Tuesday 28 July 2009

:: Petua lapan 'P'..

Pelbagai tips dan nasihat berguna boleh kita perolehi dari carian di Internet. Banyak laman-laman berbentuk blog mahupun forum yang membolehkan kita mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan ilmu yang boleh dijadikan sumber rujukan. Sebetulnya, semua ini akan menjadi betul-betul berguna sekiranya kita mempraktikkannya. : )

Tadi aku sempat singgah di salah satu laman pilihan. Lantas aku paparkan sebahagian isi yang boleh dikongsi bersama teman di sini, terutamanya yang sudah berumahtangga dan sedang duduk memikirkan bagaimana mahu mengekalkan hubungan suci ini agar terus indah dan manis berpanjangan.


MENGAPA hati bagaikan ditusuk rasa cemburu apabila melihat pasangan lain bahagia sedangkan kita tidak mampu membahagiakan diri dan pasangan?

Jika tahu cara menangani masalah, hubungan yang sedia terjalin dan sudah pudar juga mampu dikembalikan kesegarannya.

Menurut pakar motivasi dan pendakwah, Nor Bahyah Mahmood; pasangan harus sedar beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan hubungan cinta mereka.

Dengan memberi perhatian pada perkara berkenaan, ia mampu mengubah keadaan dalam hubungan sekali gus menjadikannya lebih menarik.

Setiap individu mempunyai 100 peratus kuasa untuk mengawal situasi sekeliling, seterusnya mencipta perubahan dalam hubungan cinta dan rumah tangga.

"Banyak perkara menjadi aspek penting untuk seseorang hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Untuk itu, rasa hormat-menghormati bersama pasangan dan sikap tolak-ansur memang penting untuk mengekalkan kebahagiaan."

"Berdasarkan petua lapan ‘P’, mungkin mereka yang sedang mencari erti kebahagiaan sebenar akan mendapat hidayah dan jalan terbaik untuk mencapai kebahagiaan hakiki," katanya.

Ia juga membantu pasangan untuk menyelamatkan hubungan masing-masing di samping membuang rasa putus asa kerana pasangan dikatakan tidak mahu berubah.

Petua itu turut menekankan cara berkomunikasi yang berkesan dengan pasangan. Malah, dengan hanya beberapa baris ayat, ia boleh membuatkan pasangan jatuh cinta berulang kali.

Berikut diperturunkan petua yang diharap mampu membentuk hubungan cinta lebih mendalam:


Puji – Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.


Peluk – Pasangan suami isteri hendaklah selalu memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu belaian penuh kasih sayang.


Penghargaan – Antara yang patut dilakukan amalan memberi hadiah yang boleh menambah kasih sayang.


Perhatian – Aspek ini mesti diberi penekanan kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.


Persefahaman – Sebagai manusia berkerjaya, ia memerlukan pasangan lebih bertolak-ansur dan memahami kerjaya masing-masing.


Pergaulan – Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan rasa cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.


Percutian – Harus merancang percutian berdua-duaan dengan pasangan di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.


Permohonan – Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.


Nor Bahyah turut menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu dengan membaca surah al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah yang sama.

Menurutnya, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai-berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.

p/s: Apa yang penting? Kerjasama...... : ) Bagaimana kita mahu seseorang itu menyayangi diri kita bergantung kepada bagaimana kita mengasihi dirinya... Moga keikhlasan hati kita sentiasa mendapat balasan yang sebaiknya. InsyaAllah...

Wednesday 22 July 2009

:: 'Berlian'..


Jika berhajat mencari yang indah bak berlian, carilah di kedai-kedai perhiasan.. sebaliknya jika ingin memungut sampah yang tidak berguna, keluar saja ke mana-mana akan terjumpalah ia di pinggir jalan..


p/s: Aku tertarik dengan kata-kata penceramah dari seberang; Aa Gym.. tuturnya lembut namun ketegasan dalam setiap isi ayatnya memberi banyak ilmu dan pengajaran yang berkesan dalam hati..

Sunday 19 July 2009

:: Bergembira di Ladang Ostrich.. ^_^

Semalam, aku menyertai lawatan bersama anak-anak murid berkunjung ke Negeri Sembilan. Perjalanan agak jauh namun tidak memudarkan semangat anak-anak untuk menitip beberapa pengalaman dan ilmu yang berguna di sana. Seramai 75 peserta dalam rombongan kami dan 2 biji bas telah disewa menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Di dalam bas, anak-anak kelihatan gembira dan terhibur dengan gelagat serta perbualan bersama wakil jurupandu dari ejen tersebut, Abang Mack. Tayangan video juga mengalih tumpuan mereka dari merasakan kepenatan.

Destinasi pertama yang kami kunjungi di Negeri Sembilan, adalah Ladang Burung Unta Jelita yang bertempat di di Lot 1504, Batu 6, Mukim Pantai, Jalan Jelebu. Ladang di kawasan seluas 4.2 hektar ini disahkan Malaysia Book of Records sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia.

Terkenal sebagai pusat riadah untuk seisi keluarga, ladang ini bukan saja membiakkan burung berkenaan, malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan tersebut. Para pengunjung tanpa mengira usia boleh mencuba pelbagai aktiviti, antaranya memberi ia makanan, menunggang burung unta dan paling istimewa menonton perlumbaan burung berkenaan, dipercayai yang pertama di Asia.

Apa yang pasti, larian burung unta atau lebih dikenali sebagai ostrich ini pantas dan jika ia berada dalam keadaan terancam, usah dekat dengannya, bahaya..! : ) Namun pada penglihatanku, burung unta ini sebenarnya mudah mesra jika kita berbuat baik kepadanya, misalnya memberi ia makan serta memperlihatkan suasana yang tenang dan terkawal.

Anak-anak begitu teruja semasa berada di ladang ini, maklumlah, kebanyakan dari mereka belum pernah merasa menjejakkan kaki ke ladang ternakan, dan berada di sini membuatkan mereka rasa bebas dan gembira. Tambahan lagi, melihat burung unta secara dekat barangkali sesuatu yang baru buat mereka. Selain burung unta terdapat juga haiwan lain seperti kuda, kambing, dan ayam di sini.

Selepas penat beriadah di Ladang Burung Unta, kami berkunjung ke Muzium Negeri Sembilan. Di sini, pelajar dapat memahami tinggalan sejarah yang sudah lama bertapak di negeri ini serta melihat sendiri unsur-unsur senibina minangkabau yang terkenal.

Sesi makan tengahari menyusul selepas itu. Kami dihidangkan dengan nasi ayam istimewa di sebuah restoran yang terletak di Seremban. Anak-anak mengambil peluang merehatkan badan yang dijamah peluh sebentar tadi.

Destinasi terakhir kami adalah Kilang Kristal Rembau. Di sini, jurucakap menunjukkan bahan-bahan untuk penyediaan serta langkah demi langkah proses menghasilkan produk kristal yang selalu kita lihat di pasaran. Patutlah harga setiap satu barangan ini tinggi, rupa-rupanya proses menghasilkannya agak rumit.

Dengan suhu panas di sekitar tempat kerja serta pengamatan dan ketelitian yang tinggi diberikan oleh setiap pekerjanya, barulah terhasil produk yang indah dan istimewa ini. Kebanyakannya dijadikan hiasan rumah dan golongan yang meminatinya sebahagian besar para wanita. : )

Tamat sesi lawatan di kilang kristal kami bergegas menyambung perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Masing-masing memahat kemas cerita dan pengalaman yang berharga di lipatan memori, untuk diceritakan kepada keluarga tersayang. Kira-kira jam 4 petang, kami semua selamat tiba di sekolah dan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing.

Kesimpulannya, kanak-kanak wajar diberi peluang menyertai lawatan sebegini bersama teman dan para guru kerana ini akan mendidik mereka cara untuk berdikari, selain memantapkan kebolehan berkomunikasi dalam menyempurnakan setiap aktiviti yang berlangsung di destinasi lawatan.

Setiap tahun pihak sekolah kami akan menganjurkan lawatan tahunan, dan destinasi tahun depan pastinya lebih menarik..! Ku akhiri catatan pengalaman ini dengan senyuman... ^_^

Friday 17 July 2009

:: Si hitam manis, kesukaanku..

Musim buah yang masih hangat belum nampak penghujungnya. Di kawasan sekitarku masih meriah dengan kewujudan gerai-gerai yang menawarkan buah-buahan seperti durian, manggis dan langsat dengan harga yang istimewa. Antara buah-buahan ini yang lebih popular tentulah si raja buah; durian. Terhibur juga dengan gelagat para pembeli yang leka membelek-belek buah berduri itu sambil menghidu bau bagi memastikan keenakan isi di dalamnya.

Tak ketinggalan, aku juga turut serta menjamu rasa., kebanyakannya pemberian dari teman dan jiran yang baru pulang menjengah dusun keluarga di kampung. Ada juga datangnya dari ibu bapa pelajar yang bermurah hati memberikan sekotak dua buah-buahan yang segar dan manis kepada warga sekolah kecil kami. : )

Hitam-hitam si tampuk manggis.. walaupun hitam isinya manis. Yang sebenarnya, aku sangat sukakan manggis. Dengan isinya yang putih bersih, dan rasanya yang masam manis, manggis memiliki keistimewaannya yang tersendiri.. Melihat pada khasiat yang terkandung dalam buah ini, ternyata ia banyak membantu dalam meningkatkan kesihatan..


Xanthone iaitu bahan aktif dalam buah manggis dapat membantu pelbagai jenis masalah seperti alergi, resdung, lelah, pelbagai penyakit kulit seperti gatal-gatal, jangkitan kulat, luka-luka yang biasa pada mulut serta kulit melecur. Selain itu, penyakit darah tinggi, kencing manis, lebihan kolestrol, keletihan, kekurangan darah, ulser, dan gastrik juga boleh diringankan dengan pengambilan khasiat yang sama seperti yang terdapat dalam buah ini.

Antara buah-buahan lain yang ku kira memiliki sedikit persamaan dengan manggis; buah durian belanda yang sangat enak dibuat jus, dan..


Buah koko..! Bagi yang belum tahu bagaimana rasa buah yang sinonim dengan coklat ini, silalah cuba.. Pertama kali aku merasainya, mm, boleh tahan! Enak..~ Jangan pula dimakan biji-bijinya sekali ya.. hehe ^_^


Emm, musim buah tak lama lagi akan berakhir. Bila habis buah tempatan, masa itulah baru teringat akan epal, oren dan aneka buahan import. Yang jelas, buahan tempatan lebih menggamit rasa.. Itulah untungnya kita rakyat Malaysia.. : )

Friday 10 July 2009

:: Bahasa kita apa salahnya...

Salam buat semua. Entri pertama untuk bulan Julai. Aku tak banyak menulis kebelakangan ini. Kalau dulu dalam sebulan terdapat belasan entri, kini hendak dicukupkan sepuluh pun agak sukar. 'Kemesraan' aku dengan dunia blog sudah semakin pudar nampaknya. ^_^

Kerjaya sebagai guru membuatkan fikiranku berjalan sepanjang hari. Mulut tak henti-henti berbicara, bersoal jawab dengan anak-anak kecil yang semuanya petah belaka. Tiba saja di rumah, usai urusan segala, hendak bercerita panjang di sini kadangkala aku kehabisan ilham. Namun begitu, minatku untuk menulis masih sama seperti dulu. Aku akan tetap ada, walaupun dijarak oleh masa.

Emm, antara yang menarik minggu ini dan aku kira ada bersangkut paut dengan kerjayaku; pengumuman pihak kerajaan mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di mana ia akan dimansuhkan berkuat kuasa pada tahun 2012. Semuanya akan kembali seperti dulu, segalanya diajar dalam Bahasa Malaysia. Apa pendapat kalian..?

Sebagai guru Sains dan Bahasa Inggeris, aku agak bersetuju dengan langkah ini. Aku melihat kepada hasil kajian dan pemantauan Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak ia dimulakan yang mana ia menunjukkan penurunan prestasi dalam pencapaian murid. Yang jelas, tidak semua murid dapat mengikuti sistem ini dengan baik terutamanya murid dari lingkungan luar bandar yang tidak mendapat pendedahan meluas dalam aspek penggunaan Bahasa Inggeris.

Sebagai contoh, di dalam kelas, walaupun aku mengajar dalam Bahasa Inggeris, namun dalam sesi soal jawab bersama murid, seringkali saja aku perlu menerangkan kembali maksud bagi sesetengah ayat menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengelakkan kekeliruan mereka. Bukan mereka tidak dapat menerima Bahasa Inggeris, malah mereka memberi reaksi yang positif, namun sokongan Bahasa Malaysia itu turut penting bagi membantu meningkatkan pemahaman mereka dalam subjek yang terlibat.

Sarananku (sekadar pendapat), aplikasikan dwi-bahasa. Selain sesi pembelajaran menjadi lebih menarik, minda pelajar juga akan turut berkembang. Misalnya, semasa sesi penerangan, gunakan Bahasa Malaysia, dan ketika berinteraksi dengan murid semasa sesi latihan mahupun eksperimen, bertuturlah dalam Bahasa Inggeris. Aku akui murid sekarang semakin bijak, dan mereka dapat menerima kaedah ini.

Kesimpulannya, kita lihat dulu perkembangan seterusnya buat tahun-tahun yang mendatang. Harapanku, anak-anak kecil dapat memupuk sifat cintakan bahasa ibunda, dan membesar menjadi seorang individu yang berfikiran terbuka dalam menuntut ilmu. InsyaAllah.

p/s: Buat masa ini aku terus berbahasa Inggeris kerana pemansuhannya lambat lagi.. 2012..! :D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails