Showing posts with label menu hari ini. Show all posts
Showing posts with label menu hari ini. Show all posts

Wednesday, 12 August 2009

:: Cencaluk meletup..!

Alkisah di suatu hari aku teringin hendak merasa cencaluk buah tangan dari Melaka yang aku beli sewaktu persinggahan di sana tempoh hari. Kebetulan kunjungan teman baik ke rumah hari itu membuatkan aku sedikit bersemangat untuk menyiapkan hidangan di dapur. Selalunya kalau tidak makan di sekolah, aku cuma membeli saja di kedai, maklumlah suamiku masih lagi jauh di perantauan.. sebab itulah dapur jarang berasap.. :D

Botol cencaluk yang masih belum dibuka ku ambil lalu ku minta bantuan temanku Kak Fiza untuk membuka penutupnya. Dia juga menawarkan diri untuk menyediakan cencaluk itu lengkap dengan campuran asas yang lain seperti hirisan bawang, limau nipis dan cili padi. Aku serahkan saja tugas itu kepada yang lebih arif.


Sewaktu aku leka membancuh air, tiba-tiba kedengaran.. "Poppppp!"

Lantas aku menoleh dan ku lihat Kak Fiza sudah ber'mandi' cencaluk. Dan lebih melucukan, bila ku pandang ke sekeliling, kelihatan palitan cencaluk di sana-sini. Siling dapur yang paling comot. Tak sangka cencaluk itu mampu terbang sampai ke atas sana..!

"Bila beli cencaluk niii.....?" Soal Kak Fiza sambil kami ketawa terbahak-bahak.
"Mmm.. sebulan lebih dah rasanya.."
"Patutlah.. gas banyak sangat ni, lain kali lepas beli terus buka penutupnya.. barulah tak meletup macam ni.."
"Oooo, manalah saya tau.. ni dah terkena lain kali beringatlah.. hehe"

....Selepas kejadian ini, pasti aku takkan melupakan cencaluk dan kenangannya. Sungguhpun begitu ia sangat enak, dan kami makan bertambah... Sehingga terlupa akan dapur yang 'harum' berbau cencaluk pada hari itu.. ^_^

p/s: Patutlah wujud larangan membawa cencaluk ke dalam kapal terbang. Takut meletup akibat tekanan di atas sana. Betul ke..?


:: credits to tolahah's photostream@flickr.com

Saturday, 7 February 2009

:: Yang itu bukan selera aku..


Sedang isu hangat bertebaran di akhbar dan juga blog beberapa teman, aku jadi kurang minat untuk memberi ulasan. Aku mahu biarkan saja telatah mereka para pendukung watak dalam cerita ini. Sejauh mana sandiwara mereka..

Apa ada dengan suara aku? Takkan ke mana-mana, tapi kalau betul semua kita bersatu, pasti boleh jadi sesuatu itu.. kan..? Kalau si Luncai mahu terjun, biarkan. Ada labunya bisa dibuat pelampung. Kita yang tak memakai safety jacket ini hanya mampu melihat.. : )

Emm, tinggalkan dulu kisah ini. Tengahari begini lebih berselera kalau melihat gambar di bawah..


Mahu resepinya..? Ya, terima kasih buat penyampai menu, Hawa temanku di Dubai. Dia rajin memasak. Hidup sebagai perantau mengajar kami keseronokan mencari resepi-resepi baru.. Dan aku juga suka yang ini, ringkas dan sudah pasti sedap kerana ada cheese (kegemaranku) di situ. Jom kita cuba..

Cheesy Indulgence

5-6 biji kentang
Sedikit minyak sayur/jagung
1/2 cawan Cheddar cheese - diparut
Secawan sosej goreng - dihiris
Sedikit krim masam

Cara menyediakannya;
-Panaskan oven sehingga 190 darjah C. Ratakan sedikit minyak ke atas dulang pembakar.
-Gores kulit kentang. Bakar dalam oven/microwave sehingga ia lembut (lebih kurang 10-12 minit)
-Setelah itu, belah dua kentang tersebut. Keluarkan 1/4 isi di permukaannya.
-Isikan kepingan sosej dan juga keju di atas permukaan kentang. Kemudian susun ia ke dalam dulang pembakar.
-Bakar lagi dalam oven lebih kurang 7-8 minit sehingga keju tadi cair dan melitupi sosej dan kentang.
-Sedia dihidangkan. Enak dimakan bersama krim masam. (Aku tak jumpa krim masam, jadi makan begitu sahaja.. ^_^ )
*Keju itu tak kisahlah brand apa, banyak pilihan di pasaraya kita. Dan minyak sayur juga boleh digantikan dengan minyak masak atau marjerin.

p/s: Selamat menjamu selera di hari minggu.. Hari ini makan di rumah saja, esok baru mahu jalan-jalan cari makan.. ke mana ya..? : )
p/ss: Aku bukan tidak suka bicara tentang politik.. tapi aku belum cukup bijak. Harap maaf.

Monday, 8 December 2008

:: Sehari di hari raya..


6.15am: Di pagi yang hening, kedengaran lagu raya rancak berkumandang. Syahdu terasa mengenangkan hari raya yang disambut di perantauan. Pagi ini pagi raya. Selalunya waktu-waktu begini aku sudah bangun dan bersiap-siap. Maklumlah kalau menyambut raya di kampung, kena tunggu giliran pula untuk masuk ke bilik air, so kenalah bangun awal sedikit. : )
Tapi tahun ini memang sudah rezekiku untuk menyambut Aidiladha di kota Bangkok bersama suami dalam suasana yang sedikit berbeza..Masyarakat di sini kebanyakannya tidak tahu apa itu Aidiladha, kerana mereka sedang sibuk dengan persiapan Krismas yang bakal menjelang.. : )

6.45am: Aku sudah siap menyediakan bekalan untuk suamiku. Popia goreng berintikan sardin. Sangat simple. Walaupun hari ni raya, kerja tetap kerja. Mulanya dia ingin bercuti sahaja, tapi banyak pula hal urgent yang perlu dibereskan. Tak mengapa, petang nanti kita beraya.. Sempat jugalah kami bersalam-salaman sebagai tradisi lebaran.

7.45am: Tinggal aku seorang di rumah. Aku menelefon keluargaku dan juga mertua untuk berkongsi suasana meriah di pagi raya. Semalam pun dah bertanya khabar, pagi ini aku berbual lagi.. Mereka sedang bersiap-siap hendak ke masjid. Memang seronok berhari raya di kampung. Kali ini keluargaku pulang ke Mersing (kampung ibuku) kerana pada Aidilfitri yang lalu, cuma sambut di KL sahaja. Yang pastinya, suasana kampung lebih istimewa, dan lebih bermakna, kerana dapat berjumpa dengan ramai sanak saudara.

9.00am: Aku tak lupa menunaikan solat sunat Aidiladha. Usai solat aku mengemas rumah apa yang patut. Bukannya ada orang yang berjanji nak datang pun. Hehe.. Teman-temanku di sini, Kak Siti dan Izah juga sekadar menyambut raya di rumah masing-masing kerana suami mereka juga bekerja.

10.00am: Selepas breakfast, aku buka internet. Melihat video takbir raya di YouTube, membaca berita dan loading drama-drama raya yang ada dalam list Youtube ku itu. Leka menonton lakonan Rosyam Nor dalam drama Beras Kunyit di Pagi Syawal dan Takbir Sepi, sedar tak sedar hampir 3 jam juga aku di depan komputer.

1.30pm: Menelefon lagi ibuku bertanyakan menu apa yang mereka nikmati di rumah sanak saudara. Emm, ada nasi tomato, nasi impit, kuah kacang, rendang, sate, nasi lemak dan macam-macam lagi yang membuatku tiba-tiba terasa lapar. Namun, aku sekadar mengalas perut dengan biskut kerana petang nanti aku mahu memasak. Sementara itu aku keluarkan daging dan ayam dari peti ais untuk proses nyahbeku.

2.00pm: Sesudah solat Zuhur, mata rasa mengantuk lalu aku pun terlelap..(sempat juga tu..!) ; )

3.00pm: Bangun dan menyediakan menu untuk hidangan. Semalam sudah merancang untuk menyediakan nasi minyak berlauk (untuk mendapatkan feel raya kononnya)..
Aku pun mula memasak. Sambil-sambil itu, membelek juga buku resepi kerana ada juga antara menu itu aku pertama kali membuatnya. : )
So, inilah juadah rayaku kali ini..
-nasi minyak, kerutuk daging, ikan kerapu masam manis, ayam goreng madu dan acar mentah..
-air ; sirap jer.. ^_^
-biskut raya peninggalan Aildilfitri yang lalu dan sedikit buah-buahan.

5.00pm: Siap memasak aku cuma duduk-duduk saja melayan internet. Tak lama kemudian, suamiku dan abangnya pulang dari kerja. Maka makanlah kami bertiga sebagai meraikan Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran..
.......................................................................

Hari raya Aidiladha memberi seribu makna kepadaku. Sama-samalah kita mensyukuri nikmat dan rezeki yang dikurniakanNya kepada kita. Jika diperhatikan, banyak hikmah di sebalik ibadat korban yang dituntut dalam agama Islam ini. Selain dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, ibadat ini juga dapat mengeratkan silaturrahim, dan membuka ruang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. Segala yang baik kita kerjakan, sudah pasti mendapat balasan yang lebih baik dariNya..InsyaAllah..

Thursday, 27 November 2008

:: Lime Crush yg 'cool'..

Cuaca hari ini begitu panas ('raun mark mark' -bahasa Thai ^_^ ). Sebentar tadi aku keluar ke shopping mall yang berdekatan dengan rumahku, Imperial World atau lebih dikenali sebagai Big C. Selepas membeli sedikit barang keperluan di situ, aku langsung ke pasar yang berdekatan. Di sini ada menjual daging dan ayam yang halal untuk pengguna Muslim. Jadi, tak begitu sukar untuk aku mendapatkan bahan untuk memasak.

Menu yang terlintas di fikiranku hari ini berasaskan ketam kerana bila ku ingat-ingat, sudah lama aku tak merasanya. Aku cuma beli tiga ekor yang bersaiz besar. Cukuplah untuk kami bertiga makan. Setengah kilo harganya 120baht bersamaan lebih kurang RM12. Emm,boleh tahan mahalnya..Ketam jenis apa pun aku tak tahu, sepitnya berwarna kebiru-biruan. Janji ketam.Hehe..

Sampai di rumah, aduh, tak tertahan tekak menahan haus. Ku lihat dalam freezer, masih berbaki minuman aiskrim soda di dalam botol. Ku teguk sedikit. Selebihnya aku campurkan dengan bahan lain di bawah, dan 10 minit selepas itu, aku sudah siap sedia untuk menikmatinya bersama roti canai pisang+raisin yang ku beli tadi...Slurrpeeee...!

Lime Crush
1/2 biji limau nipis (jus)

1/4 biji lemon (jus)

250ml ais krim soda

Air gula secukup rasa

Ketulan ais

Cara membuatnya;
-Campur semua bahan ke dalam pengisar.
-Kisar dan hidangkan. Hias ikut kesukaan. ^_^

p/s: Gambar sekadar hiasan, tapi lebih kurang gitulah hasilnya.. ; ) Selamat mencuba..

Thursday, 20 November 2008

:: Sushi & me..


Aku tak tau kenapa aku sangat addicted pada sushi dan apa-apa sahaja yang seangkatan dengannya. Kalau keluar, nampak saja sushi, aku mesti beli. Kadangkala suamiku bising kerana dia risaukan aku akan sakit perut. Tetapi setakat ini aku yakin yang 'gila sushi' tak memudaratkan. Cuma adikku yang pernah sakit perut gara-gara sushi kerana mungkin dia termakan yang sudah tidak elok.

Macam-macam jenis, ada yang simple, ada yang menggunakan bahan mentah (aku kurang suka), tapi aku paling suka unagi. Sedap dan unik. Siapa-siapa yang tahu mem'bikin' sushi silalah beri tunjuk ajar padaku kerana aku kepingin nak membuatnya sendiri sesuai dengan seleraku. Setahuku bahannya tidak susah namun skill membuatnya yang sedikit remeh.

Aku kerap juga memborong sushi semenjak aku di Bangkok ni kerana harganya murah. 12 ketul baru 50baht. Lebih kurang RM5. Entahlah,tak tau sampai bila aku akan menjadi peminat setia menu dari Jepun ini. Hidupp sushi!! :p

Wednesday, 19 November 2008

:: Menu yang simple!

Saban hari memasak kadang-kadang aku kehabisan idea dalam memilih menu. Maka sekarang aku sibuk mencari himpunan resepi yang mudah-mudah, sedap, dan yang boleh menjimatkan masa untuk menyediakannya. Semalam, aku cuba satu menu baru. Salad daging ala Thai. Mudah ya puan-puan cara menyediakannya (hehe...)

Salad Daging ala Thai


Daging -(digaul dengan sedikit garam, kemudian dibakar)
2 biji bawang besar- (dihiris nipis-nipis)
1 batang serai -(dipotong halus)
Daun salad -(dihiris)
Kobis -(dihiris)
Timun -(dipotong kecil)
Tomato ceri/tomato biasa -(dipotong kecil)
Lobak merah -(dipotong kecil)
Sedikit daun ketumbar -(dihiris nipis)
Sedikit daun pudina (jika ada)
3 tangkai cili padi (dihiris)
1/2 cawan perahan limau nipis
3 sudu makan sos ikan
1 sudu makan sos cili pedas+manis
1/3 cawan gula pasir

Cara menyediakannya;
-Bakar daging di atas dapur atau di dalam oven. Setelah masak, hiris nipis-nipis.
-Semua bahan yang lain dicampurkan di dalam mangkuk.
-Masukkan daging bakar dan gaul rata.
-Sedia dihidangkan.
Sedap dimakan begitu sahaja atau boleh juga dihidangkan bersama nasi.

Satu lagi menu yang mudah, ikan rebus asam. Aku beli ikan kembung dalam kuantiti yang banyak, 10-15 ekor kerana setelah direbus ia boleh bertahan selama 1-2 minggu di dalam peti sejuk. Sedap sebagai penambah hidangan, dan juga menjimatkan masa. : )

Ikan Rebus Asam


10 ekor ikan kembung / beberapa potong ikan tongkol
4-5 keping asam keping
Sedikit lengkuas (dihiris)
Sedikit gula melaka
Garam secukup rasa

Cara menyediakannya;
-Ikan dibersihkan dan dipotong. (Jika ikan kembung, tak perlu dipotong)
-Rebus ikan bersama asam keping, sedikit lengkuas, sedikit gula melaka dan garam.
-Untuk merebus cuma masukkan sedikit sahaja air. Bila air rebusan kering dan ikan telah masak, biarkan ia sejuk.
-Kemudian ikan itu bolehlah di simpan di dalam bekas tertutup. Biarkan semalaman di dalam peti sejuk supaya rasa asam tadi meresap ke dalam isi ikan.
Ikan rebus ini sedap digoreng begitu sahaja bersama hirisan bawang dan cili kering, atau dimasak lemak cili api /sambal kicap. Rasanya unik, masam-masam manis

Dua menu ini sahaja sebagai info dariku buat hari ini. Mungkin tak seberapa kerana aku bukanlah pakar masakan. Moga-moga ada teman-temanku yang sudi mencuba resepi ini terutamanya mereka yang berkerjaya dan tak punya banyak masa di dapur. Selamat mencuba..!


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails