Azam 2009 Cita.Cinta
Berhajat mahu menyaksikan bunga api di tengah kota.. namun cuma berkesempatan melihat warna-warni cahaya yang berkerlipan itu di kaca TV. Ya, cuma duduk santai di rumah saja menyambut kedatangan tahun baru 2009.
Kebelakangan ini, ramai memperkatakan tentang azam baru. Kalau bukan kerana tahun baru, perkataan AZAM ini jarang disebut-sebut.. ^_^ Apapun, dengan memiliki azam, ia sedikit sebanyak mendorong kita memperbaiki diri menjadi seseorang yang lebih baik dari yang sebelumnya.
Alhamdulillah, mengimbas kembali masa-masa yang telah berlalu, ia sudah cukup membahagiakan. Kini tiba pula masa untuk mencorak sesuatu yang baru. Pastinya pelbagai azam sudah tertanam dalam minda kita semua. Aku? Kadangkala aku tidak menaruh harapan yang tinggi dapat menyempurnakan apa yang dirancang itu mengikut masa yang sebetulnya. Berdasarkan pengalamanku, adakalanya, sesuatu akan muncul tanpa diduga dan ia sudah pasti akan mengubah sedikit sebanyak haluan sesebuah perjalanan itu.
Kadangkala aku sekadar berangan, hidup akan menjadi begini dan begitu, tapi jika cuma duduk diam tanpa menggerakkan apa-apa ke arah 'sesuatu' itu, maka ia tetap akan menjadi angan-angan yang kabur dan kelam. Walaupun berangan itu memang indah.. ah, ia tetap menyesakkan dada kerana kita takkan pernah puas dengan segala apa yang ada. Sudah dapat apa yang kita mimpikan, kita akan mengharap pada yang lain pula.. begitulah seterusnya sampai hari kita menutup mata.
.Aku mahu berhenti berangan.
..Aku mahu lebih bersyukur.
...Aku mahu menebus kembali angan-anganku yang sudah-sudah.
Apa ya anganku itu? Pertama; cita-citaku sebagai novelis. Aku perlu lebih positif memotivasikan diri, serta berusaha agar lebih fokus ketika menulis.
Dan yang kedua, malah lebih penting dari apa pun; cinta pada rumahtangga. Moga-moga aku sukses membentuk diri menjadi isteri yang berilmu dan solehah..
Maka, cukup saja ini semua menjadi azamku buat tahun ini, kerana aku tahu aku tidak terdaya jika senarainya ditambah lebih panjang. Moga Tuhan memberkati usiaku dan mempermudahkan haluanku di masa hadapan. InsyaAllah.
Azam tahun baru kalian pula pastinya lebih menarik. Setiap dari kita berbeza peribadi dan juga pendapat, namun kita tetap berkongsi matlamat yang sama. Kebahagiaan dan juga kejayaan..
Akhir sekali, salam tahun baru buat semua.. all the best!
2 comments:
moga tercapai dan terlaksana semua impian anda :)
cepat.jawab tag aku tuh.hehhehe...
Post a Comment