Showing posts with label aku dan diriku. Show all posts
Showing posts with label aku dan diriku. Show all posts

Friday, 4 January 2013

:: Assalamualaikum Cikgu


Pejam celik pejam celik tamat sudah cuti sekolah. Yang jelas, jalan raya kembali sibuk dan saban hari kelibat anak-anak berseragam sekolah menjadi pemandangan biasa. Aku juga kembali bertugas dengan semangat baru, InsyaAllah moga dipermudahkanNya.

Antara cerita manis yang dikongsi oleh seorang ibu;

"Anak saya kata seronok sangat sekolah, Cikgu. Siap minta saya jangan ambil awal, tak sempat bermain dengan kawan-kawan katanya." 

"Baguslah, mudah-mudahan terus bersemangat nak ke sekolah minggu seterusnya." balasku.

"Iya Cikgu, anak saya berulang kali sebut cikgu-cikgu di sini baik sangat. Dia suka betul."

"Alhamdulillah.." Aku tersenyum simpul.

"Ada satu nama, Cikgu Rafidah..Cikgu Rafidah.. Itu sahaja nama cikgu yang dia ingat." si ibu menyambung bicara.

Aku menelan air liur. Ketawa kecil dalam hati, kerana nama yang disebut itu sebenarnya tidak wujud pun dalam senarai nama guru-guru di sekolahku. Walaupun begitu aku tetap gembira, dan perbualan itu aku akhiri dengan senyuman.

Begitulah kanak-kanak, sesuci kain putih bersih. Emosi mereka juga jujur. Aku doakan mereka terus gembira meneroka alam baru persekolahan. Bagi kita yang dewasa ini, yang tinggal cuma kenangan manis. Bagiku zaman persekolahan memang sesuatu yang cukup indah. 


Friday, 12 October 2012

:: Bukan setakat itu..



Hari yang sungguh..... letih. Tetapi bahagia. Demi 'mereka'.




Wednesday, 18 July 2012

:: Itulah aku.


Oh, rindu sungguh pada blog ni.. yang lebih rindu, menatap cerita dan kisah teman-teman yang pasti masih melekat di ingatan. AKU MASIH DI SINI. Itulah aku.   : )

Monday, 6 September 2010

:: Ramadhan bertemu Syawal

Menyepi dan kembali. Itu memang aku. :D

Sedar-sedar Syawal kian hampir. Itulah Ramadhan, datang setahun sekali. Pemergiannya begitu terasa di hati. Moga ibadah kita semua diterima oleh Allah SWT hendaknya.

Persiapan raya sederhana saja. Seperti biasa sedondon dengan suami. Biru warna pilihan tahun ini, melambangkan ketenangan di pagi Syawal. Kuih-muih sedikit saja yang dibeli, dan persiapan rumah juga tidak bertukar ganti. Lagi pula, rumah 'bujang' kami biasanya tidak ramai tetamu yang datang berkunjung melainkan ahli keluarga terdekat. : )

InsyaAllah esok selepas berbuka puasa, aku dan suami akan berangkat pulang ke kampung halaman suami di Jertih, Terengganu. Doakan perjalanan kami berdua moga selamat sampai ke destinasi. Begitu jua buat semua teman-teman yang pasti sedang merancang perjalanan pulang menyambut Syawal di kampung masing-masing. Berhati-hati di jalan raya, elakkan melebihi had laju dan memotong secara berbahaya. Ingatlah penantian penuh harapan insan yang tersayang..

Sempena bulan yang mulia ini, aku dahului dengan ucapan maaf andai ada tersalah-silap lahir dan batin.. Selamat Hari Raya buat teman-teman semua.. Moga bergembira dan ceria di Aidilfitri..

Dalam kita gembira, jangan lupa mereka yang berduka. Sama-sama kita raikan Aidilfitri ini dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan. Syukur atas nikmat dariNya.. Alhamdulillah..


Friday, 4 December 2009

:: Kataku pada Malam


Malam itu dingin
Malam itu indah
Malam itu waktu untuk kita memejam mata
Memutar mimpi-mimpi indah

Jangan takut jika mimpi itu menyesakkan dada
Jika kau bangun lagi esok hari
Tersenyumlah
Kerana mungkin ada lagi malam-malam indah untukmu
di kemudian nanti

Malam
Balutilah aku dengan selimutmu
Aku tak dapat melihatmu yang gelap pekat
Tapi aku dapat merasakan
nyaman yang kau beri

Maka ucapku.......,
Terima kasih Malam...

Sunday, 22 November 2009

:: Inginku kembali..

Amat rindu untuk menulis. Entah kenapa hari-hari yang berlalu tiada sebarang kata yang kutitipkan di sini. Kesempitan waktu bukanlah alasan kerana aku punya banyak masa cuma mungkin masa itu kuhabiskan dengan pelbagai aktiviti lain. Kutinggalkan dunia 'online' buat sementara.

Kerana sedar yang diri banyak ketinggalan perkara-perkara baru maka malam ini aku kembali. Oh, banyak cerita manis dan duka yang aku hadapi malam ini.

Antara yang terkesan di hati dan membuatkan aku sedikit ralat; baru malam ini aku dapat membaca luahan hati seorang rakan blogger yang telah kehilangan bayi yang sedang dikandung lapan bulan tidak lama dulu.. dan kini, aku sedikit terlewat untuk mengutuskan salam takziah walhal rakan ini pernah berjabat tangan denganku dan membantuku beberapa bulan yang sudah. Kerana kami tidaklah rapat cuma sekadar kenalan yang bertukar-tukar fikiran, maka kami jarang berhubung. Dan baru-baru ini aku sudah pun membayangkan yang beliau sudah selamat melahirkan dan sedang berbahagia dengan cahaya mata sulungnya itu.. Salam takziah wahai teman, InsyaAllah esok aku akan menghubungimu..

Di sini, walau sesibuk mana pun kita dan sejauh mana pun harapan kita agar setiap insan lain sedang berbahagia sama seperti yang kita sedang kecapi, sentiasalah buka hati dan setiap pancaindera agar lebih peka dengan berita dan masalah yang menimpa insan-insan lain dalam hidup kita. Kutitipkan keinsafan ini dalam diri, kerana hakikatnya, kita turut sama mengharapkan perkara yang baik dari orang lain terhadap diri kita. InsyaAllah...

p/s: Jauh di mata, dekat di hati.. : )

Tuesday, 6 October 2009

:: Buah hati baru..

"Tak boleh nak buat apa.. kalau repair rugi.. baik beli baru.." Hmm, itulah kata-kata salah seorang jurujual komputer di Plaza Low Yatt bila kami menanyakan tentang peluang membaiki laptop kami itu yang bermasalah buat kali yang ketiga.. Kerosakan kritikal yang bersangkutan dengan graphic card.. frust juga kerana keadaan fizikalnya masih kelihatan baik.

Dek kerana itu, terpaksalah aku mencari laptop yang baru.. Tertarik pula dengan si kecil molek, Acer Aspire One. Jimat, dan mudah dibawa ke mana-mana. Harganya dalam 1200++.. Sangat berbaloi untuk aku yang mengalami sedikit kegawatan ekonomi apatah lagi di musim-musim raya begini. Hehehe..



Aku cuma perlukan kegunaan minima; bagi mengakses Internet dan sedikit kerja menaip. Mungkin dari segi kualiti, ada bisik-bisik yang mengatakan brand ini kurang memuaskan.. namun adikku juga turut menggunakan laptop dari jenama ini yang jangka hayatnya kini sudah menjangkau lebih dari 4 tahun. Moga-moga mini laptopku yang ini mampu menjaga 'hati' dan 'poket' tuannya dengan lebih baik.. :D

Bagi yang berminat, antara jenama lain mini laptop yang terdapat di pasaran; Asus, Samsung, Sony, HP, Lenovo, Toshiba, dan banyak lagi. Pilihlah saja yang mana berkenan di hati.. : )

Sunday, 4 October 2009

:: Warna-warni Aidilfitri..


Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih punya kesempatan menghirup suasana bahagia di Aidilfitri kali ini.. Belum terlewat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua teman, semoga ceria dan gembira di sisi keluarga..

Kuala Lumpur masih meriah dengan majlis keraian sempena lebaran yang belum berakhir. Aku dan seisi keluarga sudah pun berkunjung ke beberapa acara rumah terbuka yang diadakan oleh sanak saudara. Setahun sekali berkesempatan berkumpul beramai-ramai, memang sesuatu yang menyeronokkan.

Hidangan yang tersaji juga seringkali membangkit selera. Ibarat pesta makanan yang datang bermusim, pandai-pandailah kita mengingatkan diri sendiri agar tidak makan secara berlebihan, kelak akan mengundang masalah pula.. : ) Sebut tentang juadah hari raya, petang tadi, dapat aku menjamah pecal (menu Jawa yang sangat enak), dan roti jala istimewa yang disediakan oleh ibu saudara di Bangi. : ) Terima kasih Cik Lah..~

Cerita tentang raya, memang semuanya indah. Kenangan di kampung halaman, menggamit rasa rindu. Syukur dapat pulang ke kampung tempoh hari.. yang kekal di kotak ingatan, senyum tawa saat semua terkumpul bersama. Sememangnya lebaran memberi suasana yang berbeza..


Namun begitu, dalam suka ada duka. Sedang kita dibaluti kegembiraan, jangan pula dilupa pada mereka yang tidak dapat merasa apa yang sedang kita rasa ketika ini. Kenang saja peristiwa bencana alam yang berlaku di beberapa negara jiran baru-baru ini. Menyedihkan, dan moga dapat kita utuskan doa agar Tuhan menguatkan hati mereka.. Semua ini peringatan buat kita dan sama-samalah kita renungkannya..

Akhir kata,
Salam Lebaran, & selamat malam...

Friday, 18 September 2009

:: Salam Lebaran...


Lebaran menjelang tiba.. Salam Aidilfitri buat semua teman dan pengunjung yang singgah di teratakku ini. Salah dan silap, andai terlanjur kata kumohon kemaafan.. Moga gembira dan berbahagia di Aildilfitri.. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin..


Mari kita mengimbau nostalgia lama dengan salah satu lagu kegemaranku.. Selamat pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalanraya kerana ramai insan tersayang yang sedang menanti kepulangan kita.. InsyaAllah... : )



p/s: Malam ini aku akan berangkat pulang ke kampung Atuk di Endau,Rompin bersama seisi keluarga. Doakan perjalanan kami moga selamat sampai ke destinasi.. Jumpa lagiii.. Assalamualaikum..


:: credits to azreena.zafian's photostream@flickr.com

Tuesday, 8 September 2009

:: Sembang-sembang raya..

Wanita dan kecantikan tak dapat dipisahkan. Menjelang lebaran, kaum wanitalah yang paling sibuk membuat persediaan. Menghias rumah, menghias diri, tak lupa juga keperluan ahli keluarga untuk bergaya di pagi raya. Memang semulajadi kita dianugerahkan sifat sebegini. Sesuai pulalah dengan tanggungjawab kita sebagai suri dalam rumahtangga. : )

Untuk lebaran yang bakal menjelang aku belum pasti tentang persediaan yang harus aku lakukan. Baju raya? Mujur sudah beres. Kagumnya aku pada wanita-wanita yang mampu menjahit sendiri baju sendiri dan baju anak-anak. Jimat bukan? Kerana aku tak punya bakat, maka ditempah saja pada ibu saudara yang mahir. Sebelum puasa sudah dibeli kain, kerana aku kurang gemar berhimpit-himpit di gedung beli-belah di tengah bulan puasa. 'Cobaan...'

InsyaAllah, Syawal kali ini masuk tahun kedua aku dan suami dapat beraya bersama. Syukur, Alhamdulillah. Tawaran kerja di musim raya ditolak oleh suami demi untuk menggembirakanku. Kalau tak, tentu sunyi di pagi raya. : ) Untuk persiapan si dia, minggu yang mendatang baru mahu pergi meronda di sekitar KL. Lelaki kurang mengambil kisah, kurang cerewet dan tidak macam-macam yang dimahukannya. Cukup sepasang baju Melayu dan sehelai dua T-shirt.

Bila difikirkan, untuk wanita; baju kurung, blouse, tudung, kerongsang, kasut, beg tangan, dan sebagainya perlu sebagai kelengkapan diri. Itu belum termasuk sebilangan dari kita yang mengidam gelang/rantai emas baru, set sofa baru, meja makan baru, segala-galanya baru. Emm, boleh buat sang suami menggaru-garu kepala yang tidak gatal. : )

Sebagai seorang yang baru setahun jagung bergelar isteri, aku cuba belajar mendidik diri membeli mengikut keperluan. Mengutamakan yang utama. Kalau ada rezeki, barulah melunaskan hajat di hati. Perlu diingat selalu, nafsu perlu ditawan dengan akal, bukan semata-mata mengikut hati.

Apa cerita pula kuih raya, kad raya, dan duit raya..? :D
-Kuih raya 'tunjuk' atau buat sendiri?
-Ucapan melalui SMS lebih jimat dari berutus kad raya?
-Duit raya RM1 masih relevan kan...? : )

Tak ketinggalan.. balik raya, kampung siapa..? : )

Emm, cukuplah setakat itu. Yang sebenarnya tak semua berlegar dalam kotak fikiran. Sengaja berkongsi cerita raya bersama teman-teman semua, terutamanya kaum wanita yang menjadi individu paling sibuk musim-musim begini.

Bak kata pengetuaku dalam mesyuarat petang tadi.. demam raya tu simpan-simpanlah dulu, wahai cikgu semua... Hehe.. jangan pula sampai kerja terabai.. dan yang paling penting, amal ibadah kita di bulan Ramadhan.. itu yang lebih utama.. InsyaAllah, hari-hari esok, kita akan lebih beringat. Salam Ramadhan dariku.. selamat malam..



One Drop Perfumes WOMEN Celebrities' Special

p/s: Pemberian suami sempena Aidilfitri.. menggantikan botol wangian lama yang sudah kosong.. Boleh tahan, wangiiii.. : )

Thursday, 6 August 2009

:: Viva Elite

Pulang dari kerja tadi sempat aku singgah di premis Perodua yang berhampiran. Hajat di hati nak melihat sendiri rupa bentuk model baru keluarannya- Viva Elite. Sebelum ini, memang aku telah jatuh hati dengan model Viva yang lama, namun melihatkan model baru ini, hati berangan untuk memilikinya sementelah lebaran bakal menjelang. Maklumlah untuk keselesaan perjalanan jauh, kereta sedia ada sudah agak uzur.. hehe..




Pandangan peribadiku; model baru ini tampak lebih kemas dan bergaya. Walaupun begitu, aku lebih menggemari rekabentuk bahagian hadapan model yang lama. Namun, ia masih berbaloi kerana banyak elemen yang telah dipertingkatkan mutunya. Tentang warna pilihanku pula, samada putih, ataupun biru tua. Putih mungkin menampakkan saiz kereta 'comel' ini kelihatan lebih besar... : )

Emm, doakanlah moga hajatku ini tercapai.. InsyaAllah...

p/s: Jauh di lubuk hati masih tetap mengidam yang ini....... (masih jauhhhh lagi..) :D


Sunday, 19 July 2009

:: Bergembira di Ladang Ostrich.. ^_^

Semalam, aku menyertai lawatan bersama anak-anak murid berkunjung ke Negeri Sembilan. Perjalanan agak jauh namun tidak memudarkan semangat anak-anak untuk menitip beberapa pengalaman dan ilmu yang berguna di sana. Seramai 75 peserta dalam rombongan kami dan 2 biji bas telah disewa menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Di dalam bas, anak-anak kelihatan gembira dan terhibur dengan gelagat serta perbualan bersama wakil jurupandu dari ejen tersebut, Abang Mack. Tayangan video juga mengalih tumpuan mereka dari merasakan kepenatan.

Destinasi pertama yang kami kunjungi di Negeri Sembilan, adalah Ladang Burung Unta Jelita yang bertempat di di Lot 1504, Batu 6, Mukim Pantai, Jalan Jelebu. Ladang di kawasan seluas 4.2 hektar ini disahkan Malaysia Book of Records sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia.

Terkenal sebagai pusat riadah untuk seisi keluarga, ladang ini bukan saja membiakkan burung berkenaan, malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan tersebut. Para pengunjung tanpa mengira usia boleh mencuba pelbagai aktiviti, antaranya memberi ia makanan, menunggang burung unta dan paling istimewa menonton perlumbaan burung berkenaan, dipercayai yang pertama di Asia.

Apa yang pasti, larian burung unta atau lebih dikenali sebagai ostrich ini pantas dan jika ia berada dalam keadaan terancam, usah dekat dengannya, bahaya..! : ) Namun pada penglihatanku, burung unta ini sebenarnya mudah mesra jika kita berbuat baik kepadanya, misalnya memberi ia makan serta memperlihatkan suasana yang tenang dan terkawal.

Anak-anak begitu teruja semasa berada di ladang ini, maklumlah, kebanyakan dari mereka belum pernah merasa menjejakkan kaki ke ladang ternakan, dan berada di sini membuatkan mereka rasa bebas dan gembira. Tambahan lagi, melihat burung unta secara dekat barangkali sesuatu yang baru buat mereka. Selain burung unta terdapat juga haiwan lain seperti kuda, kambing, dan ayam di sini.

Selepas penat beriadah di Ladang Burung Unta, kami berkunjung ke Muzium Negeri Sembilan. Di sini, pelajar dapat memahami tinggalan sejarah yang sudah lama bertapak di negeri ini serta melihat sendiri unsur-unsur senibina minangkabau yang terkenal.

Sesi makan tengahari menyusul selepas itu. Kami dihidangkan dengan nasi ayam istimewa di sebuah restoran yang terletak di Seremban. Anak-anak mengambil peluang merehatkan badan yang dijamah peluh sebentar tadi.

Destinasi terakhir kami adalah Kilang Kristal Rembau. Di sini, jurucakap menunjukkan bahan-bahan untuk penyediaan serta langkah demi langkah proses menghasilkan produk kristal yang selalu kita lihat di pasaran. Patutlah harga setiap satu barangan ini tinggi, rupa-rupanya proses menghasilkannya agak rumit.

Dengan suhu panas di sekitar tempat kerja serta pengamatan dan ketelitian yang tinggi diberikan oleh setiap pekerjanya, barulah terhasil produk yang indah dan istimewa ini. Kebanyakannya dijadikan hiasan rumah dan golongan yang meminatinya sebahagian besar para wanita. : )

Tamat sesi lawatan di kilang kristal kami bergegas menyambung perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Masing-masing memahat kemas cerita dan pengalaman yang berharga di lipatan memori, untuk diceritakan kepada keluarga tersayang. Kira-kira jam 4 petang, kami semua selamat tiba di sekolah dan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing.

Kesimpulannya, kanak-kanak wajar diberi peluang menyertai lawatan sebegini bersama teman dan para guru kerana ini akan mendidik mereka cara untuk berdikari, selain memantapkan kebolehan berkomunikasi dalam menyempurnakan setiap aktiviti yang berlangsung di destinasi lawatan.

Setiap tahun pihak sekolah kami akan menganjurkan lawatan tahunan, dan destinasi tahun depan pastinya lebih menarik..! Ku akhiri catatan pengalaman ini dengan senyuman... ^_^

Friday, 17 July 2009

:: Si hitam manis, kesukaanku..

Musim buah yang masih hangat belum nampak penghujungnya. Di kawasan sekitarku masih meriah dengan kewujudan gerai-gerai yang menawarkan buah-buahan seperti durian, manggis dan langsat dengan harga yang istimewa. Antara buah-buahan ini yang lebih popular tentulah si raja buah; durian. Terhibur juga dengan gelagat para pembeli yang leka membelek-belek buah berduri itu sambil menghidu bau bagi memastikan keenakan isi di dalamnya.

Tak ketinggalan, aku juga turut serta menjamu rasa., kebanyakannya pemberian dari teman dan jiran yang baru pulang menjengah dusun keluarga di kampung. Ada juga datangnya dari ibu bapa pelajar yang bermurah hati memberikan sekotak dua buah-buahan yang segar dan manis kepada warga sekolah kecil kami. : )

Hitam-hitam si tampuk manggis.. walaupun hitam isinya manis. Yang sebenarnya, aku sangat sukakan manggis. Dengan isinya yang putih bersih, dan rasanya yang masam manis, manggis memiliki keistimewaannya yang tersendiri.. Melihat pada khasiat yang terkandung dalam buah ini, ternyata ia banyak membantu dalam meningkatkan kesihatan..


Xanthone iaitu bahan aktif dalam buah manggis dapat membantu pelbagai jenis masalah seperti alergi, resdung, lelah, pelbagai penyakit kulit seperti gatal-gatal, jangkitan kulat, luka-luka yang biasa pada mulut serta kulit melecur. Selain itu, penyakit darah tinggi, kencing manis, lebihan kolestrol, keletihan, kekurangan darah, ulser, dan gastrik juga boleh diringankan dengan pengambilan khasiat yang sama seperti yang terdapat dalam buah ini.

Antara buah-buahan lain yang ku kira memiliki sedikit persamaan dengan manggis; buah durian belanda yang sangat enak dibuat jus, dan..


Buah koko..! Bagi yang belum tahu bagaimana rasa buah yang sinonim dengan coklat ini, silalah cuba.. Pertama kali aku merasainya, mm, boleh tahan! Enak..~ Jangan pula dimakan biji-bijinya sekali ya.. hehe ^_^


Emm, musim buah tak lama lagi akan berakhir. Bila habis buah tempatan, masa itulah baru teringat akan epal, oren dan aneka buahan import. Yang jelas, buahan tempatan lebih menggamit rasa.. Itulah untungnya kita rakyat Malaysia.. : )

Friday, 10 July 2009

:: Bahasa kita apa salahnya...

Salam buat semua. Entri pertama untuk bulan Julai. Aku tak banyak menulis kebelakangan ini. Kalau dulu dalam sebulan terdapat belasan entri, kini hendak dicukupkan sepuluh pun agak sukar. 'Kemesraan' aku dengan dunia blog sudah semakin pudar nampaknya. ^_^

Kerjaya sebagai guru membuatkan fikiranku berjalan sepanjang hari. Mulut tak henti-henti berbicara, bersoal jawab dengan anak-anak kecil yang semuanya petah belaka. Tiba saja di rumah, usai urusan segala, hendak bercerita panjang di sini kadangkala aku kehabisan ilham. Namun begitu, minatku untuk menulis masih sama seperti dulu. Aku akan tetap ada, walaupun dijarak oleh masa.

Emm, antara yang menarik minggu ini dan aku kira ada bersangkut paut dengan kerjayaku; pengumuman pihak kerajaan mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di mana ia akan dimansuhkan berkuat kuasa pada tahun 2012. Semuanya akan kembali seperti dulu, segalanya diajar dalam Bahasa Malaysia. Apa pendapat kalian..?

Sebagai guru Sains dan Bahasa Inggeris, aku agak bersetuju dengan langkah ini. Aku melihat kepada hasil kajian dan pemantauan Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak ia dimulakan yang mana ia menunjukkan penurunan prestasi dalam pencapaian murid. Yang jelas, tidak semua murid dapat mengikuti sistem ini dengan baik terutamanya murid dari lingkungan luar bandar yang tidak mendapat pendedahan meluas dalam aspek penggunaan Bahasa Inggeris.

Sebagai contoh, di dalam kelas, walaupun aku mengajar dalam Bahasa Inggeris, namun dalam sesi soal jawab bersama murid, seringkali saja aku perlu menerangkan kembali maksud bagi sesetengah ayat menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengelakkan kekeliruan mereka. Bukan mereka tidak dapat menerima Bahasa Inggeris, malah mereka memberi reaksi yang positif, namun sokongan Bahasa Malaysia itu turut penting bagi membantu meningkatkan pemahaman mereka dalam subjek yang terlibat.

Sarananku (sekadar pendapat), aplikasikan dwi-bahasa. Selain sesi pembelajaran menjadi lebih menarik, minda pelajar juga akan turut berkembang. Misalnya, semasa sesi penerangan, gunakan Bahasa Malaysia, dan ketika berinteraksi dengan murid semasa sesi latihan mahupun eksperimen, bertuturlah dalam Bahasa Inggeris. Aku akui murid sekarang semakin bijak, dan mereka dapat menerima kaedah ini.

Kesimpulannya, kita lihat dulu perkembangan seterusnya buat tahun-tahun yang mendatang. Harapanku, anak-anak kecil dapat memupuk sifat cintakan bahasa ibunda, dan membesar menjadi seorang individu yang berfikiran terbuka dalam menuntut ilmu. InsyaAllah.

p/s: Buat masa ini aku terus berbahasa Inggeris kerana pemansuhannya lambat lagi.. 2012..! :D

Monday, 29 June 2009

:: Ingat padanya..


Ingat padanya. Nun jauh di Busan, Korea Selatan.
Bila mahu pulang? .....Bosan tinggal seorang~ ^_^

Friday, 22 May 2009

:: Bersama anak-anak..

Hmm, bersama anak-anak memang membahagiakan. Anak-anak kecil ini sangat keletah dan pastinya membuat hidup kita lebih berwarna-warni.

"Good morning, Teacherrr.." ucap mereka memecah keheningan pagi.

Dan pagi bukan lagi waktu bermalas-malasan untukku kerana kini aku kembali menjadi seorang....

~CIKGU~

(^_^)


p/s: Tugas yang menyeronokkan. Pasti sedih jika perlu bertukar angin kelak..

Monday, 18 May 2009

:: Cerita yang sudah lepas..

Salam.. aduhai.. menyepi buat seketika.. bila lama tak menulis mulalah hati rasa janggal! : )

Komitmen untuk berblog ini bukan mudah rupanya.. Keterbatasan waktu membuatkan kita tak sempat untuk berbicara walaupun hati masih selalu teringat pada segala yang menarik di ruangan ini. Mujur semangat masih belum padam, maka gagah jugalah jari-jemari menjamah papan kekunci untuk mencatat sesuatu untuk ingatan diri sendiri.

Cerita semalam.

Aku berkunjung ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 (K3G) yang berlangsung dari 15 Mei yang lalu, bertempat di PWTC. Semalam merupakan hari terakhir. K3G ini disertai oleh 400 hingga 600 pempamer yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, agensi kerajaan, entepris kecil dan sederhana (SME), IPT tempatan, serta pelbagai institusi lain.

Lebih dari 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang telah ditawarkan terutamanya kepada graduan menganggur dan juga yang masih tercari-cari pekerjaan tetap. Kesimpulannya, dengan kehadiran 'para pemburu kerja' yang begitu mengalakkan seperti semalam, aku perlu bekerja lebih keras untuk menggapai pilihan kerjaya yang diimpikan.


Cerita kelmarin.

Mm, cubaan untuk menjadi usahawanita berjaya...? Hehe.. tak perlu ku ceritakan panjang lebar kerana halnya kecil saja. Ya, aku mula berjualan dadih setelah mempromosikannya secara kecil-kecilan. Resepi tersendiri, dan boleh dikatakan rasanya juga lain dari yang lain. Ingin mencuba..? Boleh saja.. Terbuka juga untuk tempahan.. : ) Buat masa ini aku cuma sediakan perisa asli dan coklat. Mungkin selepas ini akan muncul pula perisa jagung dan strawberry. InsyaAllah.. : )


Cerita minggu lepas.

Jika aku menyepi, itu tandanya aku tak lekat di rumah. :D

Lokasinya di mana pula? Alhamdulillah, kali ini sampai juga kami ke pulau legenda Langkawi. Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kerana diri telah jatuh hati dengan pantai, maka lama tak melihat desiran ombak, hati jadi rindu.

Mungkin bagi segelintir pengunjung, membeli belah di Langkawi membuatkan mereka teruja, namun bagiku pulau ini memiliki keistimewaan yang lebih dari itu. Sampaikan tiba hari kami mahu berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk menambah satu hari lagi. Semuanya kerana hati yang merasa tidak puas.

Tak puas melihat cantiknya laut, dan masih lagi ingin merasakan ketenangan tatkala dibuai angin petang, ditemani langit yang membiru. Mm, bila masa kian lapang nanti akan ku segerakan tambahan foto-foto di flickr.com.

Sekian, bertemu lagi di hari esok.. Salam manis buat semua teman yang sudi berkunjung ke mari.. Selamat malam.. : )

Saturday, 2 May 2009

:: Perlukah catu makan..?

Berat semakin bertambah. Gemuk. Sebenarnya aku tidaklah terlalu risau kerana bagiku jika seseorang itu nampak berisi namun tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, itu tidak mengapa. Asalkan senang hati, begitulah pendapat segelintir dari kita.

Namun lama-kelamaan aku mula terfikir tentang sisi negatif perubahanku ini. Aku cuba bandingkan dengan diriku 5 tahun yang sudah. Waktu itu, makanlah banyak mana sekalipun, berat badan tetap maintain.

Perbezaannya kini, tanpa sebarang senaman berat badanku akan naik, naik dan terus naik. Selera sedap memanjang; antara faktor yang menyumbang akan pertambahan berat badan. Mungkin juga kadar metabolisme yang kian rendah seiring peningkatan usia, menyebabkan lemak terkumpul sukar untuk dihapuskan.

Untuk menapak ke tingkat tiga kediamanku ini saja cepat aku merasa lelah. Dan mata juga sering rasa letih dan mengantuk. Emm, mungkin itu implikasi berat badan berlebihan yang ku alami kini.


Membelek majalah RAPI, beberapa fakta dan tips telah menarik perhatianku.

Waktu Pengaruhi Apa Yang Anda Makan

Menurut kata pengkaji dalam kajian yang dilakukan di California State, waktu itulah yang paling bahaya untuk pengamal diet kerana waktu membuatkan seseorang itu cenderung untuk mengambil makanan ringan. Ketika ini juga, tahap tenaga fizikal dan kekuatan berada pada tahap yang sangat rendah.

Untuk mengharungi masa tersebut, pakar mencadangkan para pengamal diet mengambil sedikit makanan ringan yang sihat tanpa gula. Sekiranya anda mula teringin hendak mengambil makanan bergula, anda digalakkan berlari menuruni anak tangga selama beberapa minit. Cara ini bukan sahaja dapat menyegarkan minda, malahan menaikkan tenaga dan mengurangkan nafsu makan kita.

Tips Mengawal Saiz Hidangan

-Hidangkan makanan dalam pinggan bersaiz kecil. Anda cenderung melihat saiz hidangan anda lebih banyak.

-Setiap kali ingin menikmati makanan ringan, bahagikannya ke bekas yang lebih kecil. Jangan makan terus dari beg plastiknya.

- Tambahkan salad dan buah dalam diet terutama pada awal waktu makan. Ia menghilangkan rasa lapar dan mengawal jumlah pengambilan kalori.

-Makan dengan perlahan-lahan. Beri peluang pada perut untuk merasa kenyang lebih lama.

...Aku turut merasakan yang buat sementara ini aku perlu mengenepikan rutin makan malam. Terpaksalah mengikat perut sedikit untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Ubat atau pil kurus..? Berat hati untuk mencuba kerana mungkin saja banyak kesan sampingannya terhadap tubuh badan. Lebih baik gunakan cara yang lebih semulajadi.

Kesimpulannya, untuk gaya hidup yang lebih sihat, kawal jumlah hidangan serta cergaskan diri dengan senaman. Cubalah untuk konsisten, baru boleh berjaya. : )

Sunday, 19 April 2009

:: Seronokkah memancing..?

Memancing. Pengalaman pertama bagiku barangkali. Sebelum ini tak pernah aku ikut serta dalam sebarang aktiviti memancing. Sebut tentang joran dan mata kail.. mustahil jikalau tidak kenal, tetapi cara memasang peralatan tersebut serta teknik-teknik memancing langsung tidak aku ketahui.

Rupa-rupanya ada pelbagai teknik memancing yang boleh disesuaikan dengan keadaan perairan yang berbeza. Ilmu ini perlu dituntut sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk menjadikan aktiviti ini sebagai hobi di masa lapang. Aku..? Cukuplah sekadar pengetahuan yang asas sahaja kerana aku lebih suka bersantai sambil melihat orang memancing berbanding mencubanya sendiri. Aku sebenarnya takut untuk memegang umpan mahupun ikan yang masih hidup. :D

Lewat kunjungan ke kampung dulu, aku mengambil kesempatan mengikut suami ke kawasan berhampiran Jeti Tanjung Gemuk (jeti ke Pulau Tioman) yang tak jauh dari rumah atukku, kira-kira 5 minit perjalanan sahaja. Berbekalkan sebatang joran yang baru dibeli, kami memancing di atas jambatan bertentangan dengan jeti, di mana perairan di sini merupakan pertembungan antara Laut China Selatan dan sungai Pahang.

lokasi kami memancing; di atas jambatan nun di belakang sana...

Kerdipan lampu di sepanjang jambatan serta pantulan cahaya yang terhasil di permukaan air begitu mempesonakan. Sesekali ku pegang juga batang joran dan pada masa yang lain, aku lebih banyak memerhatikan riak-riak air dan aksi beberapa orang pemancing yang berada berhampiran kami. Boleh dikatakan di sini port untuk kaki memancing menghabiskan masa lapang mereka.

Tak lama menunggu, mata kail dipagut sesuatu. Wah, kami berjaya mendapatkan ikan! Bila dinaikkan rupa-rupanya ia seekor ikan gelama yang kecil. Kurang berpuas hati, kami melepaskannya kembali ke dalam laut. 2-3 ekor ikan hasil pancingan berikutnya juga sederhana saja. Kemungkinan air yang deras malam itu menyebabkan ikan-ikan tidak banyak berkumpul di kawasan favourite ini. Kami tidak kecewa, kerana hakikatnya kami sekadar ingin mendapatkan pengalaman memancing di situ.


Apa yang lucu, kira-kira sejam kemudian, aku tidak lagi setia menanti di pinggir jambatan. Aku sudahpun terlelap di dalam kereta. Betul kata orang, memancing perlu kesabaran dan minat. : ) Ada rezeki adalah ikan, jika tiada, hati tetap gembira.

Sedar-sedar aku dikejutkan suami. Sebelum pulang sempat aku bertanya kepadanya.
"Mana ikan?"
"Semua dah bagi orang.." jawabnya.


Aku cuma tersengih. "Lain kali kita cuba memancing di kolam ikan pula. Mungkin lebih lumayan hasilnya.." bisikku dalam hati. : )

Seronok juga memancing..! Nanti boleh pergi lagi.. ;D

:: credits to ayares151.fotopages.com

Thursday, 16 April 2009

:: Aku rasakan hari berlalu dengan pantas..!

Salam buat semua..

Hmm.. hendak menulis inti yang lebih berat mungkin perlukan sedikit masa.. Memang benar, tiada cerita hebat untuk aku coretkan kerana kisah sehari-hari berjalan seperti biasa saja. Apa yang menggembirakan, internet kembali mewarnai hidupku. : )

Mm, tentang blog, buat masa ini aku lebih seronok membaca dan memahami kitaran kisah yang berputar dalam hidup kalian dalam ruang masa yang telah aku tinggalkan. Belum terlambat juga untuk aku bertanya khabar semua teman di luar sana. Aku panjatkan doa agar kalian berada dalam keadaan sihat dan bahagia bersama insan-insan tersayang. Terima kasih yang tak terhingga kerana masih setia mengintai diari kehidupanku di blog ini. Moga persahabatan kita akan berpanjangan..


Hampir sebulan aku di KL, banyak masa diluangkan untuk menguruskan hal rumah. Maklumlah, keperluan asas semuanya perlu dibeli sementelah kami bermula dari sifar. Dalam berjimat-cermat, cuak juga.. maklumlah, harga barangan semakin meningkat.

Selesai hal rumah, sempat juga aku dan suami mengambil peluang bercuti ke kampung halamanku di Endau, Rompin. Atuk kelihatan begitu gembira sekali kerana cucu pulang menjenguk. Sebilangan besar dari saudara-maraku juga menetap di sana. Maka dapatlah aku menziarahi mereka mengeratkan silaturrahim sesama keluarga. Hmm, indah sungguh memori di kampung dan aku sentiasa rindu suasana damai di sana.

Ada satu lagi perkara yang mencuri masaku. Kerja. Ya, itu apa yang sedang aku usahakan sekarang. Tempoh hari, aku telah menduduki penilaian bagi kemasukan ke KPLI. Lulus atau gagal belum tahu lagi keputusannya. Dengan izin Tuhan, mungkin ada rezekiku di situ. Jika telah tersurat guru bukan kerjaya untukku, masih banyak lagi peluang pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur sebagai alternatif.

Dalam hal ini, usaha berterusan memang perlu dan isu kemelesetan ekonomi serta kesukaran mendapatkan pekerjaan yang melanda negara kita perlu aku tolak tepi sebagai motivasi. : ) Doakan aku agar berjaya ketemu pekerjaan yang serasi dengan minatku. InsyaAllah..

Sebelum aku tamatkan coretan.. Selamat malam aku ucapkan.. Moga bermimpi yang indah-indah, dan sambutlah hari esok dengan senyuman.. Take care~

p/s: Esok pagi ada temuduga di Jln Raja Chulan.. Malam sudah agak lewat, esok kuyu mata salah siapa..? Hehe..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails