Showing posts with label bila mata melihat... Show all posts
Showing posts with label bila mata melihat... Show all posts

Tuesday, 20 November 2012

:: Tears of Gaza



I, too, have a dream ...
that one day Jews and Christians
will see me as I am:
a small child, lonely and afraid,
staring down the barrels of their big bazookas,
knowing I did nothing
to deserve their hatred. 

- The child poet of Gaza











Dear friends, let's do something..because something is better than nothing! 


EMERGENCY RELIEF AQSA SYARIF BERHAD 
Maybank Islamic 551575004299 / Bank Islam 12092010034904




Tuesday, 2 October 2012

:: Bekas pemain bolasepak kini terlantar sakit




Tubuh yang dulunya segar dan sihat, kini terlantar tidak berdaya. Ezmi Md Jan, adalah bekas pemain Selangor(1999) dan Perlis(2000), sebelum bermain untuk MPSJ dalam Liga FAM. Dua tahun sudah dia tidak lagi berupaya untuk bekerja lantaran menghidap penyakit kanser hidung yang kini sudah menjangkau tahap keempat. 


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Usai perubatan moden kini saudara Ezmi tidak lagi mampu  menelan ubat-ubatan yang setelah sekian lama masih tidak menampakkan kesan yang positif. Apakah ada sebarang perubatan alternatif untuk membantunya? Semoga Allah meringankan penyakit beliau, InsyaAllah.. 

Dengan sumbangan wang ringgit dan juga titipan doa yang ikhlas dapatlah kita para blogger semua membantu meringankan bebanan saudara Ezmi yang turut mempunyai sepasang cahaya mata berumur 10 dan 7 tahun. Bapa tunggal ini kini dijaga oleh ibunya di alamat :

 1332, Kg Sentosa, Batang Kali
Tel: 03-60571804

*Akaun Maybank: Siti Mariam Md Jan (adik Ezmi)
1620 7659 4008


Sebar-sebarkan berita ini. Terima kasih, sahabat.


Sunday, 27 December 2009

:: Bas terbabas; takziah buat semua mangsa..




Kelmarin aku menaiki bas seperti ini. Cuma destinasi perjalanan saja yang berbeza. Syukur aku masih diberi peluang untuk menghirup nafas sehingga ke saat ini. Takziah serta titipan doa buat mereka yang terlibat dalam nahas ngeri yang mengorbankan 10 nyawa di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi semalam.

Petikan dari sumber berita;

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa, pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum berlaku kemalangan.

“Bas dipandu dalam keadaan tidak stabil, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian,” dakwanya.

Apapun, aku pasti semua penumpang pengangkutan awam seperti ini telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemandu yang diamanahkan untuk menakhoda perjalanan mereka ke destinasi yang dihajati. Tetapi dek kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dengan panduan keselamatan yang telah digariskan, maka tragedi seperti ini berlaku dan terus berlaku.

Yang menjadi mangsa, para penumpang. Kepulangan yang dinanti keluarga tersayang, cuma disambut dengan air mata penuh duka, melihat jasad yang telah kaku tidak bernyawa.

Mungkin sehari dua lagi perkara ini akan lenyap dari ingatan kita semua. Namun buat keluarga mangsa yang terlibat, ia akan menjadi noktah hitam dalam hidup mereka. Buat semua pengusaha pengangkutan awam, terutamanya pemandu yang menjadi tonggak utama, jadikanlah nahas ini sebagai iktibar. Yang dipegang erat dalam hati..

Thursday, 13 August 2009

:: Hilangnya Sebutir Permata Rabbani..


KUALA LUMPUR: Penyanyi utama kumpulan nasyid terkenal Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.

Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan pada sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira 10.30 pagi.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39.

:: Sumber; Harian Metro Online, Jumaat 14 Ogos 2009

-Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman, dah dilimpahkan rahmat olehNya.. Aminn..

Pemergiannya meninggalkan naskhah karya yang mencerminkan dakwah serta perjuangannya dalam arena nasyid, yang pasti akan dikenang dan terus dihargai oleh kita semua.. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Asri. Moga tabah menghadapi kehilangan ini...

Tuesday, 17 February 2009

:: Sayangkan rumah, hias-hiaskan..

Emm, sembang santai saja hari ini.. Kebelakangan ini aku cukup suka membincangkan hal rumah. Sedih ada, gembira pun ada. Sedih kerana kurang sebulan dari sekarang, kami akan berpindah meninggalkan kediaman ini. Setahun masa berlalu, cukup untuk membuatkan perasaan sayang itu bertunas, tapi mengenangkan kehidupan baru di negara sendiri, timbul semangat baru.

Kami berkira-kira mahu menyewa dahulu di KL sementara mendapatkan rumah sendiri. Alhamdulillah, sudah bertemu unit kosong untuk tujuan ini, dan kawasannya juga bagus, banyak kemudahan. Duduk berdua, ruang yang terhad tidak menjadi masalah. Yang lebih kufikir, tema untuk interior, dan bagaimana mahu menghias rumah dengan kos yang sederhana.

Idea.., masih dalam stage yang sepatutnya. Benda yang tak nampak di depan mata, rupanya sukar juga untuk dizahirkan di kertas lakaran. Sedang mencari sumber-sumber yang berkaitan dengan hiasan dalaman, aku teringat pada email yang membuatku tersenyum sendirian..

Macam dalam filem Hindi dari pandangan depan... ^_^

Bila kita lihat dari perspektif yang berbeza...

Jatuh hati dengan plasma TV..

Tapi, jangan terkejut.. Ada udang di sebalik batu!

p/s: Manusia memang kreatif.. kan..? ;D

Tuesday, 10 February 2009

:: Upin,Ipin & Geng - Pengembaraan Bermula..!

Geng: Pengembaraan Bermula... Bangga dengan hasil terbaru Les’ Copaque Production yang satu ini. Selepas berjaya menghasilkan siri-siri pendek dengan sentuhan yang cemerlang, kini mereka mengorak langkah berani dengan menghasilkan filem animasi yang juga menggunakan watak yang sama; si kecil Upin dan Ipin serta rakan-rakan mereka.


Aku dah lama mengikuti aksi dan telatah si kembar berdua ini semenjak siri-siri mereka bersiaran di kaca TV tidak lama dulu.. begitu menghiburkan. Banyak tauladan yang dapat dicontohi oleh kanak-kanak di Malaysia. Budaya berbilang kaum berkumpul dalam suasana harmoni, juga nasihat-nasihat yang berguna disampaikan dengan cara yang dekat sekali dengan jiwa kanak-kanak. Kita yang dewasa ini pun turut leka dengan dunia warna warni mereka.

Filem animasi ini bakal menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada 12 Februari 2009. Kurang dua hari lagi, anda semua dapat menyaksikannya.. Aku..? Hmm, tak pasti samada aku sempat atau tidak menjengah ke pawagam untuk filem ini bila tiba di Malaysia Mac nanti. Apapun yang pasti, aku ingin memiliki cetakan DVDnya yang original. ^_^



Bermodalkan sekitar RM4 juta bagi kos pembikinan, filem ini turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pelancongan Malaysia dan lain-lain.

Dilancarkan pada 11 September 2007, penerbitan filem ini bermula selepas LCP ditubuhkan pada Disember 2005. Mereka juga terlebih dahulu memperuntukkan masa selama lapan bulan untuk penyelidikan berkaitan animasi dunia. Tak mustahil hasilnya begitu kemas dan berkualiti.

Harapan kita agar usaha mereka ini mampu memartabatkan industri perfileman animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa. Secara tak langsung juga, ia akan memberi semangat kepada lebih ramai lagi peminat aliran ini di negara kita untuk cuba bereksperimentasi dengan karya masing-masing. Syabas buat LCP, teruskan misi anda dengan lebih banyak produk-produk baru di masa hadapan.

p/s: Comel sangat Upin dan Ipin.. Tersenyum dan ketawa aku melihat keletah mereka di YouTube.. hehe

Monday, 2 February 2009

:: Kereta dan Kita

Kereta. Tak dapat dinafikan ia merupakan salah satu dari nadi penggerak kehidupan. Dengannya kita mampu untuk sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu risau akan ketinggalan bas, tak perlu bersesak menaiki keretapi dan sebagainya. Alhamdulillah, kerana akal fikiran yang dikurniakan Tuhan kepada manusia membolehkan terhasilnya ciptaan sebegini.

Ada yang kecil, ada yang besar. Sesetengahnya kelihatan cute, dan ada juga yang tampak gagah dan berani. Apapun ada yang mengatakan, sesebuah kereta itu ibarat cerminan personaliti pemiliknya. Mungkin ada benarnya di situ. Dalam menghias kereta, pemilihan accessories yang terlalu sarat bukanlah sesuatu yang aku gemari kerana mungkin sahaja aku seorang yang ringkas. Juga pengubahsuaian yang terlampau ekstrim. Tapi atas dasar minat individu serta kesesuaian jenis kereta, pemilik bengkel atau kedai peralatan seperti ini tidak perlu risau. Pelanggan yang berminat untuk modify sana-sini, masih ramai di luar sana.

Bila sudah bekerjaya, rata-rata orang akan mula memasang impian; diam-diam mahu memiliki rumah dan kereta. Lihat, betapa pentingnya ia pada kehidupan kita seharian. Budak kecil pun sudah pandai berangan..

"Tengok, ni kereta baru kita. Papa kita belikan. Best.. pintu dia boleh terangkat ke atas.."

Mereka memang bijak. Bijak mentafsir yang kereta adalah sesuatu yang bernilai, sesuatu yang istimewa, walaupun di depan mereka itu, cuma sebuah kereta mainan. ^_^

Kereta impian?
Tepuk dada tanya selera. Selalunya kita bersandar pada kemampuan kewangan sebagai garis panduan utama. Yang sesuai untuk diriku ini, cukup saja yang sedang-sedang saiznya. Peruntukan bulanan untuknya juga harus sederhana kerana banyak lagi keperluan lain yang perlu diutamakan. Walaupun Lancer GT dan Honda City baru itu menawan hati, ianya masih jauh lagi dari jangkauanku. (Tersenyum; menambah stok angan-angan..)

(Gambar hiasan)- Cara parking yang 'tepat'.

Emm, macam-macam gelagat manusia bila kita sentuh tentang kereta dan aspek memandu. Boleh jadi kita akan melihatnya dari perspektif yang berbeza.. Yang sopan dan berhemah, tabik kepada mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang...

*Lupa daratan
Ghairah memecut, lupa segala-galanya. Terlampau taksub dengan kemampuan dan kehebatan kereta yang dimiliki. Dialah jaguh di jalan raya. Had laju yang ditetapkan langsung tidak dihiraukan. Saman? Oh, bayar saja, habis cerita..

Bila sudah terbabas dan terbaring di katil hospital, barulah mereka sedar yang perbuatan ini hanya sia-sia belaka. Malang tidak berbau.., Biar lambat asal selamat; begitulah antara pesanan yang sering dicanangkan.

*Panas baran
Kerana kereta orang bermusuhan.. Bukan kita tak pernah dengar atau lihat, adegan maki hamun yang kadangkala berlanjutan sehingga timbul aksi tumbuk menumbuk. Selalunya perselisihan faham ini terjadi akibat perlanggaran, atau kes potong memotong yang menimbulkan perasaan tidak puas hati pada sebelah pihak.

Sebagai wanita memang aku sedikit gerun dengan hal semacam ini. Lebih baik ia dibawa berunding dengan cara baik kerana ia akan lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak. Jika ada yang tidak mahu bertolak ansur, ke balai polis saja untuk menyelesaikannya.

....Yang selain dari itu, tak mengapalah.. Cuma dua ini saja ingin aku tekankan di sini kerana ia saban kali mendatangkan kesusahan dan kesakitan (mental & fizikal).

Adatlah manusia, ada angin pasang surutnya. Aku sendiri ketika memandu kadang-kadang membentak dalam hati kerana tidak puas hati akan sesuatu. Tetapi kerana memikirkan keselamatan dan juga ketenangan seisi kereta, apa salahnya kita berlatih untuk memupuk sikap sabar dan prihatin dalam diri. Perjalanan selamat, hati pun gembira. InsyaAllah.. ^_^

Sunday, 1 February 2009

:: Mahu buat macam-macam..

Mood sudah bertukar. Pada asalnya aku tidak mahu memikirkan sangat tentang layout, template, mahupun header blog yang berisikan imej panorama di pantai itu. Kerana aku sudah cukup suka dengan gambar tersebut. Dan aku juga seakan sudah puas hati dengan penampilan yang biasa-biasa saja.

Tapi baru-baru ini aku rasa bersemangat pula untuk mengubah sesuatu. Susun atur elemen-elemen dalam rumahku ini sepertinya perlu diubah. Juga imej dalam header yang aku edit dalam keadaan tergesa-gesa tempoh hari.

Kalau boleh, biarlah blog ini kelihatan lebih baik dari apa yang ada sekarang. Aku tidak meletak harapan terlalu tinggi kerana aku bukan seorang yang hebat dalam olahan seni.. ^_^ So, tunggu masa saja. Ada kelapangan, aku akan jalankan misiku ini.. Chaiyok²!

p/s: Oh, ya.. Aku baru upload satu gambar di flickr.com. :p Dan selepas ini banyak lagi yang akan menyusul. Pada mulanya mahu dimuatkan dalam photoblog, tapi kerana kesuntukan waktu, aku mulakan dengan yang ini dahulu. Sekian buat tatapan semua, salam dari Nadine Zuharra..

Tuesday, 27 January 2009

:: Anak itik Tok Wi.. jatuh dalam longkang~

Kasihan pada si ibu itik.. anak-anaknya jatuh ke dalam longkang. Harapnya adalah manusia budiman membantu menyelamatkan anak-anaknya.. (Atau.. semuanya sudah terhanyut dibawa arus dalam ruang sempit itu..?)
Ibu itik tak mampu bersuara.. cuma mampu memandang sayu..

*Simpati*
Melihat itik-itik ini, terlintas pula nostalgia di zaman kanak-kanak. Aku jumpa lagu ini di YouTube. Lalu hati pun terbuai..

anak itik Tok Wi
mandi dalam kolam
buat apa Tok Wi
ubat limau lelam

sakit apa Tok Wi?
sakit sendi tulang
ubat apa Tok Wi
ubat sengal tulang

dalam paya orang berakit
buluh layu patah sebatang
dalam dada terasa sakit
sakit rindu abang seorang

letak dulang berhias tepi
bunga perca rebah bertindih
dengar abang adik menyanyi
lagu resah orang berkasih

harap-harap tumbuhnya padi
tapi lalang tumbuh sebendang
harap-harap kasih menjadi
sampai masa tinggal seorang

kalau padi katakan padi
jangan hampa tertampi-tampi
kalau sudi katakan sudi
jangan kita ternanti-nanti

Friday, 23 January 2009

:: Dilema bersuamikan seorang doktor..

Pasti ada di antara kalian yang terbayangkan jejaka bercermin mata segak berseragam putih berdiri di tepi katil sambil mencatat sesuatu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Dan yang terbaring di katil itu memandang dengan penuh harapan.

Itu mungkin personaliti seorang doktor yang dapat kita lihat di kaca TV.. contohnya dalam siri House; yang amat aku minati. Tapi realitinya, ada juga yang tidak berperwatakan menarik, sekadar cukup-cukup makan sahaja hinggakan ada kata yang terpacul dari mulut kita.. "Dia itu doktorkah? Wajah serupa orang sakit.." : ) Hmm, sudah lumrah dunia, tiada apa yang sempurna.

Kalau bersuamikan seorang doktor sejati, memanglah bahagia. Sakit pening ada si dia boleh tolong ubatkan..
Tapi ceritaku di sini kali ini, bukanlah dunia anganan para wanita, tapi mungkin sesuatu yang menyedihkan, dan tak semua dapat menyelami dunia mereka.. Suami mereka sangat asyik dalam kerjaya yang satu ini.. sesat dalam terang, begitulah yang terjadi.. Dilema isteri seorang penagih dadah! 'Doktor' yang mengheret diri sendiri ke lembah kegelapan..


Kes 1
Seawal perkahwinan, semuanya manis belaka. Temberang di depan mata ditelan bulat-bulat. Selepas beberapa tahun, A akhirnya dapat menghidu yang suaminya itu terlibat dalam gejala dadah. Sabar dan tetap sabar, 3 orang anak menjadi bukti mereka masih lagi punya bahagia. Tapi makin lama dibiarkan keadaan makin parah.

Suatu hari, A pulang ke kampung merajuk hati. Anak yang ditinggal di rumah lantas menelefon mengadu. Ayah bawa kawan-kawan berkumpul dalam bilik. Nampak asap di sebalik pintu, serta terjumpa puntung rokok dan jarum suntikan di atas lantai bila semua mereka telah pergi.

Oh, apakah nasibku..? Ingatkan suami mahu memujuk, rupanya makin bermaharaja lela.. Adakah dia tak mampu lagi berfikir dengan waras? Bagaimana dengan anak-anak? Nak membuat laporan polis hati serba salah, ditambah pula sekelumit rasa sayang yang masih tertanam di jiwa. A berdialog sendirian..

Maka A sanggup bersusah payah. Ke sana ke mari mencari sesuap rezeki untuk anak-anak setelah suami tidak lagi punya hati. Menyimpan rasa derita dan kecewa. Cemburu melihat orang lain yang bahagia berkeluarga. Mengapa nasibnya tidak seperti mereka..?

Dan lelaki itu masih lagi terus mengganggu atas alasan dia punya hak. Dia seorang suami, dia bapa kepada anak-anak. Tapi di manakah tanggungjawabnya?? A selalu menjerit dan memberontak, tapi ianya sekadar bergema dari dalam hati.. Dia takut untuk membuat keputusan;

Berpisah?
...Itu bermakna dia akan menjadi janda.. Dia tahu, itu bukan satu keputusan yang mudah. Masa depannya kabur. Dia merasakan dia tak mampu memikul semua tanggungjawab itu seorang diri..
Anak-anak? Walaupun yang sulung sudah mengerti akan penderitaan ibunya tapi yang masih kecil pula bagaimana..? Malam-malam mahu tidur sering tercari-cari ayahnya. Kerana si suami tetap seorang ayah yang penyayang. Mesra dengan anak-anak. Walaupun kadangkala amanah itu diperlekehkan.

A masih buntu mencari jawapan..

Kes 2
B sebelum berkahwin lagi sudah tahu yang suaminya telah terjebak dalam gejala yang tak bermoral ini. Tak sangka dia akhirnya ikut sama terpengaruh. Mereka berdua tenggelam dalam dunia khayal yang mengasyikkan.. dan apa yang lebih teruk, kediaman mereka turut dijadikan markas untuk teman-teman seangkatan berkumpul dan menikmati segala jenis dadah..

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pada suatu malam, mereka terperangkap dalam serbuan oleh pihak polis. B dan suaminya terpisah, masing-masing disumbatkan ke pusat serenti berasingan bagi proses pemulihan.

Kini, B sudah insaf. Dalam hatinya masih berharap, agar dia dan suaminya dapat membina hidup baru selepas keluar dari pusat pemulihan. Moga suaminya telah berubah, dan tidak kembali lagi ke lembah hitam itu.

Kes 3
Saudara mara sudah banyak menabur kata. Ibu bapa juga jenuh menasihati. Berpisah jalan terbaik. Tapi rasa cinta mengatasi segala-galanya. C tidak mahu meninggalkan si suami yang amat disayangi. Biarlah dia hisap dadah, biarlah dia ketagih syabu.. dia sedikitpun tak mengganggu kehidupan kalian.. C menolak kata mereka mentah-mentah.
Cinta itu buta, memang ada benarnya. Mungkin satu hari nanti dia akan berubah, harapnya bertahun-tahun sudah.

Satu hari, C berjumpa doktor setelah mengatur temujanji. Kebelakangan ini, dia sering berasa tidak sihat. Banyak ubat telah ditelan, namun badannya masih lemah. Tiba di sana, doktor menyusun bicara..

"Hasil pemeriksaan darah, maaf, saya harap puan bersabar."

"Mengapa?" C masih keliru.

"Puan disyaki HIV positif. Tapi sebelum apa-apa, kami mahu tahu sejarah puan. Mungkin dari situ kami dapat menentukan bagaimana puan boleh dijangkiti.."

"Tak mungkin.. tak mungkin Doktor.." jawab C sambil terketar-ketar..

"Kami boleh jalankan pemeriksaan kali kedua. Untuk lebih kepastian."

C sepertinya mahu pengsan di situ.

Suaminya ada berkata dia tak berkongsi jarum suntikan. Lagi pula dia tidak pernah terserempak lelaki itu berpeleseran bersama teman-teman 'gelap'nya. Tapi itu apa yang ada dalam pemerhatiannya. Yang dia tidak tahu..? Dan tidak nampak..?

Nasi sudah menjadi bubur, menangis air mata darah sekalipun tidak lagi berguna. Warna kehidupan menjadi pudar, dan C tidak mampu menyalahkan takdir. Dia yang silap kerana terlalu percayakan suami.

.............................................................................

Terdapat kira-kira sejuta penagih dadah dalam negara kita. Sebahagian besar darinya mungkin saja sudah berkeluarga dan punya anak-anak yang mengharapkan jagaan. Jadi, tak mustahil kes-kes di atas juga turut melibatkan pasangan-pasangan lain. Tidakkah ia menjejaskan institusi kekeluargaan yang selama ini kita anggap penting..?

Apa yang harus dilakukan oleh para isteri ini? Atau para suami, yang mana pasangan mereka terjebak dalam penagihan dadah. Patutkah mereka berundur.. ataupun tetap setia memberi sokongan dengan harapan teman hidup mereka itu akan berubah..?

Yang kita takuti, terjadi pengakhiran seperti kes C. Sebuah pengorbanan yang sia-sia... Fikir-fikirkanlah..

p/s: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta setahun bagi menyelenggara dan mengendali pusat-pusat pemulihan dadah di seluruh negara. Rm 300 juta.

Thursday, 15 January 2009

:: Memori Bukit Tinggi..

Tercapai juga hajatku nak melawat destinasi yang satu ini. Walaupun perancangan pada mulanya hampir tak menjadi, namun pagi 31 Disember yang lalu kami benar-benar ada kelapangan, dan aku, suami serta tiga orang adikku berpeluang menghabiskan sedikit masa bersantai menikmati panorama yang menarik dan memukau di Bukit Tinggi ini. Aku titipkan serba sedikit catatan kenangan yang masih segar dalam ingatan..

7.30am: Menyiapkan sedikit bekalan untuk dibawa bersama. Kononnya hendak picnic sambil menghirup udara segar di pinggir bukit. Menu yang mudah-mudah saja; spaghetti with sauce, egg & tuna sandwich serta sedikit makanan ringan.

9.00am: Semua telah bersiap lalu kami memulakan perjalanan. Dari Plaza Tol Gombak, kami memasuki Lebuhraya Karak. Sambil berbual, mata leka menikmati keindahan alam sekeliling.

9.40am: Oh, sudah sampai kami di Bukit Tinggi.. terasa perjalanan begitu sekejap, lebih kurang 40 minit saja dari KL. Cuaca di tanah tinggi ini terasa dingin dan nyaman. Kami terus menuju ke main entrance pusat peranginan Berjaya Hills . Bayaran masuk yang dikenakan RM10 bagi dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. (Kalau percuma, sudah pasti ia menarik lebih ramai pengunjung.)

9.50am: Kini kami berada di kawasan Colmar Tropicale. Mengambil inspirasi dari Colmar Village yang terletak di Alsace, Perancis, binaan-binaan klasik bangunan (yang turut dijadikan hotel penginapan) di sini membuatkan kami berasa seperti berada di luar negara.. sungguh menarik dan mempersonakan.

Kami banyak menghabiskan masa di Colmar Square, berjalan santai sambil menyusuri keunikan setiap bangunan yang mengelilingi kawasan ini. Terdapat juga Clock Tower, kolam buatan yang mengelilingi kastil (habitat angsa-angsa jinak), dan pelbagai lagi elemen-elemen yang memikat hati. Emm, sedar tak sedar, hampir dua jam juga kami berjalan.

12:00pm: Bermain dengan arnab di The Rabbit Park. Kami tiba di sini dengan menaiki shuttle truck yang disediakan khas untuk membawa para pelancong menjelajah kawasan sekitar. Selain arnab-arnab yang comel, terdapat juga keldai dan juga rusa. Tak lama kami di sini, kerana adikku yang bongsu memberi isyarat perutnya sudah berbunyi. Kasihan, kerana dia tak sempat bersarapan sebelum bertolak dari rumah tadi lalu kami kembali semula ke Colmar Tropicale.

12:45pm: Pusing-pusing sebentar di Colmar Tropicale. Nampaknya tiada tempat yang sesuai untuk kami berehat sambil menjamah makanan. Selepas mengambil kereta di parking, kami bergerak menuju ke satu lagi kawasan tarikan pengunjung, Japanese Village. Jaraknya cuma 5 minit jauhnya dari Colmar Tropicale.

Setibanya di kawasan letak kereta Japanese Village, kami berjaya mencari port yang sesuai. Juga tiada kemudahan bangku dan meja di sini, lalu kami mengambil alternatif lain dengan membentang tikar sebagai alas duduk. Kemudian aktiviti makan pun bermula dengan jayanya.^_^.

1:20pm: Berjalan kaki mendaki cerun yang sedikit curam untuk sampai ke Japanese Garden Village. Hutan rimba di tebing bukit menemani kami sepanjang pendakian yang sedikit meletihkan. Maklumlah, perut sudah kenyang, langkah pun jadi semakin perlahan.

1:30pm: Irasshaimase..!(Welcome) ^_^

Japanese Garden seolah-olah menyambut kami dengan senyuman. Aku akui, keunikan budaya Jepun terlihat jelas dalam senibina lanskap tamannya yang cantik dan terancang .

Di taman ini, kami berpeluang memberi makan kepada ikan-ikan koi yang bebas berenang di dalam kolam yang berair jernih. Tidak jauh dari kolam, terdapat Japanese Tea House, di mana pengunjung boleh menyewa kimono sekiranya mahu ikut serta dalam upacara minum teh yang menjadi tradisi masyarakat Jepun.

2.30pm: Sesudah puas mengelilingi Japanese Garden, kami singgah sebentar di Botanical Garden yang terletak bersebelahan dengannya. Aku jatuh cinta dengan kehijauan flora yang menghiasi taman ini. Sejuk mata memandang..

3:00pm: Botanical Garden menjadi perhentian terakhir kami. Petang itu, kami sudah ada agenda lain, maka setakat ini saja kunjungan kami pada hari ini. Pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang gembira walaupun cuma sekejap masa yang dapat diluangkan di sini. Ada rezeki, kami akan kembali lagi di masa akan datang.. InsyaAllah..

p/s: Bukit Tinggi dah berjaya didaki, tapi bila pula nak merasa manisnya strawberry di Cameron Highland? ^_^

:: Batman & Superman

Emm, sebenarnya hari ini aku bercadang nak berkongsi serba sedikit kenangan manisku di Bukit Tinggi, salah satu destinasi yang sempat dilawati semasa cuti tempoh hari. Namun hasrat terbantut kerana siang tadi, line internet bermasalah pula. Oh, ada satu lagi yang hampir aku terlupa, tag dari teman yang sudah agak lama belum berjawab. Esok ya Mien. Promise. Hehe..

Sudah lewat malam, aku tinggalkan kisah ini sahaja.. Tadi muncul dalam kotak emailku. Lucu. Tapi dalam hati, terdetik juga rasa kasihan.. :p

Location: Airport security

Customs Official : "May I know your name?"

Arriving passenger : "Batman"

Customs Official : "What's your name!?"

Passenger : "My name is Bat-man"

Customs Official : "Trying to be funny!? What's your surname?"

Passenger : "Super-man"

Customs Official : "So you 're telling me your name is Batman Superman?"

Passenger : "Yes"

Customs Official : "Arrest the guy... "

When they had him in custody, he was asked to show identification;


p/s: (^_^) Tak pasti ia benar atau sekadar helah dari proses editing, tapi moral dari kisah ini; kepada para ibubapa sekalian, hadiahkanlah nama yang indah dan membawa maksud yang baik kepada anak-anak kita. Selain manis untuk disebut, maknanya juga seakan menjadi cerminan keperibadian mereka di masa hadapan.. InsyaAllah~
*maaf ya En. Batman (kalau anda terbaca blog ini), jangan marah dengan publisiti di atas. :p

Wednesday, 24 December 2008

:: Siapa dia Muntadar al-Zeidi..?

Isu ini memang hangat. Masih tetap hangat walaupun sudah lebih seminggu ia berlalu. Muntadar al-Zeidi. Bukan calang-calang nama yang disebut ini. Beliau disanjung tinggi dan terkenal di pelusuk dunia.

Merupakan salah seorang wartawan bagi saluran televisyen Iraq, apa yang membuatkannya layak diangkat menjadi wira, cumalah berpunca dari sepasang kasut; cenderamata penghargaan yang dibalingnya ke arah Bush, seorang yang punya nama tetapi ramai yang benci untuk menyebutnya.

Kejadian ini berlaku ketika sidang media Bush bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki; (pemimpin boneka yang sangat menyayangi Bush kerana terlihat cuba menangkap kasut-kasut yang dibaling agar tidak terkena pada teman baiknya itu. Kemudiannya pula, memberi arahan agar Muntadar segera ditangkap dan ditahan).

Bush masih sempat bergurau: “Ia (kasut) bersaiz 10.” Ahh, angkuhnya dia menyembunyikan malu dalam dada.. sedangkan semua orang dapat menyaksikan wajahnya yang pucat dan seolah-olah tidak percaya akan situasi yang dihadapinya ketika itu.

Apapun spekulasi yang timbul selepas itu, Muntadar al-Zeidi tetap tersenyum puas. Ramai yang bertepuk tangan bersama-samanya sebagai tanda berpuas hati dengan pengakhiran tahun 2008 ini. Pengakhiran yang menyakitkan.. bagi Bush.

Seperti firman-Nya di dalam al Quran:

"...orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin.. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.."
(Q.S. An Nisa': 139)

Monday, 22 December 2008

:: Ku lari ke pantai kemudian menyanyiku..

Ku lari ke hutan kemudian teriakku
Ku lari ke pantai kemudian menyanyiku
Sepi... sepi..dan sendiri aku benci
Aku mau bingar... aku mau di pasar
Bosan aku dengan penat
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika kusendiri...
... Pecahkan saja gelasnya biar ramai...
Biar mengaduh sampai gaduh...
Aih... ada malaikat menyulam
Jaring laba laba belang di tembok
Keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja...
Loncengnya...
Biar terdera
Atau aku harus lari ke pantai
Belok ke hutan...

Hujung minggu yang lalu aku bercuti ke pantai. Langit dan laut.. indah dan mendamaikan...
Harapanku, untuk mengumpulkan semua gambar-gambar pemandangan yang selama ini menjadi kesayanganku untuk aku muatkan dalam sebuah photo blog. Gembira untuk berkongsi bersama kalian.. InsyaAllah..

..Puisi Rangga (filem Ada Apa Dengan Cinta)..

Friday, 19 December 2008

:: I'm waiting for the Rise of the Lycans..

Lewat malam tadi aku menonton kembali Underworld I dan II. Sekuel ketiga, Rise of the Lycans pula akan menjengah di pawagam bulan Januari nanti. Semestinya antara filem yang aku nanti-nantikan. Senarai 'menunggu' yang lain;

The Day the Earth Stood Still (Dec) -sudah ditayangkan..
Seven Pounds (Dec) -sudah ditayangkan..
Bedtime Stories (Dec) -Adam Sandler yang lucu!
Revolutionary Road (Dec) -Leonardo & Kate jatuh cinta lagi..
The Curious Case of Benjamin Button (Dec) -ada apa dengan Brad Pitt?
Bride's War (Jan) -komedi romantik..
Friday the 13th (Feb) -takut tak..?
A Perfect Getaway (March) -? layan aje..
X-Men Origins: Wolverine (May) -aku peminat setiamu.. :p
Terminator Salvation (June) -tiada lagi Arnold Schwarzenegger..
Fast & Furious 4 (June) -mm, Vin Diesel pun nak cuba drift?
Ice Age: Dawn of the Dinosaurs (July) -comell!
Harry Potter and the Half-Blood Prince (July) -entahlah.., perlu refresh memori episod-episod yang terdahulu..

Jika mencari judul filem untuk di download, aku senang berkunjung ke laman Internet Movie Database. Pelbagai informasi terkini dan ada juga sinopsis serta ulasan bagi setiap filem. Emm, apa lagi ya cara untuk muat turun yang lebih pantas? Kini aku cuma menggunakan LimeWire.. Maaf ya, jika kelihatannya seperti aku menyokong pula aktiviti cetak rompak.. (dalam hati, "sayanglah duit nak beli yang original..hehe") ^_^

p/s: Suka menonton filem aksi/thriller di pawagam, lebih puas.

:: diet Coke + mentos = B.A.H.A.Y.A !

Melihatkan video di atas, pasti kita rasa gerun membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kita minum Diet Coke (atau lain-lain minuman bergas) bersama-sama dengan Mentos..? Bahaya atau tidak..? Boleh dapatkan jawapannya di http://eepybird.com/science.html...

Namun, terdapat berita dari luar negara yang menyatakan beberapa orang kanak-kanak telah menemui ajal akibat mengambil minuman Coke sambil menelan Mentos. Emm, mungkin kesannya kepada kanak-kanak lebih teruk berbanding kita orang dewasa. Kasihan pada mereka yang malang..

p/s: Mahu cuba eksperimen ini boleh, tapi jangan pula berani mempertaruhkan perut anda! : )

Wednesday, 17 December 2008

:: "Siapa tak jatuh cinta pada malam?"



"Siapa tak jatuh cinta pada malam?" tanyamu;

"Aku," jawabku. Sebab aku Matahari. "


p/s: Imej adalah pemandangan yang terakam dari balkoni rumahku seawal pagi. Aku leka menyaksikan hadirnya sang Matahari mewarnai alam. Tak lupa memuji kebesaranNya yang menciptakan langit itu sangat indah. Subhanallah..

:: credits to Eka Budianta ; puisi-indonesia.org

Thursday, 11 December 2008

:: Menjala ikan di jalan raya..?


Banyakkah ikan yang boleh dijala di sini..? Emm, kalau bernasib baik...

Tak pasti ia realiti atau sekadar mainan fotografi, namun imej ini mengingatkan aku tentang suasana banjir di Pantai Timur negara kita. Apa khabar orang-orang di sana..? Moga-moga banjir sudah surut, dan memberi kelegaan pada semua..Bencana alam memang bukan kuasa kita yang menentukan..ia adalah salah satu ujian dariNya. Sesungguhnya bumi ini pinjaman semata-mata dan sebagai manusia kita perlu akur, bukannya angkuh membangga diri..

Dari menuding jari menyalahkan sesiapa, lebih wajar jika kita bersabar, dan cuba berfikir dari sudut yang positif. Berilah sokongan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam mencuba pelbagai alternatif lain agar kesan banjir yang melanda di masa hadapan tidak seburuk yang kita alami kini. Kita manusia di anugerahkan akal yang bisa berfikir dan satu hari nanti, pasti ada idea-idea yang mampu meminimumkan kerugian dan derita akibat masalah banjir ini. InsyaAllah..

p/s: Imej diambil dari salah satu laman Fotopages kegemaranku, sirloinskipper.fotopages.com..banyak entry menarik di dalamnya--

Tuesday, 2 December 2008

:: the smiling Moon..

Cantik kan bulan malam ini..seolah-olah tersenyum di apit Musytari dan Kejora. Ketiga-tiganya berhimpun di dalam kawasan yang sama dan membentuk sebuah segitiga. Di Malaysia bulan kelihatan seperti ini, juga pemandangan yang serupa dapat dilihat oleh kami di Bangkok. Bukankah bumi cuma dikelilingi oleh bulan yang sama..? ; )

Walaupun ketiga-tiga objek ini dilihat seolah-olah hampir antara satu sama lain, tetapi dari segi hakikatnya tidak. Cahaya dari Bulan mengambil masa 1.3 saat untuk sampai ke mata kita. Cahaya dari Kejora (objek sebelah kiri) pula mengambil masa lebih kurang 8 minit untuk sampai ke bumi..manakala Musytari yang dilihat itu ialah keadaannya 48 minit terdahulu..

Subhanallah..memang indah langit dihiasi bulan, ditaburi bintang di malam hari..dan tak selalu kita dapat melihat pemandangan seperti ini. Syukurlah, kita diberi kesempatan olehNya..

credits to mr.shah@ falak-online.net & sodazaa.com for the info & images

Saturday, 29 November 2008

:: love | Vampire?

Cerita cinta remaja. Begitulah yang aku dapat simpulkan dari imej yang tertera. Ada yang mengatakan tak sabar-sabar nak menonton movie ini di pawagam. Namun begitu, terselit juga komen-komen negatif yang dikeluarkan oleh pengulas filem yang dah melihat dan menilai cerita ini. Emm, yang pastinya esok aku bercadang mahu menontonnya. Tak kisahlah sama ada menarik atau sebaliknya, tapi aku memang suka cerita yang ada vampire..hehe. Dulu aku berulang kali menonton filem Interview With The Vampire lakonan mantap Brad Pitt dan Tom Cruise. Juga filem Underworld, Van Helsing, Blade serta beberapa filem lain yang aku tak ingat judulnya. Namun begitu tidaklah sampai terlalu teruja dengan perkara yang tak masuk akal ini. Sekadar lakonan yang jalan ceritanya direka oleh mereka yang suka berimaginasi. Mana ada manusia yang menjadikan darah sebagai makanan untuk hidup. Manusia 'cekik darah' adalah.. : )

Yang sebenarnya minggu lepas aku dan temanku di sini, Kak Siti sudah merancang Ahad ini mahu ke Safari World, Bangkok bersama seisi keluarga. Safari World tempat di mana pengunjung dapat menyaksikan haiwan liar hidup dalam persekitaran yang terbuka dan bebas. Terdapat juga pertunjukan haiwan laut, western cowboy stunt, orang utan ber'boxing' dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Namun, yang dirancang tak menjadi kerana keadaan tak mengizinkan. Mungkin kami tangguhkan dulu trip ini ke masa yang lain bila mana semua kekecohan di kota ini kembali reda. Keselamatan diri yang paling utama, so cukuplah jalan-jalan cari makan di kawasan yang berdekatan sahaja. : )

Okey, setakat ini sahaja coretanku untuk minggu ini, kita jumpa lagi di minggu hadapan. Salam buat semua, have a nice day! ^_^

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails