Monday, 11 August 2008

:: Menyusuri keunikan Chao Phraya

Hari demi hari, minggu bersilih ganti ..cuti hujung minggu yang singkat, kami ambil peluang keluar bersiar dan menjelajah ke destinasi baru di kota Bangkok yang saban hari sentiasa sibuk. Semalam sempat kami bertiga, aku, suami dan rakan kami Daniel menghabiskan masa sepetang mencuba pengalaman baru, menyusuri Sungai Chao Phraya..

Dengan menaiki express boat (tiket sungguh berpatutan,120 baht/rm12 untuk pas perjalanan sehari), perjalanan kami bermula agak lewat..matahari sudah tegak si atas kepala dan kami dapat merasakan bahang sinarnya tambahan pula jumlah penumpang yang ramai di hujung minggu..mm, berpeluh juga dibuatnya.. : ) tetapi pengalaman baru masih membuat perasaanku teruja..



Bermula dari Sathorn Pier, tempat di mana kami tiba dengan BTS Skytrain, bot bergerak perlahan menongkah arus sungai yang agak deras.. tak tahulah berapa kedalaman sungai ini,namun airnya tidaklah begitu menarik perhatianku kerana warnanya yang kuning dan keruh. Namun pemandangan di sepanjang tebing yang unik membuatkan kami leka.Tak lama selepas itu, bot singgah di Oriental Pier. Sebilangan penumpang yang turun berganti pula dengan yang baru naik. Bot menyambung perjalanan ke The Si Phraya Pier. Di sini, terdapat pusat jualan yang dinamakan River City yang memberi pilihan kepada pelancong untuk membeli barangan kraf dan antik, serta pelbagai pilihan sutera Thai yang menarik hati.

Perhentian seterusnya, Ratchawongse Pier. Pengunjung boleh menjelajahi China Town yang popular dengan majoriti kaum Cina yang aktif berniaga. Namun kami tidak turun singgah di sini kerana ingin terus ke destinasi yang berikutnya.

Selepas melepasi Memorial Bridge yang dibina oleh King Rama VII,kami turun dari bot di The Tien Pier. Perkara pertama, rehat dan makan. Mm, seronok menikmati 'phad thai' -kuey tiow yang digoreng bersama udang kering, kacang tanah , tauhu, tauge dan perencah lain. Sedikit manis namun menyelerakan. Tambahan lagi air kelapa untuk meredakan tekak yang haus. Usai mengisi perut Daniel menambah menu dengan pisang, ubi dan popia goreng.. sedap sekali..!



Selepas itu kami berjalan ke kawasan berdekatan. Banyak deretan kedai lama yang dibina kira-kira seabad yang lampau.. Aku membeli snek ikan sebagai buah tangan. Terdapat juga Wat Pho, kuil yang paling besar dan tertua di Bangkok. Kami tak berpeluang masuk ke dalam kerana pada waktu itu terdapat upacara keagamaan yang sedang dijalankan. Justeru, kami berpatah balik ke jeti untuk menaiki bot bagi menyambung perjalanan.

Kami tak sempat singgah di Maharaj Pier di mana terletaknya muzium, serta binaan kuil-kuil yang bersejarah kerana kesuntukan waktu. Perhentian terakhir kami Phra Arthit Pier, selepas itu bot berpatah balik ke Sathorn Pier. Kami singgah di Wang Lang Pier, dan meluangkan sedikit masa membeli cenderahati dan barangan untuk dibawa pulang. Pasarnya besar, dan aneka barangan dijual di sini, dari keperluan harian, bunga-bungaan, kain pasang, kraftangan, makanan, dan ada juga hiburan sampingan dari artis jalanan. Asyik berjalan sedar-sedar bot terakhir untuk trip ini akan tiba dalam sedikit masa. Terus kami bergegas menunggu di jeti.



Lewat petang, kami tiba di Sathorn Pier dan selepas itu kami bergerak menuju ke pusat bandar dengan menaiki tren. Sempat lagi mengajak suamiku berkunjung ke sini lagi di lain hari kerana belum puas rasanya menjelajah tempat-tempat menarik di sepanjang sungai Chao Phraya ini. Lain kali pergi awal pagi agar perjalanan lebih teratur. Window shopping di MBK dan makan malam di Nana. Aku memilih nasi beriyani..mm, aku sudah addicted barangkali..kalau pergi ke Nana mesti pekena nasi beriyani dan lauk wajib ayam BBQ.. patutlah bertambah berat badanku! : )

Pulang ke rumah.. mood yang bagus sedikit tercalar kerana air-cond tak menjadi.. gas habis mungkin. Panas sampai ke pagi namun disebabkan letih tak kupedulikan sangat ketidakselesaan itu. Pagi tadi technician datang membuat servis dan kini semuanya kembali okey.. dapatlah aku meluangkan masa membuat catatan pengalamanku semalam dengan hati yang ceria.. sekian, sampai bertemu lagi kerana aku mahu menyiapkan makan malam.. bye..! ; )

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails