Friday 23 January 2009

:: Dilema bersuamikan seorang doktor..

Pasti ada di antara kalian yang terbayangkan jejaka bercermin mata segak berseragam putih berdiri di tepi katil sambil mencatat sesuatu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Dan yang terbaring di katil itu memandang dengan penuh harapan.

Itu mungkin personaliti seorang doktor yang dapat kita lihat di kaca TV.. contohnya dalam siri House; yang amat aku minati. Tapi realitinya, ada juga yang tidak berperwatakan menarik, sekadar cukup-cukup makan sahaja hinggakan ada kata yang terpacul dari mulut kita.. "Dia itu doktorkah? Wajah serupa orang sakit.." : ) Hmm, sudah lumrah dunia, tiada apa yang sempurna.

Kalau bersuamikan seorang doktor sejati, memanglah bahagia. Sakit pening ada si dia boleh tolong ubatkan..
Tapi ceritaku di sini kali ini, bukanlah dunia anganan para wanita, tapi mungkin sesuatu yang menyedihkan, dan tak semua dapat menyelami dunia mereka.. Suami mereka sangat asyik dalam kerjaya yang satu ini.. sesat dalam terang, begitulah yang terjadi.. Dilema isteri seorang penagih dadah! 'Doktor' yang mengheret diri sendiri ke lembah kegelapan..


Kes 1
Seawal perkahwinan, semuanya manis belaka. Temberang di depan mata ditelan bulat-bulat. Selepas beberapa tahun, A akhirnya dapat menghidu yang suaminya itu terlibat dalam gejala dadah. Sabar dan tetap sabar, 3 orang anak menjadi bukti mereka masih lagi punya bahagia. Tapi makin lama dibiarkan keadaan makin parah.

Suatu hari, A pulang ke kampung merajuk hati. Anak yang ditinggal di rumah lantas menelefon mengadu. Ayah bawa kawan-kawan berkumpul dalam bilik. Nampak asap di sebalik pintu, serta terjumpa puntung rokok dan jarum suntikan di atas lantai bila semua mereka telah pergi.

Oh, apakah nasibku..? Ingatkan suami mahu memujuk, rupanya makin bermaharaja lela.. Adakah dia tak mampu lagi berfikir dengan waras? Bagaimana dengan anak-anak? Nak membuat laporan polis hati serba salah, ditambah pula sekelumit rasa sayang yang masih tertanam di jiwa. A berdialog sendirian..

Maka A sanggup bersusah payah. Ke sana ke mari mencari sesuap rezeki untuk anak-anak setelah suami tidak lagi punya hati. Menyimpan rasa derita dan kecewa. Cemburu melihat orang lain yang bahagia berkeluarga. Mengapa nasibnya tidak seperti mereka..?

Dan lelaki itu masih lagi terus mengganggu atas alasan dia punya hak. Dia seorang suami, dia bapa kepada anak-anak. Tapi di manakah tanggungjawabnya?? A selalu menjerit dan memberontak, tapi ianya sekadar bergema dari dalam hati.. Dia takut untuk membuat keputusan;

Berpisah?
...Itu bermakna dia akan menjadi janda.. Dia tahu, itu bukan satu keputusan yang mudah. Masa depannya kabur. Dia merasakan dia tak mampu memikul semua tanggungjawab itu seorang diri..
Anak-anak? Walaupun yang sulung sudah mengerti akan penderitaan ibunya tapi yang masih kecil pula bagaimana..? Malam-malam mahu tidur sering tercari-cari ayahnya. Kerana si suami tetap seorang ayah yang penyayang. Mesra dengan anak-anak. Walaupun kadangkala amanah itu diperlekehkan.

A masih buntu mencari jawapan..

Kes 2
B sebelum berkahwin lagi sudah tahu yang suaminya telah terjebak dalam gejala yang tak bermoral ini. Tak sangka dia akhirnya ikut sama terpengaruh. Mereka berdua tenggelam dalam dunia khayal yang mengasyikkan.. dan apa yang lebih teruk, kediaman mereka turut dijadikan markas untuk teman-teman seangkatan berkumpul dan menikmati segala jenis dadah..

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pada suatu malam, mereka terperangkap dalam serbuan oleh pihak polis. B dan suaminya terpisah, masing-masing disumbatkan ke pusat serenti berasingan bagi proses pemulihan.

Kini, B sudah insaf. Dalam hatinya masih berharap, agar dia dan suaminya dapat membina hidup baru selepas keluar dari pusat pemulihan. Moga suaminya telah berubah, dan tidak kembali lagi ke lembah hitam itu.

Kes 3
Saudara mara sudah banyak menabur kata. Ibu bapa juga jenuh menasihati. Berpisah jalan terbaik. Tapi rasa cinta mengatasi segala-galanya. C tidak mahu meninggalkan si suami yang amat disayangi. Biarlah dia hisap dadah, biarlah dia ketagih syabu.. dia sedikitpun tak mengganggu kehidupan kalian.. C menolak kata mereka mentah-mentah.
Cinta itu buta, memang ada benarnya. Mungkin satu hari nanti dia akan berubah, harapnya bertahun-tahun sudah.

Satu hari, C berjumpa doktor setelah mengatur temujanji. Kebelakangan ini, dia sering berasa tidak sihat. Banyak ubat telah ditelan, namun badannya masih lemah. Tiba di sana, doktor menyusun bicara..

"Hasil pemeriksaan darah, maaf, saya harap puan bersabar."

"Mengapa?" C masih keliru.

"Puan disyaki HIV positif. Tapi sebelum apa-apa, kami mahu tahu sejarah puan. Mungkin dari situ kami dapat menentukan bagaimana puan boleh dijangkiti.."

"Tak mungkin.. tak mungkin Doktor.." jawab C sambil terketar-ketar..

"Kami boleh jalankan pemeriksaan kali kedua. Untuk lebih kepastian."

C sepertinya mahu pengsan di situ.

Suaminya ada berkata dia tak berkongsi jarum suntikan. Lagi pula dia tidak pernah terserempak lelaki itu berpeleseran bersama teman-teman 'gelap'nya. Tapi itu apa yang ada dalam pemerhatiannya. Yang dia tidak tahu..? Dan tidak nampak..?

Nasi sudah menjadi bubur, menangis air mata darah sekalipun tidak lagi berguna. Warna kehidupan menjadi pudar, dan C tidak mampu menyalahkan takdir. Dia yang silap kerana terlalu percayakan suami.

.............................................................................

Terdapat kira-kira sejuta penagih dadah dalam negara kita. Sebahagian besar darinya mungkin saja sudah berkeluarga dan punya anak-anak yang mengharapkan jagaan. Jadi, tak mustahil kes-kes di atas juga turut melibatkan pasangan-pasangan lain. Tidakkah ia menjejaskan institusi kekeluargaan yang selama ini kita anggap penting..?

Apa yang harus dilakukan oleh para isteri ini? Atau para suami, yang mana pasangan mereka terjebak dalam penagihan dadah. Patutkah mereka berundur.. ataupun tetap setia memberi sokongan dengan harapan teman hidup mereka itu akan berubah..?

Yang kita takuti, terjadi pengakhiran seperti kes C. Sebuah pengorbanan yang sia-sia... Fikir-fikirkanlah..

p/s: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM300 juta setahun bagi menyelenggara dan mengendali pusat-pusat pemulihan dadah di seluruh negara. Rm 300 juta.

9 comments:

Anonymous said...

kata org perkahwinan itu perjudian..entah...rasa mcm tak setuju..ialah nak berjudi ttg hidup tetapi siapa menjangka..... kalau perkahwinan terikat dgn derita spt itu..

kita memandang org menangung lagilah berat bebannya.

Abang Long said...

Inilah BALA yang tidak boleh berhenti. Hukuman mandatori pun orang tak takut. Yang penting kita usaha dari mula, biar si kecil tahu BUSUK dan TAHI nya NAJIS DADAH.

@tune® said...

selagi belum 10 tahun derang berenti menagih dadah...derang maseh leh terjebak lam kanchah dadah ni

Neeza Shahril said...

penagih dadad tegar memang susah nak buang tabiat ketagihan. Jangan dengar kalau dia kata nak insaf.. 'dengar' apa yang dia buat untuk berubah. Dia perlu insaf dengan sendiri dan suka rela berhenti.
Di malaysia, banyak pusat serenti tapi ibarat pusat persinggahan aje sebenarnya.. kadang2 yang keluar dari pusat serenti lebih teruk lagi. Bayangkan kalau dalam pusat sendiri boleh dapat bekalan dadah..
Ada pusat swasta tapi mahal sangat.. RM1000 sebulan..
300 juta jumlah yang besar. Kalaulah kita privatekan berapa lah agaknya belanja je.. tapi dengan jaminan keberkesanan lah..

Anonymous said...

alahai. mintak simpang lah benda2 lagu ni...

cores said...

hapuskan kepala yang mengedar...bukan susah pun nak cari..hehehehe.... fikirkan kenapa tak selesaipun isu ni?

Erinsza said...

3 story yg berlainan tapi terasa sayup story yg last sekali, dunia dah jadi gelap tak de ape gi nak dikatakan...

disebali motif cite I boleh anggap golongan yg tidak bermoral skrg nie terdiri dari golongan profesional...

KESIAN betuilah...

Anonymous said...

Hidup memang tak mudah. Banyak dugaan & rintangan. Kalau nasib malang terjebak lah jadinya. Moga2 dijauhkan lah hendaknya dari senario2 di atas.

Zul MD said...

Salam...

Sedih bila baca posting ni. Terutama kisah C...

Masalahnya,majoriti "doktor2" ni adalah bangsa kita;orang melayu, orang islam.

dikala anak bangsa2 lain sibuk mengejar ilmu dan kekayaan, anak bangsa kita bangga mengejar keseronokan dan kemusnahan.

Harapanku semoga anak2 bangsa kita yang masih kecil tak akan mengikut jejak2 abang2 dan kakak2 mereka di lorong2 gelap, pusat serenti dan penjara2.

P.S:Perengggan awal tu macam sindir aku je hehe...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails