dan lain-lain.

Dilancarkan pada 11 September 2007, penerbitan filem ini bermula selepas LCP ditubuhkan pada Disember 2005. Mereka juga terlebih dahulu memperuntukkan masa selama lapan bulan untuk penyelidikan berkaitan animasi dunia. Tak mustahil hasilnya begitu kemas dan berkualiti.

Harapan kita agar usaha mereka ini mampu memartabatkan industri perfileman animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa. Secara tak langsung juga, ia akan memberi semangat kepada lebih ramai lagi peminat aliran ini di negara kita untuk cuba bereksperimentasi dengan karya masing-masing. Syabas buat LCP, teruskan misi anda dengan lebih banyak produk-produk baru di masa hadapan.

p/s: Comel sangat Upin dan Ipin.. Tersenyum dan ketawa aku melihat keletah mereka di YouTube.. hehe

Sunday, 8 February 2009

:: Freedom is an illusion?? Why??

Salam hujung minggu. Gembira ya hari ni kerana tak perlu menjengah ke pejabat. Tapi ada sebilangan dari kita yang masih fokus dengan kerja.. Harapnya prestasi itu mampu menjana sesuatu yang positif di masa hadapan.

Semalam, ada yang bertanya di ruangan sembang. Mengapa blog ini bertanda 'freedom is an illusion'..?

: ) Apakah pemiliknya ini ada masalah dengan kebebasan..? Hmm, antara ya dan tidak jawapanku. Anda kenal Michael Scofield..? Jika kenal, tidaklah perlu panjang lebar penerangan berikutnya. 'Freedom is an illusion' sekadar satu tagline dari siri popular Prison Break (maaf, kerana ia produk Amerika). Episod selama tiga musim cerita ini ada dalam koleksiku. Sekarang ia sudah masuk musim yang ke- 4.

Aku suka cerita yang berkisarkan tentang penjara. Contoh yang lain, The Shawshank Redemption. Cuba memahami gejolak emosi mereka yang disumbatkan ke dalam penjara dan terpaksa mengharungi saat-saat yang penuh debar lagi meresahkan. Pemberontakan dalam hati kerana melihatkan kebebasan itu terletak pada rantaian kunci di tangan manusia. Yang bersalah perlu diam dan akur. Bagaimana pula dengan yang jujur; terkorban kerana pengadilan yang tidak benar-benar tulus..? Manusia sanggup buat apa saja untuk kebebasan; itu perlu kita akui..


Emm, apa pula ertinya pada aku? Ini sekadar blog..? : ) ......Senyum lagi. Kerana blog ini suara hati aku, maka.., ia sesuatu dari segalanya yang tersimpan di situ.

Kebebasan. Maknanya terlalu dalam. Bukan untuk aku seorang tapi untuk semua kita.

Kita lihat dari konteks sesama manusia..

.Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, dan melontarkan perasaan hati.
~(Hakikatnya, ia ada batasan. Kerana hidup ini ada adab dan peraturannya.)

..Setiap orang adalah berhak ke atas nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.
~(Hakikatnya, masih ada yang diancam, disakiti dan diragut nyawa mereka.)

...Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan, layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.
~(Hakikatnya, tetap ramai yang menjadi mangsa kepada mereka yang berhati buta)

....Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan tanpa sebarang apa jua pembezaan dan halangan.
~(Hakikatnya, tetap ada jurang yang nyata)

Dan.. banyak lagi.

Kebebasan; sesuatu yang begitu didambakan oleh semua. Ia seolah benar-benar wujud. Dalam hati, dan juga akal. Hakikatnya, ia tak mudah untuk dizahirkan. Ia hanya ilusi, makhluk kerdil bernama manusia.

Kebebasan itu percumakah? Sebarang yang bernilai, perlu di'bayar'. Samada dengan janji, harta, air mata, atau mungkin saja dengan jiwa..

Mari kita sama-sama renungkan..

p/s: Realitinya aku tidak punya kebebasan yang mutlak. Namun aku bersyukur, kerana itu menjadikan aku..- Aku.

:: credits to Big Garlic Bullet's photostream@flickr.com

Saturday, 7 February 2009

:: Yang itu bukan selera aku..


Sedang isu hangat bertebaran di akhbar dan juga blog beberapa teman, aku jadi kurang minat untuk memberi ulasan. Aku mahu biarkan saja telatah mereka para pendukung watak dalam cerita ini. Sejauh mana sandiwara mereka..

Apa ada dengan suara aku? Takkan ke mana-mana, tapi kalau betul semua kita bersatu, pasti boleh jadi sesuatu itu.. kan..? Kalau si Luncai mahu terjun, biarkan. Ada labunya bisa dibuat pelampung. Kita yang tak memakai safety jacket ini hanya mampu melihat.. : )

Emm, tinggalkan dulu kisah ini. Tengahari begini lebih berselera kalau melihat gambar di bawah..


Mahu resepinya..? Ya, terima kasih buat penyampai menu, Hawa temanku di Dubai. Dia rajin memasak. Hidup sebagai perantau mengajar kami keseronokan mencari resepi-resepi baru.. Dan aku juga suka yang ini, ringkas dan sudah pasti sedap kerana ada cheese (kegemaranku) di situ. Jom kita cuba..

Cheesy Indulgence

5-6 biji kentang
Sedikit minyak sayur/jagung
1/2 cawan Cheddar cheese - diparut
Secawan sosej goreng - dihiris
Sedikit krim masam

Cara menyediakannya;
-Panaskan oven sehingga 190 darjah C. Ratakan sedikit minyak ke atas dulang pembakar.
-Gores kulit kentang. Bakar dalam oven/microwave sehingga ia lembut (lebih kurang 10-12 minit)
-Setelah itu, belah dua kentang tersebut. Keluarkan 1/4 isi di permukaannya.
-Isikan kepingan sosej dan juga keju di atas permukaan kentang. Kemudian susun ia ke dalam dulang pembakar.
-Bakar lagi dalam oven lebih kurang 7-8 minit sehingga keju tadi cair dan melitupi sosej dan kentang.
-Sedia dihidangkan. Enak dimakan bersama krim masam. (Aku tak jumpa krim masam, jadi makan begitu sahaja.. ^_^ )
*Keju itu tak kisahlah brand apa, banyak pilihan di pasaraya kita. Dan minyak sayur juga boleh digantikan dengan minyak masak atau marjerin.

p/s: Selamat menjamu selera di hari minggu.. Hari ini makan di rumah saja, esok baru mahu jalan-jalan cari makan.. ke mana ya..? : )
p/ss: Aku bukan tidak suka bicara tentang politik.. tapi aku belum cukup bijak. Harap maaf.

Thursday, 5 February 2009

:: Sebut tentang makan ~bertuah jadi warga Malaysia..

Selesai makan malam, ada sedikit masa untuk aku berada di sini sebelum mengundur diri dan melelapkan mata.

Tadi, kami makan berempat, ada seorang teman sekerja suami ada bersama (selain dari abang iparku..). Dari Malaysia juga.., mungkin 2-3 minggu dia di Bangkok untuk menyelesaikan tugasannya, sebelum kembali semula ke tanah air. Biasanya kalau ada sesiapa dari negara kita yang diam di tempat yang sama, kami pasti mempelawa mereka untuk sama-sama menikmati hidangan walaupun semuanya disediakan serba sederhana. Lebih manis begitu dari membiarkan mereka tercari-cari makanan halal di luar yang payah ditemui jika tidak tahu lokasinya.

Maklumlah, di kawasanku ini (kategori pinggir bandar), kalau mahu makan mengikut selera di Malaysia, perlu menggagahkan diri untuk memasak. Tak banyak makanan halal ada di pasar malam atau gerai-gerai berdekatan. Perlu bergerak pula menaiki teksi jika mahu ke restoran Muslim yang ada di kawasan lain. Syukur pasar paginya masih ada sumber bahan mentah seperti ayam dan daging halal serta makanan laut yang kebanyakannya segar-segar belaka. Senang hati kerana dapat memasak apa-apa yang diingini. Kebersihan pun lebih terjamin.

Pemandangan biasa di sini, peniaga berjualan di tepi jalan besar. Habuk dan debu tak terkira banyaknya. Tidak bertutup pun hidangan, ditambah pula dengan *haiwan-haiwan yang berkeliaran di sekitar gerai. Tepuk dada tanya selera. Mungkin mereka rasa itu tak mengapa.. tapi kita..? : )

Lebih kurang sebulan lagi aku akan setia di sini. Sekejap saja masa berlalu.. dan Malaysia seakan sudah memanggil-manggil kami pulang ke pangkuannya yang damai dan sentosa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.. Penutup kata yang bisa menyedapkan hati yang kerinduan..

Selamat malam semua...

p/s: Aku suka pasar malam di Malaysia, tapi aku juga pasti akan rindukan steamboat dan nasi beriyani Arab di kota ini.. hehe
*haiwan yang haram disentuh dan dimanjakan

Wednesday, 4 February 2009

:: Apa Erti Kawan..?

Ini julung-julung kali aku menerima award. ^_^ Terima kasih sdr Ismail N kerana penghargaan ini. Ada juga terlihat award yang sama diletakkan di blog teman-teman yang lain. Ia ibarat jalinan sebuah persahabatan, yang juga wujud di dunia maya ini..


Lewat dulu, ada jugalah kad ucapan, dan hadiah-hadiah yang ku terima dari teman-teman bersempena meraikan hari-hari istimewa; contohnya hari lahir, saat graduasi dan juga ketika majlis perkahwinanku.

Memang kita tidak minta, tapi naluri seorang teman, pasti mahukan sahabatnya itu gembira bukan..? Kalau tidak kerana hadiah pun, perhatian yang mereka berikan pada kita sudah cukup buat kita rasa lega, gembira dan bahagia. Terbukti, sesuatu yang ikhlas dan jujur menjadikan sesebuah persahabatan itu begitu indah dan istimewa.

Aku bicara sedikit tentang persahabatan. Sempat juga aku ketemu beberapa madah kata yang baik untuk mengupas cerita ini..


Perasan atau tidak, sahabat yang betul-betul rapat dengan kita akan mengetahui perasaan kita dengan melihat dari air muka sahaja. Mereka akan menjadi pendengar yang baik untuk setiap kisah kita, dan apa saja ulasan yang terbit dari bibir mereka, ia sesuatu yang jujur. Mereka sering membantu kita mengatasi kelemahan yang ada dalam diri, dan yang lebih bermakna, mereka membuatkan kita sedar akan apa kelebihan kita yang orang lain tidak sedari atau ambil peduli.



Rambut sama hitam, hati lain-lain. Walaupun kita membina persahabatan dengan orang yang berlainan cara dengan kita, dalam banyak-banyak perkara, kita akan ketemu juga adanya persamaan. Tanpa kita sedari, itulah yang membuatkan kita suka dan tertarik padanya.



Persahabatan tidak menuntut apa-apa balasan. Cukup saja dengan kepercayaan, kejujuran dan penerimaan. Walaupun dalam apa jua situasi, semua elemen ini amat diperlukan.



Mahu atau tidak, kita tetap perlukan sahabat. Kemahuan dan keperluan itu sesuatu yang berbeza. Barangkali kita boleh hidup tanpa sesuatu yang kita mahukan, kerana mungkin saja ia bukan sesuatu yang betul-betul berguna kepada kita. Namun, tanpa kecukupan sesuatu yang perlu, kita akan menderita..


Bila terjadi kehilangan, baru kita akan terduduk mengenangkannya. Kita tidak sempat untuk menatap senyumannya buat kali yang terakhir. Tidak sempat untuk menutur bicara kasih yang tersimpan dalam dada. Apa yang tertinggal hanyalah sepi dan rindu.

Sebelum terlewat, ucapkanlah penghargaan pada teman kita. Luahkan padanya betapa kita gembira kerana mengenali dia yang memberi kekuatan pada diri kita. Dan jujur kita perlu katakan; Terima Kasih Teman...

....Adakah kita cuma bersahabat dengan seseorang yang boleh dipanggil kawan..? Bagaimana pula dengan ibu bapa kita, pasangan kita (suami/isteri), anak-anak, dan juga sekalian makhluk-makhluk Tuhan yang lain..? Mereka juga teman dalam hidup kita. Mereka juga layak digelar sahabat. Oleh kerana itu, rendahkanlah hati, insafilah diri jika kita kata kita boleh hidup sendiri. Tanpa mereka, siapalah kita... : )

Di kesempatan ini, aku ingin melontarkan kata yang ikhlas dari hati, terima kasih buat semua yang pernah bertandang dalam hidup ini.. Moga-moga kalian sentiasa beroleh kebahagiaan dalam hidup, di dunia mahupun di akhirat.. InsyaAllah..

p/s: Teringat memori zaman persekolahan (menengah).. Saban hari aku dan para sahabat saling bertukar kad/nota yang dihias dengan bermacam-macam cara. Kelas yang berlainan membuatkan kami teruja untuk berkongsi perihal masing-masing. Iyalah.. masa itu, nak bersms, handphone pun masih belum ada. Sungguh manis kenangan ini. Sampai sekarang aku masih menyimpan semua kad dan nota itu, tidak satu pun ku buang. Kerana walaupun mereka sudah jauh di mata, di hati mereka dekat sekali...

:: credits to jakerome's photostream@flickr.com

Monday, 2 February 2009

:: Kereta dan Kita

Kereta. Tak dapat dinafikan ia merupakan salah satu dari nadi penggerak kehidupan. Dengannya kita mampu untuk sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu risau akan ketinggalan bas, tak perlu bersesak menaiki keretapi dan sebagainya. Alhamdulillah, kerana akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada manusia membolehkan terhasilnya ciptaan sebegini.

Ada yang kecil, ada yang besar. Sesetengahnya kelihatan cute, dan ada juga yang tampak gagah dan berani. Apapun ada yang mengatakan, sesebuah kereta itu ibarat cerminan personaliti pemiliknya. Mungkin ada benarnya di situ. Dalam menghias kereta, pemilihan accessories yang terlalu sarat bukanlah sesuatu yang aku gemari kerana mungkin sahaja aku seorang yang ringkas. Juga pengubahsuaian yang terlampau ekstrim. Tapi atas dasar minat individu serta kesesuaian jenis kereta, pemilik bengkel atau kedai peralatan seperti ini tidak perlu risau. Pelanggan yang berminat untuk modify sana-sini, masih ramai di luar sana.

Bila sudah bekerjaya, rata-rata orang akan mula memasang impian; diam-diam mahu memiliki rumah dan kereta. Lihat, betapa pentingnya ia pada kehidupan kita seharian. Budak kecil pun sudah pandai berangan..

"Tengok, ni kereta baru kita. Papa kita belikan. Best.. pintu dia boleh terangkat ke atas.."

Mereka memang bijak. Bijak mentafsir yang kereta adalah sesuatu yang bernilai, sesuatu yang istimewa, walaupun di depan mereka itu, cuma sebuah kereta mainan. ^_^

Kereta impian?
Tepuk dada tanya selera. Selalunya kita bersandar pada kemampuan kewangan sebagai garis panduan utama. Yang sesuai untuk diriku ini, cukup saja yang sedang-sedang saiznya. Peruntukan bulanan untuknya juga harus sederhana kerana banyak lagi keperluan lain yang perlu diutamakan. Walaupun Lancer GT dan Honda City baru itu menawan hati, ianya masih jauh lagi dari jangkauanku. (Tersenyum; menambah stok angan-angan..)

(Gambar hiasan)- Cara parking yang 'tepat'.

Emm, macam-macam gelagat manusia bila kita sentuh tentang kereta dan aspek memandu. Boleh jadi kita akan melihatnya dari perspektif yang berbeza.. Yang sopan dan berhemah, tabik kepada mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang...

*Lupa daratan
Ghairah memecut, lupa segala-galanya. Terlampau taksub dengan kemampuan dan kehebatan kereta yang dimiliki. Dialah jaguh di jalan raya. Had laju yang ditetapkan langsung tidak dihiraukan. Saman? Oh, bayar saja, habis cerita..

Bila sudah terbabas dan terbaring di katil hospital, barulah mereka sedar yang perbuatan ini hanya sia-sia belaka. Malang tidak berbau.., Biar lambat asal selamat; begitulah antara pesanan yang sering dicanangkan.

*Panas baran
Kerana kereta orang bermusuhan.. Bukan kita tak pernah dengar atau lihat, adegan maki hamun yang kadangkala berlanjutan sehingga timbul aksi tumbuk menumbuk. Selalunya perselisihan faham ini terjadi akibat perlanggaran, atau kes potong memotong yang menimbulkan perasaan tidak puas hati pada sebelah pihak.

Sebagai wanita memang aku sedikit gerun dengan hal semacam ini. Lebih baik ia dibawa berunding dengan cara baik kerana ia akan lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak. Jika ada yang tidak mahu bertolak ansur, ke balai polis saja untuk menyelesaikannya.

....Yang selain dari itu, tak mengapalah.. Cuma dua ini saja ingin aku tekankan di sini kerana ia saban kali mendatangkan kesusahan dan kesakitan (mental & fizikal).

Adatlah manusia, ada angin pasang surutnya. Aku sendiri ketika memandu kadang-kadang membentak dalam hati kerana tidak puas hati akan sesuatu. Tetapi kerana memikirkan keselamatan dan juga ketenangan seisi kereta, apa salahnya kita berlatih untuk memupuk sikap sabar dan prihatin dalam diri. Perjalanan selamat, hati pun gembira. InsyaAllah.. ^_^

Sunday, 1 February 2009

:: Mahu buat macam-macam..

Mood sudah bertukar. Pada asalnya aku tidak mahu memikirkan sangat tentang layout, template, mahupun header blog yang berisikan imej panorama di pantai itu. Kerana aku sudah cukup suka dengan gambar tersebut. Dan aku juga seakan sudah puas hati dengan penampilan yang biasa-biasa saja.

Tapi baru-baru ini aku rasa bersemangat pula untuk mengubah sesuatu. Susun atur elemen-elemen dalam rumahku ini sepertinya perlu diubah. Juga imej dalam header yang aku edit dalam keadaan tergesa-gesa tempoh hari.

Kalau boleh, biarlah blog ini kelihatan lebih baik dari apa yang ada sekarang. Aku tidak meletak harapan terlalu tinggi kerana aku bukan seorang yang hebat dalam olahan seni.. ^_^ So, tunggu masa saja. Ada kelapangan, aku akan jalankan misiku ini.. Chaiyok²!

p/s: Oh, ya.. Aku baru upload satu gambar di flickr.com. :p Dan selepas ini banyak lagi yang akan menyusul. Pada mulanya mahu dimuatkan dalam photoblog, tapi kerana kesuntukan waktu, aku mulakan dengan yang ini dahulu. Sekian buat tatapan semua, salam dari Nadine Zuharra..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails