Showing posts with label tentang dunia. Show all posts
Showing posts with label tentang dunia. Show all posts

Wednesday, 16 January 2013

:: Kecoh

Kecoh juga orang bercakap tentang si dia. Cuma satu hari di forum 'Seiringkah mahasiswa dan politik?' di UUM, cukup untuk membuka mata semua orang. 

Tersenyum. 

Adat manusia, yang tak elok itu yang orang dok kata, yang elok selalu simpan diam-diam aja.  : )

Untuk aku, dia dan kita semua.. K
urangkan bercakap jika tak cukup ilmu dan iman di dada. Itu lebih baik. Memang tiada apa yang sempurna kecuali Dia, yang Maha Esa.


Tuesday, 20 November 2012

:: USAHA KITA : PILIHLAH


Air mata terus mengalir di Gaza. Sudah sekian lama dan kini mereka masih juga ditindas Yahudi Laknatullah dan sekutu-sekutunya. Alhamdulillah, iman subur di dalam jiwa maka mereka tidak takut malah bersedia untuk syahid demi mempertahankan hak mereka. Dari kejauhan, apa yang kita boleh lakukan? Aku ketemu ini di laman maya dan sama-sama kita kongsikannya.

USAHA KITA : PILIHLAH


Natijahnya, pilihlah salah satu atau lebih dari satu dari tindakan di bawah untuk membantu saudara kita di Palestin yang dijajah dan Palestin yang sedang cuba dijajah.

1) Bantuan tenaga dan diri; Pergilah ke medan di Palestin, jika anda ada cara, kemampuan dan keikhlasan. Sama ada untuk membantu menghantar bantuan kemanusian, perubatan, psikologi atau yang lebih dahsyat dari itu dari segi fizikalnya..

2) Bantuan harta; Bagi yang tidak mampu pergi, sumbanglah bantuan kewangan atau pakaian dan lainnya kepada badan yang dipercayai lagi berwibawa di tempat anda agar bantuan tersebut boleh sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita. Cuaca sejuk kini tidak menentu, di UK kami ditimpa cuaca sejuk luar biasa sehingga -10 darjah celcius. Palestin juga berada dalam cuaca sejuk, sekitar di bawah 10 celcius di sebelah malam.

3) Bantuan doa; Bagi yang tidak mampu memberi kedua-dua bantuan di atas, atau termasuk juga mereka yang mampu, teruskan berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin, Iraq dan seluruh umat Islam. Doakan bala bagi Yahudi, pemimpin Amerika dan rakyatnya yang menyokong, serta sekutu-sekutunya iaitu mereka yang membuka jalan dan menyokong serangan pengganas Yahudi ini.

Doa anda boleh dibaca sebagai :-

a- Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu anda, anda dibenarkan untuk memegang kertas doa semasa qunut tersebut kerana tentunya sukar untuk menghafalnya. Itu tidak membatalkan solat dalam semua mazhab termasuk mazhab Syafie kerana andai tidak bergerak besar berturut-turut sebanyak tiga kali. Hanya angkat sekali kertas doa, berhenti sebentar kerana membaca, kemudian terus turun sujud, tiada berturut-turut.

b- Doa semasa sujud dalam setiap solat. Ia lebih maqbul berdasarkan nas yang sohih.

c- Khatib bacalah doa untuk Palestin di hujung khutbah Jumaat.

d- Dan banyak lagi waktu doa maqbul.

4) Solat hajat; Bagi mereka yang berpegang kepada bolehnya dilakukan solat hajat sama ada secara individu atau berjemaah. Anda turut boleh meneruskannya.

5) Menyertai demonstrasi aman; Sertailah ia dengan aman dan makmurkannya, namun jangan lupa juga memakmurkan masjid di kala Subuh dan waktu-waktu lain.

6) Menulis; Tulislah di blog, web, forum anda, ruangan akhbar, majalah, yahoo group dan lainnya, buatkanlah kajian ringkas dan permudahkan penyampaian info kepada orang ramai berkenaan kezaliman Yahudi terhadap Palestin dan sekutu-sekutu mereka.

7) Ceramah; Anda mampu ceramah? Berikanlah ceramah berkaitan isu ini atau hadirkanlah diri ke ceramah berkaitannya di tempat anda. Anda tidak semestinya seorang ustaz/ah untuk ceramah dalam bab ini, wartawan pun boleh.

8) Boikot; Perkukuhkan boikot barangan Yahudi dan Amerika di ketika ini. Hantarlah surat dan bantahan, petition, atau memorandum kepada kedutaan Amerika dan sekutu jahat mereka.





........................................................................................................

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, semoga Dia memakbul dan memberkati doa dan usaha kita, serta memberikan pertolongan kepada saudara-saudara kita di Palestin sana. Amin. InsyaAllah...


:: Tears of Gaza



I, too, have a dream ...
that one day Jews and Christians
will see me as I am:
a small child, lonely and afraid,
staring down the barrels of their big bazookas,
knowing I did nothing
to deserve their hatred. 

- The child poet of Gaza











Dear friends, let's do something..because something is better than nothing! 


EMERGENCY RELIEF AQSA SYARIF BERHAD 
Maybank Islamic 551575004299 / Bank Islam 12092010034904




Thursday, 26 November 2009

:: Aku sudah siap!



Di sebalik kegembiraan hari yang mulia, kesedaran dan keinsafan yang terlahir dari dalam diri itu yang lebih utama.. Salam Aidiladha buat teman semua..


Tuesday, 20 October 2009

:: cerita berita



KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur bunyi ekzos bising, dua sahabat mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditetak sekumpulan Mat Motor yang bengang dengan teguran itu di kawasan flat Desa Puteri, Seri Petaling di sini, awal pagi semalam.

Pelajar pintar mengamuk
JEMPOL: Bagaikan dirasuk, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menetak ibu dan adiknya di rumah mereka di Felda Palong 4, Gemas, dekat sini.

BATANG KALI: “Saya tergamam. Seorang daripada mereka bersenjatakan pisau sambil mengugut mahu menikam dada saya sekiranya melawan,” kata pengusaha butik pengantin, Mahani Mior Yang, 52, menceritakan detik cemas disamun, semalam.

TANAH MERAH: Hanya kerana seekor kerbau yang baru dibeli, seorang warga emas cedera parah dan koma selepas kepalanya ditetak dengan sabit rakan sekampung dalam kejadian di Kampung Salak, dekat sini, semalam.

..........................................................................

Berita di akhbar hari ini banyak melaporkan tentang jenayah. Mungkin setiap hari pun begitu, mujurlah aku tidak membacanya setiap hari, jika tidak mungkin aku pun takkan berani keluar rumah berseorangan.

Orang kata pisau jangan dibuat main. Hmm, bahaya. Tapi orang sekarang makin ganas, entah apa nak jadi..

Dinasihatkan di sini agar kita tidak bertindak sebarangan dalam memberi respon atas perlakuan negatif seseorang yang tidak kita kenali. Mana tahu individu tersebut dari golongan yang berbahaya, kita juga yang akan mendapat musibah. Dapatkan bantuan pihak polis atau mereka yang lebih berkemampuan dari kita. Berhati-hatilah selalu kerana malang itu tidak berbau..


p/s: Jenayah berleluasa; kepincangan dalam masyarakat yang harus diambil peduli oleh kita semua..

:: credits to resource; hmetro.com.my & Cayusa's photostream@flickr.com

Tuesday, 4 August 2009

:: Bukan demam biasa..

Sana-sini kecoh tentang H1N1.. segelintir dari kita masih tidak ambil peduli akan penularan virus tersebut yang semakin meningkat akhir-akhir ini. Setakat hari ini, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara kita, 1,446 kes dengan lapan kematian. Angka lapan itu sudah cukup untuk kita membuka mata.


Berhati-hatilah wahai teman semua. Ini melihat kepada kehidupan seharian kita yang tidak dapat lari dari bercampur gaul dengan orang ramai. Jika ada orang di sekeliling kita yang kurang sihat, maka kita juga harus mengambil langkah berwaspada.

Di sekolah pun ramai muridku yang demam. Mungkin demam biasa namun ada juga yang ku lihat terlalu lemah. Segera ibu bapa dihubungi untuk membawa anak-anak mereka ke klinik atau hospital. Program Semarak Merdeka yang ingin dijayakan tidak lama lagi juga mendapat tempiasnya. Ada ibu bapa yang bimbang dan tidak membenarkan anak mereka terlibat dalam program yang membabitkan orang ramai seperti ini. Aku cukup berharap agar anak-anak muridku kekal sihat dan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa.

Ramai antara kita sudah sedia maklum akan simptom-simptom penyakit berjangkit ini. Namun ada sesetengah kematian berpunca dari salah tanggapan yang mana tanda-tanda awal itu dikira cuma demam biasa lantas tiada rawatan susulan diambil. Kita harus lebih peka, bersegeralah ke hospital untuk mendapatkan kepastian.

Sedikit info berkaitan wabak ini yang ingin ku kongsi di sini;

Simptom H1N1;
-Demam, batuk, selsema, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Tanda-tanda ini diikuti dengan beberapa masalah kesihatan yang lain seperti sesak nafas, dan cirit-birit/muntah (sesetengah kes).

Langkah pencegahan;
-Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk.
-Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
-Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selsema.
-Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
-Jika anda sakit akibat demam selsema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah, juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
-Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Individu yang berisiko tinggi mengalami gangguan kesihatan kronik akibat jangkitan H1N1;
-Individu dengan berat badan berlebihan, wanita mengandung, pesakit diabetes, pesakit respiratori kronik, dan mereka yang mempunyai daya tahan rendah dalam menentang penyakit.

Friday, 26 June 2009

:: Noktah Yang Ternama..

Michael Jackson meninggal dunia. Aku tahu khabarnya melalui berita yang disampaikan oleh Paknil di radio Era pagi tadi. Begitu ramai yang menggilai Raja Pop itu, dan sudah pasti para peminatnya di seluruh dunia begitu sedih dengan pemergiannya yang boleh dikatakan mengejut.

Begitulah, bila ajal telah datang menjemput, kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedetik pun. Kita perlu akur yang mana usia itu bukanlah satu kayu pengukur selama mana kita akan hidup di dunia pinjaman sementara ini.



Perjuangan Michael Jackson dalam industri muzik boleh dibanggakan. Banyak lagu-lagunya mampu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia. Ada 'semangat' barangkali. Lagu Earth Song ini ku pilih sebagai salah satu karyanya yang terbaik. Bercerita tentang kemusnahan dunia, Michael Jackson menyampaikannya dengan penuh penghayatan.

~Salam perpisahan yang terakhir buat beliau.. Ada yang mengatakan beliau telah memeluk Islam sekitar tahun 2008 dan menukar namanya kepada Mikaeel. Wallahua'alam.. Meninggal dunia dalam Islam adalah satu keberuntungan buat beliau, begitulah hendaknya..

Sunday, 21 June 2009

:: Andalah hero di hati mereka...




Ayah, Abah, Abi, Papa.. dan pelbagai lagi panggilan yang berbeza, namun tanggungjawab dan pengorbanan mereka, tetap serupa.

Selamat Hari Bapa...
buat semua yang memegang amanah ini sebaiknya, kerana di mata anak-anak anda, andalah yang terbaik..! Andalah hero di hati mereka... ^_^


:: credits to macaroniandglue's photostream@flickr.com

Wednesday, 4 March 2009

:: Mangsa Jenayah; apa perasaan mereka..?

Terkejut, marah, geram, takut, sedih, kecewa dan sebagainya.

Saat aku menjadi mangsa ragut, aku sungguh terkejut. Gamam kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.

Marah. Aku menjerit berang ke arah dua penjenayah yang memecut motosikal namun perbuatanku sia-sia.

Hati jadi geram setelah kelibat penjenayah itu hilang dari pandangan. Mereka sempat mentertawakan aku. Cis!

Setibanya di rumah aku terduduk lalu menangis. Rasa geram berganti gemuruh. Bertalu-talu kotak fikiran digasak andaian yang bukan-bukan. Adakah hari esok aku akan diintip lagi? Adakah penjenayah-penjenayah itu akan membalas dendam?

Perasaan tiba-tiba menjadi sedih apabila menyedari lenganku mengalami sedikit kecederaan. Bergarit dilelas tali beg tanganku sendiri. Pedih tapi tidak seperit hatiku yang amat sakit.

Syukur, mereka tak berjaya merampas hartaku kerana aku menarik kuat. Tindakan refleks mungkin. Rupa-rupanya saat-saat sebegitu, otak kita cuma sempat mengarah untuk mempertahankan diri dari disakiti. Tidak terfikir akan bahaya akibat melawan kekejaman itu.

Akhir sekali selepas memasuki fasa bertenang, tinggal kecewa yang bertandang di hati. Kawasan aku diragut itu cuma beberapa meter dari pondok kawalan polis. Namun tiada sesiapa yang ada di situ pada malam kejadian. Juga malam-malam sebelumnya.

Jadi apa fungsi pondok itu sebenarnya ..? Bukannya aku seorang saja yang pernah menjadi mangsa, malahan sudah banyak kes lain dilaporkan sebelum itu. Seharusnya sudah lama mereka membuka mata.


Mengapa aku tak bisa hidup aman di tempat sendiri..? Mengapa ada manusia yang berhati kejam? Aku sayang Malaysia tapi kadang-kadang aku benci dengan perlakuan segelintir penghuninya. Sampai bila aku sanggup bertahan..? Dan ke mana tempat selamat seharusnya aku pergi..?

Persoalan masih lagi tinggal persoalan. Kes culik, bunuh, rompak, ragut, rogol.. inikah Malaysia? Inikah dunia..? Yang aku nampak cuma hitam.

Kasihan adik Nurin. Juga adik Sharlinie.. dan ramai lagi mangsa yang lain. Siapa yang akan membela nasib mereka..? Siapa....?

Wahai para pemimpin Malaysia, tolonglah memandang isu ini lebih penting dari segala-galanya.. Dengarlah rintihan kami..;

Rakyat Mahu Aman!

p/s: Anda pernah menjadi mangsa jenayah..? Sila kongsikan pengalaman dan pendapat anda tentang masalah ini..

Friday, 13 February 2009

:: Besar kuali, besar juga keraknya..

Peribahasa ini memang selalu digunapakai, tapi mungkin perkataannya yang diubah-ubah mengikut kesesuaian. Ada yang sebut periuk dan tak kurang juga belanga.. Hehe.. Tapi yang sinonim dengan kerak yang hitam.., kualilah agaknya.

Apa maksud yang tersirat ya..? Sifat manusia yang 'prihatin', memang suka nak membuat ulasan tentang si polan dan si polan. Ayat yang sering kedengaran..

-"Banyak betul duit dia beli jam mahal-mahal."

-"Sekaranglah dia merasa nak pakai baju dan barangan berjenama. Dulu masa tengah susah, dapat ke pakai semua ni..?"

-"Ish, ish, kita ni walaupun ada duit tak adalah nak berbelanja sakan macam dia tu.."

-"Hah, suaminya kan baru naik pangkat, tu yang dia borong habis semua perabot. Beraya sakanlah nampaknya. Kita ni apa yang ada.."

-"Kan duit kau dah banyak. Cukup untuk menanggung kau dan keluarga sampai ke tua. Buat apa susah-susah nak bekerja lagi siang dan malam?"
"Mana ada cukup. Macam-macam lagi keinginan aku belum tercapai."

Ini sekadar contoh.. Kadang-kadang, aku keliru. Salahkah kalau orang yang punya rezeki lebih nak berbelanja mengikut kemampuan mereka? Kita membeli di Jalan TAR, mereka ke butik mewah Star Hill. Kita makan di rumah, mereka makan di hotel 5 bintang. Kita berjalan di Zoo Negara, mereka bersantai di Niagara Falls. Pelikkah dengan situasi begini..?

Ya, mereka berbeza kerana mereka mampu. Cuba letakkan diri kita di tempat mereka.. apakah kita tidak tergoda untuk berbuat yang serupa? Dan jika kita golongan berada, mampukah kita tunduk semula bila harta hilang sekelip mata. Sukar untuk kita bayangkan kerana selagi perkara itu tak terjadi pada kita, kita bisa berkata; "Cukup saja begini." Dan bila kita berubah kelak, yang keluar dari mulut kita.. "Itu dulu.. sekarang dan dulu mana boleh disamakan."

Kesimpulan yang dapat aku buat dalam hati; Biarlah.. itu sudah bahagian mereka. Selagi rezeki yang diperolehi halal, dan amal ibadat mereka terpelihara, itu bukan urusan kita untuk membenci sebesar zarah pun. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Percaya atau tidak, semakin banyak yang kita miliki, keinginan kita juga akan semakin bertambah. Seakan tidak cukup dengan apa yang ada. Bersyukur sekiranya perasaan itu wujud dalam dada, kita masih lagi dapat mengawal diri. Sebut tentang keinginan manusia, aku teringat cerita seorang tua di dalam Apocalypto;

........and when the Man had all the gifts that they could give.. he left.

Then the owl said to the other animals: "Now the Man knows much and is able to do many things.. Suddenly I am afraid."

The deer said: " The Man has all that he needs. Now his sadness will stop."

But the owl replied: " No. I saw a hole in the Man.., deep like a hunger he will never fill, it is what makes him sad and what makes him want.

He will go on taking and taking.. until one day.., the World will say:
I am no more.. and I have nothing left to give..."


Thursday, 5 February 2009

:: Sebut tentang makan ~bertuah jadi warga Malaysia..

Selesai makan malam, ada sedikit masa untuk aku berada di sini sebelum mengundur diri dan melelapkan mata.

Tadi, kami makan berempat, ada seorang teman sekerja suami ada bersama (selain dari abang iparku..). Dari Malaysia juga.., mungkin 2-3 minggu dia di Bangkok untuk menyelesaikan tugasannya, sebelum kembali semula ke tanah air. Biasanya kalau ada sesiapa dari negara kita yang diam di tempat yang sama, kami pasti mempelawa mereka untuk sama-sama menikmati hidangan walaupun semuanya disediakan serba sederhana. Lebih manis begitu dari membiarkan mereka tercari-cari makanan halal di luar yang payah ditemui jika tidak tahu lokasinya.

Maklumlah, di kawasanku ini (kategori pinggir bandar), kalau mahu makan mengikut selera di Malaysia, perlu menggagahkan diri untuk memasak. Tak banyak makanan halal ada di pasar malam atau gerai-gerai berdekatan. Perlu bergerak pula menaiki teksi jika mahu ke restoran Muslim yang ada di kawasan lain. Syukur pasar paginya masih ada sumber bahan mentah seperti ayam dan daging halal serta makanan laut yang kebanyakannya segar-segar belaka. Senang hati kerana dapat memasak apa-apa yang diingini. Kebersihan pun lebih terjamin.

Pemandangan biasa di sini, peniaga berjualan di tepi jalan besar. Habuk dan debu tak terkira banyaknya. Tidak bertutup pun hidangan, ditambah pula dengan *haiwan-haiwan yang berkeliaran di sekitar gerai. Tepuk dada tanya selera. Mungkin mereka rasa itu tak mengapa.. tapi kita..? : )

Lebih kurang sebulan lagi aku akan setia di sini. Sekejap saja masa berlalu.. dan Malaysia seakan sudah memanggil-manggil kami pulang ke pangkuannya yang damai dan sentosa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.. Penutup kata yang bisa menyedapkan hati yang kerinduan..

Selamat malam semua...

p/s: Aku suka pasar malam di Malaysia, tapi aku juga pasti akan rindukan steamboat dan nasi beriyani Arab di kota ini.. hehe
*haiwan yang haram disentuh dan dimanjakan

Monday, 2 February 2009

:: Kereta dan Kita

Kereta. Tak dapat dinafikan ia merupakan salah satu dari nadi penggerak kehidupan. Dengannya kita mampu untuk sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu risau akan ketinggalan bas, tak perlu bersesak menaiki keretapi dan sebagainya. Alhamdulillah, kerana akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada manusia membolehkan terhasilnya ciptaan sebegini.

Ada yang kecil, ada yang besar. Sesetengahnya kelihatan cute, dan ada juga yang tampak gagah dan berani. Apapun ada yang mengatakan, sesebuah kereta itu ibarat cerminan personaliti pemiliknya. Mungkin ada benarnya di situ. Dalam menghias kereta, pemilihan accessories yang terlalu sarat bukanlah sesuatu yang aku gemari kerana mungkin sahaja aku seorang yang ringkas. Juga pengubahsuaian yang terlampau ekstrim. Tapi atas dasar minat individu serta kesesuaian jenis kereta, pemilik bengkel atau kedai peralatan seperti ini tidak perlu risau. Pelanggan yang berminat untuk modify sana-sini, masih ramai di luar sana.

Bila sudah bekerjaya, rata-rata orang akan mula memasang impian; diam-diam mahu memiliki rumah dan kereta. Lihat, betapa pentingnya ia pada kehidupan kita seharian. Budak kecil pun sudah pandai berangan..

"Tengok, ni kereta baru kita. Papa kita belikan. Best.. pintu dia boleh terangkat ke atas.."

Mereka memang bijak. Bijak mentafsir yang kereta adalah sesuatu yang bernilai, sesuatu yang istimewa, walaupun di depan mereka itu, cuma sebuah kereta mainan. ^_^

Kereta impian?
Tepuk dada tanya selera. Selalunya kita bersandar pada kemampuan kewangan sebagai garis panduan utama. Yang sesuai untuk diriku ini, cukup saja yang sedang-sedang saiznya. Peruntukan bulanan untuknya juga harus sederhana kerana banyak lagi keperluan lain yang perlu diutamakan. Walaupun Lancer GT dan Honda City baru itu menawan hati, ianya masih jauh lagi dari jangkauanku. (Tersenyum; menambah stok angan-angan..)

(Gambar hiasan)- Cara parking yang 'tepat'.

Emm, macam-macam gelagat manusia bila kita sentuh tentang kereta dan aspek memandu. Boleh jadi kita akan melihatnya dari perspektif yang berbeza.. Yang sopan dan berhemah, tabik kepada mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang...

*Lupa daratan
Ghairah memecut, lupa segala-galanya. Terlampau taksub dengan kemampuan dan kehebatan kereta yang dimiliki. Dialah jaguh di jalan raya. Had laju yang ditetapkan langsung tidak dihiraukan. Saman? Oh, bayar saja, habis cerita..

Bila sudah terbabas dan terbaring di katil hospital, barulah mereka sedar yang perbuatan ini hanya sia-sia belaka. Malang tidak berbau.., Biar lambat asal selamat; begitulah antara pesanan yang sering dicanangkan.

*Panas baran
Kerana kereta orang bermusuhan.. Bukan kita tak pernah dengar atau lihat, adegan maki hamun yang kadangkala berlanjutan sehingga timbul aksi tumbuk menumbuk. Selalunya perselisihan faham ini terjadi akibat perlanggaran, atau kes potong memotong yang menimbulkan perasaan tidak puas hati pada sebelah pihak.

Sebagai wanita memang aku sedikit gerun dengan hal semacam ini. Lebih baik ia dibawa berunding dengan cara baik kerana ia akan lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak. Jika ada yang tidak mahu bertolak ansur, ke balai polis saja untuk menyelesaikannya.

....Yang selain dari itu, tak mengapalah.. Cuma dua ini saja ingin aku tekankan di sini kerana ia saban kali mendatangkan kesusahan dan kesakitan (mental & fizikal).

Adatlah manusia, ada angin pasang surutnya. Aku sendiri ketika memandu kadang-kadang membentak dalam hati kerana tidak puas hati akan sesuatu. Tetapi kerana memikirkan keselamatan dan juga ketenangan seisi kereta, apa salahnya kita berlatih untuk memupuk sikap sabar dan prihatin dalam diri. Perjalanan selamat, hati pun gembira. InsyaAllah.. ^_^

Friday, 23 January 2009

:: Dilema bersuamikan seorang doktor..

Pasti ada di antara kalian yang terbayangkan jejaka bercermin mata segak berseragam putih berdiri di tepi katil sambil mencatat sesuatu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Dan yang terbaring di katil itu memandang dengan penuh harapan.

Itu mungkin personaliti seorang doktor yang dapat kita lihat di kaca TV.. contohnya dalam siri House; yang amat aku minati. Tapi realitinya, ada juga yang tidak berperwatakan menarik, sekadar cukup-cukup makan sahaja hinggakan ada kata yang terpacul dari mulut kita.. "Dia itu doktorkah? Wajah serupa orang sakit.." : ) Hmm, sudah lumrah dunia, tiada apa yang sempurna.

Kalau bersuamikan seorang doktor sejati, memanglah bahagia. Sakit pening ada si dia boleh tolong ubatkan..
Tapi ceritaku di sini kali ini, bukanlah dunia anganan para wanita, tapi mungkin sesuatu yang menyedihkan, dan tak semua dapat menyelami dunia mereka.. Suami mereka sangat asyik dalam kerjaya yang satu ini.. sesat dalam terang, begitulah yang terjadi.. Dilema isteri seorang penagih dadah! 'Doktor' yang mengheret diri sendiri ke lembah kegelapan..


Kes 1
Seawal perkahwinan, semuanya manis belaka. Temberang di depan mata ditelan bulat-bulat. Selepas beberapa tahun, A akhirnya dapat menghidu yang suaminya itu terlibat dalam gejala dadah. Sabar dan tetap sabar, 3 orang anak menjadi bukti mereka masih lagi punya bahagia. Tapi makin lama dibiarkan keadaan makin parah.

Suatu hari, A pulang ke kampung merajuk hati. Anak yang ditinggal di rumah lantas menelefon mengadu. Ayah bawa kawan-kawan berkumpul dalam bilik. Nampak asap di sebalik pintu, serta terjumpa puntung rokok dan jarum suntikan di atas lantai bila semua mereka telah pergi.

Oh, apakah nasibku..? Ingatkan suami mahu memujuk, rupanya makin bermaharaja lela.. Adakah dia tak mampu lagi berfikir dengan waras? Bagaimana dengan anak-anak? Nak membuat laporan polis hati serba salah, ditambah pula sekelumit rasa sayang yang masih tertanam di jiwa. A berdialog sendirian..

Maka A sanggup bersusah payah. Ke sana ke mari mencari sesuap rezeki untuk anak-anak setelah suami tidak lagi punya hati. Menyimpan rasa derita dan kecewa. Cemburu melihat orang lain yang bahagia berkeluarga. Mengapa nasibnya tidak seperti mereka..?

Dan lelaki itu masih lagi terus mengganggu atas alasan dia punya hak. Dia seorang suami, dia bapa kepada anak-anak. Tapi di manakah tanggungjawabnya?? A selalu menjerit dan memberontak, tapi ianya sekadar bergema dari dalam hati.. Dia takut untuk membuat keputusan;

Berpisah?
...Itu bermakna dia akan menjadi janda.. Dia tahu, itu bukan satu keputusan yang mudah. Masa depannya kabur. Dia merasakan dia tak mampu memikul semua tanggungjawab itu seorang diri..
Anak-anak? Walaupun yang sulung sudah mengerti akan penderitaan ibunya tapi yang masih kecil pula bagaimana..? Malam-malam mahu tidur sering tercari-cari ayahnya. Kerana si suami tetap seorang ayah yang penyayang. Mesra dengan anak-anak. Walaupun kadangkala amanah itu diperlekehkan.

A masih buntu mencari jawapan..

Kes 2
B sebelum berkahwin lagi sudah tahu yang suaminya telah terjebak dalam gejala yang tak bermoral ini. Tak sangka dia akhirnya ikut sama terpengaruh. Mereka berdua tenggelam dalam dunia khayal yang mengasyikkan.. dan apa yang lebih teruk, kediaman mereka turut dijadikan markas untuk teman-teman seangkatan berkumpul dan menikmati segala jenis dadah..

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pada suatu malam, mereka terperangkap dalam serbuan oleh pihak polis. B dan suaminya terpisah, masing-masing disumbatkan ke pusat serenti berasingan bagi proses pemulihan.

Kini, B sudah insaf. Dalam hatinya masih berharap, agar dia dan suaminya dapat membina hidup baru selepas keluar dari pusat pemulihan. Moga suaminya telah berubah, dan tidak kembali lagi ke lembah hitam itu.

Kes 3
Saudara mara sudah banyak menabur kata. Ibu bapa juga jenuh menasihati. Berpisah jalan terbaik. Tapi rasa cinta mengatasi segala-galanya. C tidak mahu meninggalkan si suami yang amat disayangi. Biarlah dia hisap dadah, biarlah dia ketagih syabu.. dia sedikitpun tak mengganggu kehidupan kalian.. C menolak kata mereka mentah-mentah.
Cinta itu buta, memang ada benarnya. Mungkin satu hari nanti dia akan berubah, harapnya bertahun-tahun sudah.

Satu hari, C berjumpa doktor setelah mengatur temujanji. Kebelakangan ini, dia sering berasa tidak sihat. Banyak ubat telah ditelan, namun badannya masih lemah. Tiba di sana, doktor menyusun bicara..

"Hasil pemeriksaan darah, maaf, saya harap puan bersabar."

"Mengapa?" C masih keliru.

"Puan disyaki HIV positif. Tapi sebelum apa-apa, kami mahu tahu sejarah puan. Mungkin dari situ kami dapat menentukan bagaimana puan boleh dijangkiti.."

"Tak mungkin.. tak mungkin Doktor.." jawab C sambil terketar-ketar..

"Kami boleh jalankan pemeriksaan kali kedua. Untuk lebih kepastian."

C sepertinya mahu pengsan di situ.

Suaminya ada berkata dia tak berkongsi jarum suntikan. Lagi pula dia tidak pernah terserempak lelaki itu berpeleseran bersama teman-teman 'gelap'nya. Tapi itu apa yang ada dalam pemerhatiannya. Yang dia tidak tahu..? Dan tidak nampak..?

Nasi sudah menjadi bubur, menangis air mata darah sekalipun tidak lagi berguna. Warna kehidupan menjadi pudar, dan C tidak mampu menyalahkan takdir. Dia yang silap kerana terlalu percayakan suami.

.............................................................................

Terdapat kira-kira sejuta penagih dadah dalam negara kita. Sebahagian besar darinya mungkin saja sudah berkeluarga dan punya anak-anak yang mengharapkan jagaan. Jadi, tak mustahil kes-kes di atas juga turut melibatkan pasangan-pasangan lain. Tidakkah ia menjejaskan institusi kekeluargaan yang selama ini kita anggap penting..?

Apa yang harus dilakukan oleh para isteri ini? Atau para suami, yang mana pasangan mereka terjebak dalam penagihan dadah. Patutkah mereka berundur.. ataupun tetap setia memberi sokongan dengan harapan teman hidup mereka itu akan berubah..?

Yang kita takuti, terjadi pengakhiran seperti kes C. Sebuah pengorbanan yang sia-sia... Fikir-fikirkanlah..

p/s: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta setahun bagi menyelenggara dan mengendali pusat-pusat pemulihan dadah di seluruh negara. Rm 300 juta.

Friday, 16 January 2009

:: Awan gelap di Gaza..

Air mata kita banyak yang tumpah melihat derita mereka. Sekadar santapan gambar-gambar yang 'berdarah' sudah membuat aku terasa lemah. Jika diletak aku di bumi Gaza mendengar hiruk pikuk tangisan dan melihat sekujur tubuh separa hancur terbaring kaku, mungkin saja aku akan jatuh pengsan tidak berdaya. Aku akui aku gementar. Aku takut akan kesakitan dan kekejaman. Mereka di Palestin itu sangat kuat dan tabah. Semoga Syurga tempat mereka, mengecap bahagia yang abadi...

Tuesday, 13 January 2009

:: Dingin..

Semalam, kami tiba di lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok lebih kurang jam 11.30 malam. Airport sedikit lengang kerana sudah lewat malam. Selepas melepasi pintu keluar terminal, kami menunggu dalam barisan bagi mendapatkan khidmat teksi untuk pulang ke rumah. Aku dapat merasakan yang angin malam begitu dingin. Tak pernah aku rasa sesejuk ini. Pada mulanya aku fikir hembusan aircond yang telah menyusup keluar dari celahan pintu kaca yang terbuka, tapi lama-kelamaan aku menyedari yang cuaca Bangkok ketika ini sememangnya dingin.

Sampai saja di rumah, tak sabar nak merehatkan badan. Bila tapak kaki menyentuh lantai balkoni dan juga bilik air, aduh..!terasa benar sejuknya. Belum lagi air di pili, selepas membasuh muka, hilang terus rasa mengantuk.. tidur pula tidak perlu menghidupkan aircond. Sudah cukup dingin dan nyaman.

Ketika bersembang selepas makan malam tadi, abang iparku ada mengatakan yang cuaca sebegini sementara cuma. Mungkin untuk beberapa minggu seiring dengan peralihan bulan. Beriklim monsun tropika, musim sejuk dan kering (15-27 darjah Celcius) biasanya bermula dari November hingga pertengahan Mac. Sekitar April, cuaca akan bertukar menjadi panas sehingga boleh mencecah lebih 40 darjah Celcius. Tahun lepas, ketika musim panas terik ini, sempat juga aku berkongsi kemeriahan mereka menyambut pesta Songkran~ pesta air yang sangat meriah. Harus sporting sekiranya ada percikan air mengenai kita tatkala keluar bersiar ke mana-mana..

Mm, antara cuaca panas dan sejuk, aku lebih senang dengan cuaca panas. Persekitaran yang hangat membuatkan aku tak betah duduk diam maka banyak perkara yang dapat dilakukan. Sejuk pula bagiku sinonim dengan mengantuk dan bermalas-malasan.. hehe.. Seperti malam ini, cepat saja mataku jadi berat.
........zZzZzZ, baiklah, aku berhenti di sini saja kerana tidur itu lebih nikmat. ^_^ Selamat malam semua.. Have a nice dream..~

Friday, 26 December 2008

:: Bila ombak menghempas pantai...

Tsunami, kisah sedih yang diratapi oleh sebahagian besar masyarakat dunia menjelangnya hari-hari terakhir kalendar tahun 2004. Empat tahun sudah berlalu, apakah memori ini masih segar dalam ingatan..? Mungkin ada yang sukar untuk melupakannya kerana kehilangan insan-insan tersayang kekal berbekas di hati mereka yang terlibat dalam tragedi ini.

26 Disember 2004, ombak besar Tsunami yang terhasil oleh gempa berukuran 8.9 pada skala Richter di utara Sumatera telah menerjah pesisiran pantai negara-negara yang terletak di pesisir Lautan Hindi. Indonesia, Sri Lanka dan India merupakan antara yang terjejas teruk dan mendahului senarai kematian yang mencecah angka ratusan ribu. Negara-negara lain yang turut terlibat ialah Thailand, Bangladesh, Myanmar, Maldives serta Malaysia sendiri.

Yang menjadi mangsa hanya mampu mengalirkan air mata menangisi nasib mereka. Bingung dan tenggelam punca, begitulah suasana yang dapat dilihat di kawasan yang ditimpa bencana. Mereka akui, tiada sebarang petanda yang mampu membuatkan mereka bersedia.

Natijah selepas peristiwa ini, ramai yang telah menyuarakan pendapat tentang betapa perlunya diwujudkan satu sistem amaran awal terhadap ancaman tsunami yang lebih menyeluruh dan berkesan di rantau ini sebagai langkah berjaga-jaga. Apakah ia sudah menjadi realiti..? Jangan pula menunggu pisang berbuah dua kali dalam hal-hal yang membabitkan kehilangan nyawa seperti ini...

Kepada mereka yang ditimpa musibah, aku mengucapkan takziah. Harapanku agar mereka terus tabah dan bersabar menghadapi dugaan. Apa jua yang telah berlaku, jadikan ia sebagai iktibar dalam perjalanan kita mencari erti sebuah kehidupan..

p/s: Tahun 2004 mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila ucapan selamat tinggal serta alu-aluan kehadiran tahun baru tidak lagi diiringi dengan konsert hiburan dan acara-acara yang keterlaluan gembiranya. Ia sesuatu tindakan yang sungguh wajar, tetapi.. bagaimana pula dengan tahun ini..?

:: credits to benbeau's photostream@flickr.com

Wednesday, 24 December 2008

:: Siapa dia Muntadar al-Zeidi..?

Isu ini memang hangat. Masih tetap hangat walaupun sudah lebih seminggu ia berlalu. Muntadar al-Zeidi. Bukan calang-calang nama yang disebut ini. Beliau disanjung tinggi dan terkenal di pelusuk dunia.

Merupakan salah seorang wartawan bagi saluran televisyen Iraq, apa yang membuatkannya layak diangkat menjadi wira, cumalah berpunca dari sepasang kasut; cenderamata penghargaan yang dibalingnya ke arah Bush, seorang yang punya nama tetapi ramai yang benci untuk menyebutnya.

Kejadian ini berlaku ketika sidang media Bush bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki; (pemimpin boneka yang sangat menyayangi Bush kerana terlihat cuba menangkap kasut-kasut yang dibaling agar tidak terkena pada teman baiknya itu. Kemudiannya pula, memberi arahan agar Muntadar segera ditangkap dan ditahan).

Bush masih sempat bergurau: “Ia (kasut) bersaiz 10.” Ahh, angkuhnya dia menyembunyikan malu dalam dada.. sedangkan semua orang dapat menyaksikan wajahnya yang pucat dan seolah-olah tidak percaya akan situasi yang dihadapinya ketika itu.

Apapun spekulasi yang timbul selepas itu, Muntadar al-Zeidi tetap tersenyum puas. Ramai yang bertepuk tangan bersama-samanya sebagai tanda berpuas hati dengan pengakhiran tahun 2008 ini. Pengakhiran yang menyakitkan.. bagi Bush.

Seperti firman-Nya di dalam al Quran:

"...orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin.. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.."
(Q.S. An Nisa': 139)

Monday, 22 December 2008

:: Kejamnya seorang Manusia..

SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang panik dan ketakutan selepas melahirkan anak luar nikah dipercayai bertindak kejam dengan menghentak bayi yang baru dilahirkan sehingga mati sebelum mencampaknya ke luar rumah.

Sebelum kejadian di Kampung Bujang, Merbok itu, kira-kira 5 petang kelmarin, remaja itu dikatakan berkurung lama di dalam bilik tanpa disedari oleh keluarganya bahawa dia dalam proses melahirkan anak. Bagaimanapun, tembelangnya akhirnya terbongkar apabila bapanya yang meninjau kawasan di belakang rumah mereka menemui satu mayat bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat.

Menurut sumber, bapa remaja yang mengesyaki ia hasil perbuatan anaknya kemudian menyoal remaja terbabit. Katanya, remaja perempuan itu kemudian dikatakan mengakui perbuatan, menyebabkan keluarganya membawa dia dan bayi yang dilahirkan itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan segera.

“Bagaimanapun, doktor yang mengendalikan kes itu di HSAH mengesahkan bayi yang dilahirkan cukup bulan itu sudah meninggal dunia. Siasatan seterusnya mendapati bayi terbabit mati akibat dihentak dengan objek keras sebelum dibuang di belakang rumah. Remaja terbabit kini ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, ketika disoal siasat, remaja berkenaan mengaku dia bertindak demikian kerana lupa diri akibat terlalu bimbang dengan tindakan bapanya jika mengetahui dia melahirkan anak luar nikah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Hashim Ali, yang mengesahkan kejadian itu berkata, remaja perempuan terbabit dirawat di HSAH selepas dibawa oleh bapanya selepas mengetahui perbuatannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

..hmetro.com.my(21Dis08)..

p/s: aku SEDIH . GERAM . BIMBANG
-Mereka yang kejam ini sekadar bimbang dengan kemarahan manusia.. apakah dalam hati tiada rasa takut akan kemurkaan Tuhan dan balasan yang amat dashyat dariNya..?
-Sesungguhnya hukuman di dunia tidak setimpal dengan dosa-dosa manusia...
Sama-samalah kita berdoa agar kita tergolong dalam golongan mereka yang dikasihi dan dikurniakan syurga olehNya di alam sana. InsyaAllah..

Friday, 19 December 2008

:: diet Coke + mentos = B.A.H.A.Y.A !

Melihatkan video di atas, pasti kita rasa gerun membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kita minum Diet Coke (atau lain-lain minuman bergas) bersama-sama dengan Mentos..? Bahaya atau tidak..? Boleh dapatkan jawapannya di http://eepybird.com/science.html...

Namun, terdapat berita dari luar negara yang menyatakan beberapa orang kanak-kanak telah menemui ajal akibat mengambil minuman Coke sambil menelan Mentos. Emm, mungkin kesannya kepada kanak-kanak lebih teruk berbanding kita orang dewasa. Kasihan pada mereka yang malang..

p/s: Mahu cuba eksperimen ini boleh, tapi jangan pula berani mempertaruhkan perut anda! : )

Wednesday, 17 December 2008

:: Popcorn pun ada yang berperisa b_bi..

Semalam ada membaca pesanan di bolehblog agar kita lebih berhati hati jika membeli phone cover yang diperbuat daripada kulit.

"Tolong berhati hati bila membeli phone cover kulit. Tolong check that cover carefully. Kalau nampak 3 titik segitiga di kulit itu. Jangan beli. Itu adalah kulit babi. One of my friend beli phone cover ni di Jalan Pasar. Selepas 2 hari memakainya baru dia perasan yang kulit di bahagian dalam phone cover tu ada 3 titik segitiga. Sahih lah ianya dari kulit babi. Beliau membelinya dengan harga RM18. Beliau cuba mencari phone cover lain di KL Sentral dan terkejut, bila jurujual itu menunjukkan phone cover jenis yang sama seperti beliau beli di Jalan Pasar."- etomyam

Emm, nampaknya di Malaysia yang agama rasminya Islam.. masih lagi kita tidak selamat dari unsur-unsur haram sebegini. Di manakah sensitiviti umat Islam di negara kita yang sewenang-wenangnya diperlekehkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab..? Sesuatu perlu dilakukan. Produk-produk di mana status halal haramnya samar-samar seperti ini, harus dihalang dari tersebar luas di pasaran.

Baru-baru ini ada menerima email forward kisah seorang wanita Islam di negara kita. Beliau menyediakan spageti yang kuahnya diperbuat dari sos Prego yang dibeli dari sebuah pasaraya. Siap di masak dihidangkanlah kepada anak-anaknya. Masing-masing makan dengan penuh selera dan salah seorang anaknya turut memuji masakannya yang lebih enak dari biasa. Tetapi mereka ada juga perasan, dalam sos itu ada ketulan-ketulan kecil daging. Mungkin daging itu yang menambah kesedapan perisanya. Si ibu yang kehairanan ini pergilah memeriksa tin sos tersebut kerana setahunya, yang terdapat dalam sos itu hanya cendawan sahaja. Apabila dibelek-belek alangkah terkejutnya beliau apabila salah satu dari ingredients sos yang diimport dari USA itu tercatat minced pork. Habis termuntah mereka dibuatnya. Si ibu merasa berdosa dan amat menyesal kerana kesilapannya yang tidak berhati-hati semasa membeli mengakibatkan benda haram itu masuk ke dalam perut, dan menjadi darah daging..

Kesimpulan yang dapat dibuat di sini, walaupun sesetengah produk itu tidak diklasifikasikan sebagai non-halal, kita sendiri sebagai umat Islam perlu sentiasa berwaspada. Ringankanlah tangan memeriksa isi ramuan yang tercatat serta pastikanlah juga logo halalnya dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

Seperti firman-Nya di dalam al Quran:

Katakanlah; "Tidak aku temukan dalam wahyu yang diturunkan kepadaku, sesuatu yang haram untuk memakannya, kecuali bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi, sebab semua itu adalah nista (kotor) atau binatang yang disembelih untuk selain Allah; maka barangsiapa kerana keadaan terpaksa dengan tidak menginginkannya lagi tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Rabb-mu Maha pengampun lagi Maha penyayang.
(Q.S. Al-An'aam: 145)

p/s: Aku sendiri pernah nyaris-nyaris terbeli popcorn berperisa bacon yang dijual di pawagam kota Bangkok. Tetapi di negara yang majoritinya non-Muslim ini, kita tidak boleh salahkan sesiapa selain dari diri kita sendiri.. moga senantiasa dilindungi olehNya..insyaAllah..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails