Memancing. Pengalaman pertama bagiku barangkali. Sebelum ini tak pernah aku ikut serta dalam sebarang aktiviti memancing. Sebut tentang
joran dan mata kail.. mustahil jikalau tidak kenal, tetapi cara memasang peralatan tersebut serta teknik-teknik memancing langsung tidak aku ketahui.
Rupa-rupanya ada pelbagai teknik memancing yang boleh disesuaikan dengan keadaan perairan yang berbeza. Ilmu ini perlu dituntut sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk menjadikan aktiviti ini sebagai hobi di masa lapang. Aku..? Cukuplah sekadar pengetahuan yang asas sahaja kerana aku lebih suka bersantai sambil
melihat orang memancing berbanding mencubanya sendiri. Aku sebenarnya takut untuk memegang umpan mahupun ikan yang masih hidup. :D
Lewat kunjungan ke kampung dulu, aku mengambil kesempatan mengikut suami ke kawasan berhampiran Jeti Tanjung Gemuk (jeti ke Pulau Tioman) yang tak jauh dari rumah atukku, kira-kira 5 minit perjalanan sahaja. Berbekalkan sebatang joran yang baru dibeli, kami memancing di atas jambatan bertentangan dengan jeti, di mana perairan di sini merupakan pertembungan antara Laut China Selatan dan sungai Pahang.
lokasi kami memancing; di atas jambatan nun di belakang sana...
Kerdipan lampu di sepanjang jambatan serta pantulan cahaya yang terhasil di permukaan air begitu mempesonakan. Sesekali ku pegang juga batang joran dan pada masa yang lain, aku lebih banyak memerhatikan riak-riak air dan aksi beberapa orang pemancing yang berada berhampiran kami. Boleh dikatakan di sini port untuk kaki memancing menghabiskan masa lapang mereka.
Tak lama menunggu, mata kail dipagut sesuatu. Wah, kami berjaya mendapatkan ikan! Bila dinaikkan rupa-rupanya ia seekor ikan gelama yang kecil. Kurang berpuas hati, kami melepaskannya kembali ke dalam laut. 2-3 ekor ikan hasil pancingan berikutnya juga sederhana saja. Kemungkinan air yang deras malam itu menyebabkan ikan-ikan tidak banyak berkumpul di kawasan favourite ini. Kami tidak kecewa, kerana hakikatnya kami sekadar ingin mendapatkan pengalaman memancing di situ.
Apa yang lucu, kira-kira sejam kemudian, aku tidak lagi setia menanti di pinggir jambatan. Aku sudahpun terlelap di dalam kereta. Betul kata orang, memancing perlu kesabaran dan minat. : ) Ada rezeki adalah ikan, jika tiada, hati tetap gembira.
Sedar-sedar aku dikejutkan suami. Sebelum pulang sempat aku bertanya kepadanya.
"Mana ikan?"
"Semua dah bagi orang.." jawabnya.
Aku cuma tersengih. "Lain kali kita cuba memancing di kolam ikan pula. Mungkin lebih lumayan hasilnya.." bisikku dalam hati. : )
Seronok juga memancing..! Nanti boleh pergi lagi.. ;D
:: credits to ayares151.fotopages.com