Showing posts with label bila kaki melangkah... Show all posts
Showing posts with label bila kaki melangkah... Show all posts

Sunday, 19 July 2009

:: Bergembira di Ladang Ostrich.. ^_^

Semalam, aku menyertai lawatan bersama anak-anak murid berkunjung ke Negeri Sembilan. Perjalanan agak jauh namun tidak memudarkan semangat anak-anak untuk menitip beberapa pengalaman dan ilmu yang berguna di sana. Seramai 75 peserta dalam rombongan kami dan 2 biji bas telah disewa menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Di dalam bas, anak-anak kelihatan gembira dan terhibur dengan gelagat serta perbualan bersama wakil jurupandu dari ejen tersebut, Abang Mack. Tayangan video juga mengalih tumpuan mereka dari merasakan kepenatan.

Destinasi pertama yang kami kunjungi di Negeri Sembilan, adalah Ladang Burung Unta Jelita yang bertempat di di Lot 1504, Batu 6, Mukim Pantai, Jalan Jelebu. Ladang di kawasan seluas 4.2 hektar ini disahkan Malaysia Book of Records sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia.

Terkenal sebagai pusat riadah untuk seisi keluarga, ladang ini bukan saja membiakkan burung berkenaan, malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan tersebut. Para pengunjung tanpa mengira usia boleh mencuba pelbagai aktiviti, antaranya memberi ia makanan, menunggang burung unta dan paling istimewa menonton perlumbaan burung berkenaan, dipercayai yang pertama di Asia.

Apa yang pasti, larian burung unta atau lebih dikenali sebagai ostrich ini pantas dan jika ia berada dalam keadaan terancam, usah dekat dengannya, bahaya..! : ) Namun pada penglihatanku, burung unta ini sebenarnya mudah mesra jika kita berbuat baik kepadanya, misalnya memberi ia makan serta memperlihatkan suasana yang tenang dan terkawal.

Anak-anak begitu teruja semasa berada di ladang ini, maklumlah, kebanyakan dari mereka belum pernah merasa menjejakkan kaki ke ladang ternakan, dan berada di sini membuatkan mereka rasa bebas dan gembira. Tambahan lagi, melihat burung unta secara dekat barangkali sesuatu yang baru buat mereka. Selain burung unta terdapat juga haiwan lain seperti kuda, kambing, dan ayam di sini.

Selepas penat beriadah di Ladang Burung Unta, kami berkunjung ke Muzium Negeri Sembilan. Di sini, pelajar dapat memahami tinggalan sejarah yang sudah lama bertapak di negeri ini serta melihat sendiri unsur-unsur senibina minangkabau yang terkenal.

Sesi makan tengahari menyusul selepas itu. Kami dihidangkan dengan nasi ayam istimewa di sebuah restoran yang terletak di Seremban. Anak-anak mengambil peluang merehatkan badan yang dijamah peluh sebentar tadi.

Destinasi terakhir kami adalah Kilang Kristal Rembau. Di sini, jurucakap menunjukkan bahan-bahan untuk penyediaan serta langkah demi langkah proses menghasilkan produk kristal yang selalu kita lihat di pasaran. Patutlah harga setiap satu barangan ini tinggi, rupa-rupanya proses menghasilkannya agak rumit.

Dengan suhu panas di sekitar tempat kerja serta pengamatan dan ketelitian yang tinggi diberikan oleh setiap pekerjanya, barulah terhasil produk yang indah dan istimewa ini. Kebanyakannya dijadikan hiasan rumah dan golongan yang meminatinya sebahagian besar para wanita. : )

Tamat sesi lawatan di kilang kristal kami bergegas menyambung perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Masing-masing memahat kemas cerita dan pengalaman yang berharga di lipatan memori, untuk diceritakan kepada keluarga tersayang. Kira-kira jam 4 petang, kami semua selamat tiba di sekolah dan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing.

Kesimpulannya, kanak-kanak wajar diberi peluang menyertai lawatan sebegini bersama teman dan para guru kerana ini akan mendidik mereka cara untuk berdikari, selain memantapkan kebolehan berkomunikasi dalam menyempurnakan setiap aktiviti yang berlangsung di destinasi lawatan.

Setiap tahun pihak sekolah kami akan menganjurkan lawatan tahunan, dan destinasi tahun depan pastinya lebih menarik..! Ku akhiri catatan pengalaman ini dengan senyuman... ^_^

Sunday, 21 June 2009

:: Bak laut..


Bak laut
Ada pasang
Ada surut
Ada tenang
Ada gelombang

Yang pasti
Berombak
Tak berhenti

Menempuh karang
Menuju ke tepi

Sabtu minggu sudah, dalam perjalanan menghadiri jemputan perkahwinan sepupuku di Batu Pahat, Johor, sempat kami sekeluarga singgah di Melaka. Demi melunaskan hajat adik-adikku yang kepingin melawat Menara Taming Sari, kami juga turut berkunjung ke Muzium Samudera yang berdekatan.

Baru aku sedari, begitu banyak sejarah yang dapat kita fahami di tempat sebegini. Tak rugi membawa anak-anak di kala cuti kerana banyak yang dapat mereka pelajari sementelah semua sejarah itu telah lama berlalu, walaupun kesan dan tinggalannya dapat kita saksikan sehingga hari ini.

Kata-kata indah di atas telah aku rakamkan dari suatu sudut di Muzium Samudera. Ibarat kehidupan manusia, itulah yang dapat aku tafsirkan dari olahan hati sendiri. Segala pahit manis, ranjau serta halangan perlu kita hadapi demi menggapai pengakhiran yang kita hajati. Bagaimana pendapat kalian pula..? : )

Salam manis buat semua, selamat berhujung minggu... ~

Monday, 18 May 2009

:: Cerita yang sudah lepas..

Salam.. aduhai.. menyepi buat seketika.. bila lama tak menulis mulalah hati rasa janggal! : )

Komitmen untuk berblog ini bukan mudah rupanya.. Keterbatasan waktu membuatkan kita tak sempat untuk berbicara walaupun hati masih selalu teringat pada segala yang menarik di ruangan ini. Mujur semangat masih belum padam, maka gagah jugalah jari-jemari menjamah papan kekunci untuk mencatat sesuatu untuk ingatan diri sendiri.

Cerita semalam.

Aku berkunjung ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 (K3G) yang berlangsung dari 15 Mei yang lalu, bertempat di PWTC. Semalam merupakan hari terakhir. K3G ini disertai oleh 400 hingga 600 pempamer yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, agensi kerajaan, entepris kecil dan sederhana (SME), IPT tempatan, serta pelbagai institusi lain.

Lebih dari 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang telah ditawarkan terutamanya kepada graduan menganggur dan juga yang masih tercari-cari pekerjaan tetap. Kesimpulannya, dengan kehadiran 'para pemburu kerja' yang begitu mengalakkan seperti semalam, aku perlu bekerja lebih keras untuk menggapai pilihan kerjaya yang diimpikan.


Cerita kelmarin.

Mm, cubaan untuk menjadi usahawanita berjaya...? Hehe.. tak perlu ku ceritakan panjang lebar kerana halnya kecil saja. Ya, aku mula berjualan dadih setelah mempromosikannya secara kecil-kecilan. Resepi tersendiri, dan boleh dikatakan rasanya juga lain dari yang lain. Ingin mencuba..? Boleh saja.. Terbuka juga untuk tempahan.. : ) Buat masa ini aku cuma sediakan perisa asli dan coklat. Mungkin selepas ini akan muncul pula perisa jagung dan strawberry. InsyaAllah.. : )


Cerita minggu lepas.

Jika aku menyepi, itu tandanya aku tak lekat di rumah. :D

Lokasinya di mana pula? Alhamdulillah, kali ini sampai juga kami ke pulau legenda Langkawi. Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kerana diri telah jatuh hati dengan pantai, maka lama tak melihat desiran ombak, hati jadi rindu.

Mungkin bagi segelintir pengunjung, membeli belah di Langkawi membuatkan mereka teruja, namun bagiku pulau ini memiliki keistimewaan yang lebih dari itu. Sampaikan tiba hari kami mahu berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk menambah satu hari lagi. Semuanya kerana hati yang merasa tidak puas.

Tak puas melihat cantiknya laut, dan masih lagi ingin merasakan ketenangan tatkala dibuai angin petang, ditemani langit yang membiru. Mm, bila masa kian lapang nanti akan ku segerakan tambahan foto-foto di flickr.com.

Sekian, bertemu lagi di hari esok.. Salam manis buat semua teman yang sudi berkunjung ke mari.. Selamat malam.. : )

Saturday, 25 April 2009

:: Meneroka Alam T-rex

Apa yang menarik di Petrosains The Discovery Centre, KLCC? Beberapa kali menemani anak-anak buah dan juga saudara mara yang teringin untuk menjelajah dunia di dalamnya, jujur aku katakan aku tidak pernah merasa bosan.

Baru-baru ini, alam dinosaur yang mengagumkan dihidupkan kembali melalui DinoTrek 2 yang diwujudkan di dalam rangkaian interaktifnya. Tiket cuma RM6, dan sebahagian imaginasiku tentang hidupan yang sekian lama lenyap ini terungkai di sana.


Emm, T-rex bertemu Spinosaurus, siapa yang akan menang dalam pertarungan? T-rex kedengarannya agak popular berbanding lawannya itu. Namun begitu, di dalam filem Jurassic Park III, Spinosaurus digambarkan begitu gagah kerana berjaya membunuh T-rex. Benarkah..?

: ) Hakikatnya Spinosaurus dan T-rex tidak pernah bertemu kerana mereka hidup dalam dua zaman yang berjuta tahun jaraknya serta lokasi fosil mereka ditemui juga berbeza-beza.

-----wah, menguji minda sendiri nampaknya.. hehe :D

Secara ringkas, zaman dinasour terbahagi kepada tiga iaitu; Triassic (203-250 juta tahun dahulu), Jurassic (135-203 juta tahun dahulu), serta Cretaceous (65-135 juta tahun dulu). Entah bagaimana rupa dinasour yang wujud di zaman yang paling purba. Takut untuk aku membayangkan.

Tak mustahil wujud rupa bentuk yang amat ganjil kerana jika kita lihat pada zaman yang terkini pun di dasar lautan sana, masih banyak hidupan yang aneh dan menakjubkan. Sesungguhnya semua ini kuasa yang Maha Pencipta, Tuhan sekalian alam.


Akhir sekali, pesanku pada peminat alam sains, jangan lupa singgah di DinoTrek 2 sekiranya anda berkunjung ke Petrosains. Cubalah kuiz dan permainan seperti Dino Quest, Dino Dance, Dino Puzzle, juga segala aktiviti interaktif lain yang banyak terdapat di sini. Menyeronokkan bagi golongan dewasa apatah lagi kanak-kanak. Selamat berkunjung di masa lapang.

p/s: Di Dino Dance, 5 keping gambar pengunjung akan dirakamkan dan boleh dihantar terus ke email. Opps, perlu menari terlebih dahulu bersama Mr Dino. :D

Sunday, 19 April 2009

:: Seronokkah memancing..?

Memancing. Pengalaman pertama bagiku barangkali. Sebelum ini tak pernah aku ikut serta dalam sebarang aktiviti memancing. Sebut tentang joran dan mata kail.. mustahil jikalau tidak kenal, tetapi cara memasang peralatan tersebut serta teknik-teknik memancing langsung tidak aku ketahui.

Rupa-rupanya ada pelbagai teknik memancing yang boleh disesuaikan dengan keadaan perairan yang berbeza. Ilmu ini perlu dituntut sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk menjadikan aktiviti ini sebagai hobi di masa lapang. Aku..? Cukuplah sekadar pengetahuan yang asas sahaja kerana aku lebih suka bersantai sambil melihat orang memancing berbanding mencubanya sendiri. Aku sebenarnya takut untuk memegang umpan mahupun ikan yang masih hidup. :D

Lewat kunjungan ke kampung dulu, aku mengambil kesempatan mengikut suami ke kawasan berhampiran Jeti Tanjung Gemuk (jeti ke Pulau Tioman) yang tak jauh dari rumah atukku, kira-kira 5 minit perjalanan sahaja. Berbekalkan sebatang joran yang baru dibeli, kami memancing di atas jambatan bertentangan dengan jeti, di mana perairan di sini merupakan pertembungan antara Laut China Selatan dan sungai Pahang.

lokasi kami memancing; di atas jambatan nun di belakang sana...

Kerdipan lampu di sepanjang jambatan serta pantulan cahaya yang terhasil di permukaan air begitu mempesonakan. Sesekali ku pegang juga batang joran dan pada masa yang lain, aku lebih banyak memerhatikan riak-riak air dan aksi beberapa orang pemancing yang berada berhampiran kami. Boleh dikatakan di sini port untuk kaki memancing menghabiskan masa lapang mereka.

Tak lama menunggu, mata kail dipagut sesuatu. Wah, kami berjaya mendapatkan ikan! Bila dinaikkan rupa-rupanya ia seekor ikan gelama yang kecil. Kurang berpuas hati, kami melepaskannya kembali ke dalam laut. 2-3 ekor ikan hasil pancingan berikutnya juga sederhana saja. Kemungkinan air yang deras malam itu menyebabkan ikan-ikan tidak banyak berkumpul di kawasan favourite ini. Kami tidak kecewa, kerana hakikatnya kami sekadar ingin mendapatkan pengalaman memancing di situ.


Apa yang lucu, kira-kira sejam kemudian, aku tidak lagi setia menanti di pinggir jambatan. Aku sudahpun terlelap di dalam kereta. Betul kata orang, memancing perlu kesabaran dan minat. : ) Ada rezeki adalah ikan, jika tiada, hati tetap gembira.

Sedar-sedar aku dikejutkan suami. Sebelum pulang sempat aku bertanya kepadanya.
"Mana ikan?"
"Semua dah bagi orang.." jawabnya.


Aku cuma tersengih. "Lain kali kita cuba memancing di kolam ikan pula. Mungkin lebih lumayan hasilnya.." bisikku dalam hati. : )

Seronok juga memancing..! Nanti boleh pergi lagi.. ;D

:: credits to ayares151.fotopages.com

Tuesday, 24 February 2009

:: Bersantai di bawah terik matahari..

Ahad yang lepas aku berkunjung ke Chatuchak Weekend Market yang terletak di tengah kota. Sebenarnya ini kunjunganku kali yang ketiga. Aku cukup suka tempat ini. Teman-teman yang berhajat untuk melawat Bangkok, jangan lupa.. ia perlu ada dalam senarai destinasi pilihan anda..


Nama Chatuchak (atau Jatujak) ini diambil sempena nama sebuah taman awam yang turut wujud di situ. Ia merupakan pasar yang terbesar sekali di Thailand dan juga Asia. Dengan keluasan kawasan meliputi kira-kira 1.13km², ia berpusat di dataran lapang yang dikelilingi beberapa lokasi yang tak kurang menariknya seperti JJ Mall (kompleks beli belah), Chatuchak Park, Children's Museum, Railway of Thailand Museum, Chatuchak Plaza, Jatujak Day & Night, serta Queen Sirikit Park.

Untuk sampai ke sini, dari pusat bandar, kami menaiki BTS SkyTrain dan berhenti di Mo Chit. Pintu masuk ke pasar ini ada banyak. Jika kita masuk melalui pintu A, maka keluar nanti carilah semula pintu A itu, agar kita tidak perlu menapak terlalu jauh untuk kembali ke stesyen BTS tersebut.


Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 9 pagi. Awal pagi lebih menyenangkan kerana sekarang ini musim panas. Itu pun sampai di sana matahari sudah terik membahang, lantas kami membeli topi lebar untuk menghalang silau dari menujah anak mata.

Terlalu banyak gerai dan kedai yang menyajikan pemandangan menarik di sini. Mengikut fakta terkini, hampir 15,000 unit, terbahagi kepada zon-zon yang berlainan. Aku sendiri tak pernah berjaya menjelajah keseluruhannya. Kalah kepada keletihan..

Dibuka setiap Sabtu dan Ahad, ia dikunjungi lebih dari 200,000 pelawat sepanjang hari. Ramai tertarik dengan keistimewaan pasar ini yang menawarkan pilihan yang begitu berwarna-warni. Rambang mata juga melihat aneka barangan keperluan rumah, pakaian, kraftangan Thai, bahan artifak, koleksi-koleksi unik, lukisan serta perhiasan, makanan dan sebagainya.


Satu perkara yang penting, sebelum membeli, kita cuba dulu untuk survey harga barangan tersebut. Ini kerana terdapat banyak kedai yang menjual barangan yang sama dan mungkin wujud perbezaan harga di situ. Jika kita handal tawar-menawar pasti kita akan berpuas hati dengan harga yang diperolehi.

Pada mulanya aku tidak berniat hendak bershopping sakan, tujuan utama cuma hendak menjamu mata saja. Alih-alih, pulang juga dengan membimbit 2-3 beg plastik dek kerana terpukau dengan barangan yang ada di sini. Kebetulan kami pun sudah mahu pulang ke Malaysia, maka kami mengambil kesempatan untuk membeli sedikit perhiasan rumah yang boleh digunakan di kediaman baru nanti. Apa yang penting, ia bercirikan Thai.. sekurang-kurangnya bila terlihat benda-benda ini, akan mengembalikan memori kami di sini. Kononnya.. hehe ^_^

Antara lain yang menarik;
Kedai yang menjual arnab untuk dijadikan haiwan peliharaan. Siap dengan kostumnya sekali. Comel kan? (melihat² saja tanpa membeli) :D


Kehadiran 'Jack Sparrow' yang setia menghiburkan orang ramai dengan aksi silap matanya. Menjadi kebiasaan, artis-artis jalanan menjadikan lokasi sebegini sebagai medan untuk meraih rezeki.


Setelah penat berjalan, kami berehat seketika sambil menikmati hidangan tengahari di gerai Muslim yang terdapat di kawasan Clock Tower. Kesemua hidangan nampak menyelerakan dan aku memilih menu kuey teow sup serta beberapa cucuk sate. Selepas itu kami menyambung semula perjalanan. Kerana cuaca yang sangat panas, banyak kali juga kami singgah membeli minuman termasuklah ABC yang sungguh sedap.

Lewat petang, setelah berpuas hati ditambah pula dengan kaki yang sedikit lenguh, kami keluar dari Chatuchak.. Orang tetap ramai, berpusu-pusu keluar masuk pasar. Dengan pas sehari BTS, kami turut singgah di beberapa destinasi lain. Tiba di rumah kira-kira jam 10 malam, baru kami menyedari sesuatu.. Aduh, penatnya! Tapi.., seronok. ^_^

Begitulah serba sedikit catatan perjalanan buat minggu sudah. Minggu ini, belum ada lagi perancangan. Yang pasti, minggu depan tamat sudah sesi berjalan-jalan kerana perlu berkemas untuk pulang ke tanah air tercinta. Nostalgia manis di sini akan kekal tersimpan di dalam kotak ingatan... : )

:: credits to photostreams@flickr.com


Thursday, 15 January 2009

:: Memori Bukit Tinggi..

Tercapai juga hajatku nak melawat destinasi yang satu ini. Walaupun perancangan pada mulanya hampir tak menjadi, namun pagi 31 Disember yang lalu kami benar-benar ada kelapangan, dan aku, suami serta tiga orang adikku berpeluang menghabiskan sedikit masa bersantai menikmati panorama yang menarik dan memukau di Bukit Tinggi ini. Aku titipkan serba sedikit catatan kenangan yang masih segar dalam ingatan..

7.30am: Menyiapkan sedikit bekalan untuk dibawa bersama. Kononnya hendak picnic sambil menghirup udara segar di pinggir bukit. Menu yang mudah-mudah saja; spaghetti with sauce, egg & tuna sandwich serta sedikit makanan ringan.

9.00am: Semua telah bersiap lalu kami memulakan perjalanan. Dari Plaza Tol Gombak, kami memasuki Lebuhraya Karak. Sambil berbual, mata leka menikmati keindahan alam sekeliling.

9.40am: Oh, sudah sampai kami di Bukit Tinggi.. terasa perjalanan begitu sekejap, lebih kurang 40 minit saja dari KL. Cuaca di tanah tinggi ini terasa dingin dan nyaman. Kami terus menuju ke main entrance pusat peranginan Berjaya Hills . Bayaran masuk yang dikenakan RM10 bagi dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. (Kalau percuma, sudah pasti ia menarik lebih ramai pengunjung.)

9.50am: Kini kami berada di kawasan Colmar Tropicale. Mengambil inspirasi dari Colmar Village yang terletak di Alsace, Perancis, binaan-binaan klasik bangunan (yang turut dijadikan hotel penginapan) di sini membuatkan kami berasa seperti berada di luar negara.. sungguh menarik dan mempersonakan.

Kami banyak menghabiskan masa di Colmar Square, berjalan santai sambil menyusuri keunikan setiap bangunan yang mengelilingi kawasan ini. Terdapat juga Clock Tower, kolam buatan yang mengelilingi kastil (habitat angsa-angsa jinak), dan pelbagai lagi elemen-elemen yang memikat hati. Emm, sedar tak sedar, hampir dua jam juga kami berjalan.

12:00pm: Bermain dengan arnab di The Rabbit Park. Kami tiba di sini dengan menaiki shuttle truck yang disediakan khas untuk membawa para pelancong menjelajah kawasan sekitar. Selain arnab-arnab yang comel, terdapat juga keldai dan juga rusa. Tak lama kami di sini, kerana adikku yang bongsu memberi isyarat perutnya sudah berbunyi. Kasihan, kerana dia tak sempat bersarapan sebelum bertolak dari rumah tadi lalu kami kembali semula ke Colmar Tropicale.

12:45pm: Pusing-pusing sebentar di Colmar Tropicale. Nampaknya tiada tempat yang sesuai untuk kami berehat sambil menjamah makanan. Selepas mengambil kereta di parking, kami bergerak menuju ke satu lagi kawasan tarikan pengunjung, Japanese Village. Jaraknya cuma 5 minit jauhnya dari Colmar Tropicale.

Setibanya di kawasan letak kereta Japanese Village, kami berjaya mencari port yang sesuai. Juga tiada kemudahan bangku dan meja di sini, lalu kami mengambil alternatif lain dengan membentang tikar sebagai alas duduk. Kemudian aktiviti makan pun bermula dengan jayanya.^_^.

1:20pm: Berjalan kaki mendaki cerun yang sedikit curam untuk sampai ke Japanese Garden Village. Hutan rimba di tebing bukit menemani kami sepanjang pendakian yang sedikit meletihkan. Maklumlah, perut sudah kenyang, langkah pun jadi semakin perlahan.

1:30pm: Irasshaimase..!(Welcome) ^_^

Japanese Garden seolah-olah menyambut kami dengan senyuman. Aku akui, keunikan budaya Jepun terlihat jelas dalam senibina lanskap tamannya yang cantik dan terancang .

Di taman ini, kami berpeluang memberi makan kepada ikan-ikan koi yang bebas berenang di dalam kolam yang berair jernih. Tidak jauh dari kolam, terdapat Japanese Tea House, di mana pengunjung boleh menyewa kimono sekiranya mahu ikut serta dalam upacara minum teh yang menjadi tradisi masyarakat Jepun.

2.30pm: Sesudah puas mengelilingi Japanese Garden, kami singgah sebentar di Botanical Garden yang terletak bersebelahan dengannya. Aku jatuh cinta dengan kehijauan flora yang menghiasi taman ini. Sejuk mata memandang..

3:00pm: Botanical Garden menjadi perhentian terakhir kami. Petang itu, kami sudah ada agenda lain, maka setakat ini saja kunjungan kami pada hari ini. Pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang gembira walaupun cuma sekejap masa yang dapat diluangkan di sini. Ada rezeki, kami akan kembali lagi di masa akan datang.. InsyaAllah..

p/s: Bukit Tinggi dah berjaya didaki, tapi bila pula nak merasa manisnya strawberry di Cameron Highland? ^_^

Monday, 22 December 2008

:: Ku lari ke pantai kemudian menyanyiku..

Ku lari ke hutan kemudian teriakku
Ku lari ke pantai kemudian menyanyiku
Sepi... sepi..dan sendiri aku benci
Aku mau bingar... aku mau di pasar
Bosan aku dengan penat
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika kusendiri...
... Pecahkan saja gelasnya biar ramai...
Biar mengaduh sampai gaduh...
Aih... ada malaikat menyulam
Jaring laba laba belang di tembok
Keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja...
Loncengnya...
Biar terdera
Atau aku harus lari ke pantai
Belok ke hutan...

Hujung minggu yang lalu aku bercuti ke pantai. Langit dan laut.. indah dan mendamaikan...
Harapanku, untuk mengumpulkan semua gambar-gambar pemandangan yang selama ini menjadi kesayanganku untuk aku muatkan dalam sebuah photo blog. Gembira untuk berkongsi bersama kalian.. InsyaAllah..

..Puisi Rangga (filem Ada Apa Dengan Cinta)..

Monday, 15 December 2008

:: Hendak ke mana Cik..?

Sabtu dan Ahad sudah berlalu dan hari ini, jalan raya kembali sibuk dengan kenderaan bersimpang siur menuju ke destinasi masing-masing. Di kota Bangkok ini, hari-hari bekerja kebiasaannya jalan sedikit sesak berbanding dengan suasana di hujung minggu.

Jangan terkejut jika aku katakan yang pemandu di sini memandu dengan sangat laju. Bayangkan, jika aku mahu menyeberangi jalan di hadapan rumahku ini sahaja sudah memakan masa yang lama. Dengan bilangan kenderaan yang bertali arus dan penunggang motosikal pula suka memecut bagaikan aksi Mat Rempit, melintas jalan sudah menjadi satu hal yang sukar bagiku.

Satu lagi pemandangan yang sinonim di sini, kenderaan awam begitu mudah didapati di mana-mana. Oleh kerana aku dan suami tidak memiliki kereta di sini, kami memang kerap menggunakan servis pengangkutan awam. Mujurlah syarikat suamiku menyediakan kenderaan khas untuknya dan pekerja-pekerja lain bagi kemudahan pergi dan balik dari tempat kerja. Maka, tak perlulah hari-hari mengasingkan tambang untuk ke destinasi tersebut.

Yang selalu ku naiki...
Teksi
. Sangat mudah didapati di mana-mana. Servisnya bagus dan memuaskan hati tambahan pula pemandunya juga peramah. Tapi awas, mereka memandu seperti di litar lumba. Pasanglah seat belt anda..hehe.. Jika teksi bermeter, tambang bermula dari 35 baht, lebih kurang RM3.50 (mungkin sedikit mahal berbanding di Malaysia).. namun begitu, meter yang bergerak seterusnya akan dicaj dengan nilai tambang yang berpatutan..

Minibus / trak pikap. Kalau mahu pergi ke pasar atau lokasi-lokasi berdekatan dengan rumah, aku lebih senang memilih perkhidmatan ini. Lebih murah (80 sen tambangnya). Selain dapat menikmati angin sepoi-sepoi bahasa, ia juga memudahkan aku melihat pemandangan di luar kerana ruang penumpangnya yang agak terbuka. Tak dapat aku bayangkan aku menaiki kenderaan ini di Kuala Lumpur. Mungkin tiada privacy, anggapan segelintir orang kita. Yang pastinya, masyarakat di sini memang 'sempoi'.. : )

Jika mahu pusing-pusing di dalam bandar pula, LRT jadi pilihan. Sistemnya lebih kurang sama dengan yang ada di negara kita. Jarang penumpang menghadapi masalah perlu beratur panjang di kaunter untuk membeli tiket kerana semua perlu membelinya di mesin automatik yang banyak disediakan di stesen-stesen. Cuma gunakan wang syiling 10baht/RM1 atau 5baht/50 sen. Jika tiada syiling boleh di tukar di kaunter.

Alternatif lain..
Seingat aku baru beberapa kali aku menaiki bas. Pertama kali, semasa berkunjung ke Pattaya, kawasan peranginan yang letaknya hampir 2 jam perjalanan dari rumahku. Dengan aircond yang bermasalah, penumpang yang padat macam tin sardin.. hmm, memang malang ketika itu kerana tersilap menaiki bas 'koboi'. Nasib baik selepas itu kami sudah tahu jenis-jenis bas yang memberikan servis yang lebih baik.

Tuk-tuk pula salah satu pengangkutan yang popular di kalangan pelancong. Untuk destinasi yang berdekatan, ia sesuai untuk dinaiki kerana mudah untuk kita menikmati perjalanan sambil berkomunikasi dengan pemandu yang kebanyakannya boleh berbahasa Inggeris. Pemandu tuk-tuk ini memang suka memperkenalkan tempat-tempat menarik untuk dilawati kerana jika mereka membawa pelancong ke tempat tersebut, kadangkala mereka memperolehi tips tambahan sebagai 'orang tengah'. Pengangkutan jenis ini mudah didapati di pusat bandaraya.

Sekali sahaja aku pernah membonceng motor-taxi.. itupun kerana terpaksa.. ^_^ Dari jalan besar atau jalan utama banyak terdapat pecahan lorong-lorong yang jauh ke dalam di mana di kiri kanan lorong itu terdapatnya kawasan perumahan. Dalam terik matahari, aku terpaksa menumpang salah satu motosikal ini untuk ke rumah temanku. Pemilik-pemilik motosikal ini biasanya akan memenuhi simpang ke lorong-lorong perumahan terutamanya ketika waktu puncak orang pulang dari bekerja bagi mendapatkan pelanggan. Tambangnya sekitar RM1 ke atas bergantung pada jauhnya perjalanan. Beca juga ada, tapi jarang-jarang kelihatan.

Di Thailand, banyak juga penempatan yang dibina di tepi sungai. Maka sebilangan dari penduduk di sini menggunakan alternatif sampan dan bot sebagai penghubung. Mereka juga turut menjadikan sungai sebagai sumber rezeki. Tidak lama dulu, aku pernah menaiki express boat menyusuri sungai Chao Phraya , ia satu pengalaman yang sungguh berharga..

Jika kalian melawat Bangkok jangan lupa singgah di pasar terapung seperti yang terdapat di Damnoen Saduak. Pasti ia menjanjikan pemandangan yang menarik dan istimewa..


Baiklah.. setakat ini dulu yang dapat dikongsi bersama.. ^_^ Ramai rakyat Malaysia yang sudah melawat Bangkok, dan aku yakin apa yang aku coretkan di sini tidak asing lagi bagi kita. Di lain masa, aku akan bercerita lagi tentang pengalaman hidupku di sini.. InsyaAllah..

p/s: Apa sekalipun, aku tetap rindukan Sabtu dan Ahad di Kuala Lumpur. Sarapan pagi di warung dengan roti canai & teh tarik, juga sepetang di KLCC.. Tak sabar nak balik...!

Saturday, 13 December 2008

:: Cuti-cuti Malaysia..

Pejam celik pejam celik bertemu lagi aku dengan Sabtu. Bukan Encik Sabtu ya tapi hari Sabtu, salah satu dari hari kegemaranku. ^_^

Kebiasaannya, pada hari ini, ramai yang menarik nafas lega kerana dapat lari seketika dari bebanan kerja yang sinonim bagi mereka yang bekerjaya. Sesiapa yang bidang kerjanya bukanlah diperuntukkan dari Isnin-Jumaat atau Ahad-Khamis (negeri-negeri tertentu) pasti merasakan yang biasa-biasa saja dengan hari Sabtu ini. Lebih-lebih lagi golongan surirumahtangga sepenuh masa. Tatkala hari cuti sebeginilah, seisi keluarga dapat berkumpul bersama di rumah.. anak-anak rancak bermain seronok tidak perlu ke sekolah, suami pula mungkin mengambil peluang bersantai sambil menonton TV, namun kelihatannya wanita-wanita ini masih setia dengan tugas yang sudah terpikul di bahu sejak sekian lama. Memasak, membasuh, berkemas dan macam-macam lagi. Barangkali tiada istilah cuti bagi mereka. Namun, bibir masih tersenyum manis, kerana kasihnya mereka pada keluarga di depan mata..

Si ayah pula ada yang awal-awal lagi sudah merancang mahu menggembirakan anak-anak dengan membawa ke tempat-tempat yang menarik sempena cuti ini. Berkelah ke pantai, berkunjung ke pusat membeli belah, tak kurang juga ada yang pulang ke kampung untuk mengisi cuti yang sekejap cuma. Walaupun singkatnya masa yang mencemburui, ianya sangat berbaloi kerana anak-anak cukup bahagia jika ibu bapa memberi perhatian yang khusus kepada mereka terutamanya di waktu hujung minggu kerana sudah lumrah anak-anak, jiwa mereka penuh dengan harapan.

Di Malaysia memang terlalu banyak destinasi yang istimewa. Aku sendiri pun belum puas lagi jika menyebut tentang aktiviti 'berjalan' ini. Banyak lagi tempat yang belum dikunjungi. Pada pendapatku, kalau nak berjalan eloklah buat serba sedikit perancangan, kerana semua sudah sedia maklum, hal kewangan tidak boleh ditolak tepi.. bak kata orang, zaman sekarang ni, baru setapak melangkah, sudah keluar duit.. itu belum lagi panjang langkah, mengalirlah duit jawabnya..

Bergantung pada situasi, sekiranya kurang mampu, masih banyak alternatif lain yang boleh mengisi masa lapang kita sekeluarga selain pergi bercuti ke pusat-pusat peranginan yang menuntut sedikit lebih dari segi kos. Fikir-fikirkanlah...
Akhir sekali, salam hujung minggu buat semua.. Moga ceria bersama keluarga.. ^_^

p/s: Cuti tahun baru nanti, rancanganku mahu ke Bukit Tinggi bersama keluarga. Emm, sesiapa yang pernah pergi.., best tak tempat tu? (prefer yang berdekatan KL, jimat masa & tenaga..hehe)

Saturday, 29 November 2008

:: love | Vampire?

Cerita cinta remaja. Begitulah yang aku dapat simpulkan dari imej yang tertera. Ada yang mengatakan tak sabar-sabar nak menonton movie ini di pawagam. Namun begitu, terselit juga komen-komen negatif yang dikeluarkan oleh pengulas filem yang dah melihat dan menilai cerita ini. Emm, yang pastinya esok aku bercadang mahu menontonnya. Tak kisahlah sama ada menarik atau sebaliknya, tapi aku memang suka cerita yang ada vampire..hehe. Dulu aku berulang kali menonton filem Interview With The Vampire lakonan mantap Brad Pitt dan Tom Cruise. Juga filem Underworld, Van Helsing, Blade serta beberapa filem lain yang aku tak ingat judulnya. Namun begitu tidaklah sampai terlalu teruja dengan perkara yang tak masuk akal ini. Sekadar lakonan yang jalan ceritanya direka oleh mereka yang suka berimaginasi. Mana ada manusia yang menjadikan darah sebagai makanan untuk hidup. Manusia 'cekik darah' adalah.. : )

Yang sebenarnya minggu lepas aku dan temanku di sini, Kak Siti sudah merancang Ahad ini mahu ke Safari World, Bangkok bersama seisi keluarga. Safari World tempat di mana pengunjung dapat menyaksikan haiwan liar hidup dalam persekitaran yang terbuka dan bebas. Terdapat juga pertunjukan haiwan laut, western cowboy stunt, orang utan ber'boxing' dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Namun, yang dirancang tak menjadi kerana keadaan tak mengizinkan. Mungkin kami tangguhkan dulu trip ini ke masa yang lain bila mana semua kekecohan di kota ini kembali reda. Keselamatan diri yang paling utama, so cukuplah jalan-jalan cari makan di kawasan yang berdekatan sahaja. : )

Okey, setakat ini sahaja coretanku untuk minggu ini, kita jumpa lagi di minggu hadapan. Salam buat semua, have a nice day! ^_^

Tuesday, 18 November 2008

:: Yang ku Rindui..

Salam bertemu kembali..dua tiga hari yang lepas aku agak sibuk sedikit,walaupun idea dan cerita baru sesekali menjengah fikiran dan ingin dikongsi bersama teman-teman, namun masa mencemburui kita..tak mengapa..yang dah lepas biarkan ia berlalu..bukankah hari esok masih ada..? : )
Kali ini cukuplah gambar yang menceritakan lebih tentang apa yang aku fikirkan buat waktu ini. Terima kasih buat Hawa di mana gambar-gambar menarik di bawah ini ku ambil dari laman Friendsternya, sementelah beliau sendiri anak jati Pulau Pinang.Kenangan yang aku amat rindui masih lagi tertinggal di sana walaupun diriku sudah tidak lagi menjadi sebahagian daripadanya..


...Jambatan Pulau Pinang sentiasa menyambut mesra kedatangan semua. Dulu aku dua bulan sekali akan melalui jambatan ini, menuju ke USM sekembali dari bercuti bersama keluarga di Kuala Lumpur. Aku cukup suka jika tiba di sini dalam waktu remang-remang senja kerana pemandangannya sangatlah indah. Kerlipan lampu yang sayup-sayup menghiasi bandar di seberang, memang melekakan. Jika waktu pagi aku suka menaiki feri di Butterworth, kerana cuaca yang berangin dan nyaman. Siapa yang belum pernah berkunjung ke sini, memang aku alu-alukan kerana pengalamanku selama hampir lima tahun bermastautin di sini, aku yakin, masa yang dilaburkan untuk melancong di sini pasti berbaloi.


...Banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi..warisan bangunan-bangunan bersejarah, jalan-jalan lama yang menjadi tumpuan peniaga dan pelancong asing, Bukit Bendera yang boleh dijadikan tempat beriadah, pantai tempat bersantai..'port makan' dan macam-macam lagi..


...Yang suka ber'shopping', pusat membeli-belah kerap mengadakan jualan murah. Aku memang suka berkunjung ke tempat sebegini tapi membeli itu ada hadnya. Aku lebih suka melihat pelbagai ragam manusia, dan cukuplah sekadar 'window shopping' sahaja..asalkan hujung mingguku terisi.


...Sesiapa penggemar makanan pula jangan susah hati. Macam-macam ada. Kegemaranku, mee goreng mamak dan nasi kandar Pelita. Bila sudah kembali menetap di Kuala Lumpur, itulah yang aku rindukan. Memang di KL ada kedai mamak, tapi bila ku jamah, rasanya tak serupa.. : ) suasananya juga berbeza..


...Rakan-rakanku sebahagiannya masih ada di Pulau Pinang. Usai belajar dapat peluang bekerja di sana. Sesekali dapat pulang ke Malaysia, aku tak sempat nak berjalan dan meneroka tempat baru. Bangkok memanglah tak jauh dari Malaysia, tapi waktu yang tak mengizinkan. Entah bila pula dapat ke Pulau Pinang lagi. Dengar cerita jambatan kedua bakal dibina. Kalau ya,mungkin satu hari nanti aku akan ke sana dan mengutip kembali sisa-sisa kenanganku... : )

Coretanku berakhir di sini kerana ada hal lain pula yang perlu ku selesaikan.. jumpa lagi..

Tuesday, 14 October 2008

:: suasana Aidilfitri...

Tanggal 27 September, aku sudah menjejakkan kaki ke Malaysia..selamat kembali anak perantau..Istimewanya kerana di musim lebaran ini, aku tak perlu beraya di negara orang.. : )
Petang hari Sabtu itu, sempat juga ku kunjungi pasar Ramadhan yang sudah kurindui seawal bulan puasa dahulu..apa yang teringin terusku beli sedangkan Mak sememangnya telah menyediakan juadah untuk berbuka..buat menambah-nambah lauk..usikku pada Mak..

Persediaan raya ala kadar saja.Baju cuma sepasang.Masih ada lagi 2-3 pasang baju lama yang jarang kupakai, akanku recycle.. : ) Baju melayu untuk suamiku, kami beli di Jalan Tunku Abdul Rahman.Rona warna senada~coklat.Untuk buah tangan yang nak dibawa ke kampung pula, aku membeli beberapa bungkus kerepek selain beberapa jenis kuih raya.

Aku dan suami berpuasa di KL selama 2 hari..Isnin, 29 Sept, kami pulang ke Jertih..tahun ini kami menyambut 1 Syawal di sana, bermakna kali pertama aku tidak bersama keluarga di pagi raya.Namun suasana beraya di kampung halaman suami berjaya mengubat kerinduanku pada kampungku di Mersing.Memang meriah.Dan pertama kali menyambut Aidilfitri di samping suami tercinta memberi warna baru dalam hidupku.Sepanjang masa di kampung aku memang ceria.Berkunjung ke rumah sanak saudara,saling kenal-mengenali, dan berkongsi perihal kehidupan mereka.

Apabila pulang ke KL, suasana raya masih segar.Open house di sana-sini.Selain menemani Mak ke rumah rakan-taulan, sempat juga aku dan keluargaku berkunjung ke rumah saudara-mara yang berdekatan.Dapat berkumpul bersama,sudah cukup membuatkan aku gembira dengan kepulangan kali ini.

Di saat aku mencoret 'cerita raya'ku ini, aku sudah selamat sampai ke Bangkok.Dua minggu di Malaysia,aku mengumpul semangat baru.Dan hari-hari seterusnya akan aku mulai dengan senyuman.InsyaAllah,bertemu lagi di Ramadhan dan Syawal yang sentiasa menggamit bahagia.Salam lebaran.

Monday, 11 August 2008

:: Menyusuri keunikan Chao Phraya

Hari demi hari, minggu bersilih ganti ..cuti hujung minggu yang singkat, kami ambil peluang keluar bersiar dan menjelajah ke destinasi baru di kota Bangkok yang saban hari sentiasa sibuk. Semalam sempat kami bertiga, aku, suami dan rakan kami Daniel menghabiskan masa sepetang mencuba pengalaman baru, menyusuri Sungai Chao Phraya..

Dengan menaiki express boat (tiket sungguh berpatutan,120 baht/rm12 untuk pas perjalanan sehari), perjalanan kami bermula agak lewat..matahari sudah tegak si atas kepala dan kami dapat merasakan bahang sinarnya tambahan pula jumlah penumpang yang ramai di hujung minggu..mm, berpeluh juga dibuatnya.. : ) tetapi pengalaman baru masih membuat perasaanku teruja..



Bermula dari Sathorn Pier, tempat di mana kami tiba dengan BTS Skytrain, bot bergerak perlahan menongkah arus sungai yang agak deras.. tak tahulah berapa kedalaman sungai ini,namun airnya tidaklah begitu menarik perhatianku kerana warnanya yang kuning dan keruh. Namun pemandangan di sepanjang tebing yang unik membuatkan kami leka.Tak lama selepas itu, bot singgah di Oriental Pier. Sebilangan penumpang yang turun berganti pula dengan yang baru naik. Bot menyambung perjalanan ke The Si Phraya Pier. Di sini, terdapat pusat jualan yang dinamakan River City yang memberi pilihan kepada pelancong untuk membeli barangan kraf dan antik, serta pelbagai pilihan sutera Thai yang menarik hati.

Perhentian seterusnya, Ratchawongse Pier. Pengunjung boleh menjelajahi China Town yang popular dengan majoriti kaum Cina yang aktif berniaga. Namun kami tidak turun singgah di sini kerana ingin terus ke destinasi yang berikutnya.

Selepas melepasi Memorial Bridge yang dibina oleh King Rama VII,kami turun dari bot di The Tien Pier. Perkara pertama, rehat dan makan. Mm, seronok menikmati 'phad thai' -kuey tiow yang digoreng bersama udang kering, kacang tanah , tauhu, tauge dan perencah lain. Sedikit manis namun menyelerakan. Tambahan lagi air kelapa untuk meredakan tekak yang haus. Usai mengisi perut Daniel menambah menu dengan pisang, ubi dan popia goreng.. sedap sekali..!



Selepas itu kami berjalan ke kawasan berdekatan. Banyak deretan kedai lama yang dibina kira-kira seabad yang lampau.. Aku membeli snek ikan sebagai buah tangan. Terdapat juga Wat Pho, kuil yang paling besar dan tertua di Bangkok. Kami tak berpeluang masuk ke dalam kerana pada waktu itu terdapat upacara keagamaan yang sedang dijalankan. Justeru, kami berpatah balik ke jeti untuk menaiki bot bagi menyambung perjalanan.

Kami tak sempat singgah di Maharaj Pier di mana terletaknya muzium, serta binaan kuil-kuil yang bersejarah kerana kesuntukan waktu. Perhentian terakhir kami Phra Arthit Pier, selepas itu bot berpatah balik ke Sathorn Pier. Kami singgah di Wang Lang Pier, dan meluangkan sedikit masa membeli cenderahati dan barangan untuk dibawa pulang. Pasarnya besar, dan aneka barangan dijual di sini, dari keperluan harian, bunga-bungaan, kain pasang, kraftangan, makanan, dan ada juga hiburan sampingan dari artis jalanan. Asyik berjalan sedar-sedar bot terakhir untuk trip ini akan tiba dalam sedikit masa. Terus kami bergegas menunggu di jeti.



Lewat petang, kami tiba di Sathorn Pier dan selepas itu kami bergerak menuju ke pusat bandar dengan menaiki tren. Sempat lagi mengajak suamiku berkunjung ke sini lagi di lain hari kerana belum puas rasanya menjelajah tempat-tempat menarik di sepanjang sungai Chao Phraya ini. Lain kali pergi awal pagi agar perjalanan lebih teratur. Window shopping di MBK dan makan malam di Nana. Aku memilih nasi beriyani..mm, aku sudah addicted barangkali..kalau pergi ke Nana mesti pekena nasi beriyani dan lauk wajib ayam BBQ.. patutlah bertambah berat badanku! : )

Pulang ke rumah.. mood yang bagus sedikit tercalar kerana air-cond tak menjadi.. gas habis mungkin. Panas sampai ke pagi namun disebabkan letih tak kupedulikan sangat ketidakselesaan itu. Pagi tadi technician datang membuat servis dan kini semuanya kembali okey.. dapatlah aku meluangkan masa membuat catatan pengalamanku semalam dengan hati yang ceria.. sekian, sampai bertemu lagi kerana aku mahu menyiapkan makan malam.. bye..! ; )

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails