Wednesday 24 December 2008

:: Petua orang kita..

Petua merupakan amalan yang diperturunkan oleh generasi-generasi yang terdahulu dari kita. Ia berkait rapat dengan kecantikan, kesihatan, mahupun hal-ehwal kehidupan. Maklumlah, zaman dahulu manalah ada Watson, Guardian atau yang seumpama dengannya. Bagi aku, kebanyakan orang-orang zaman dahulu, walaupun kuat bekerja, masih kelihatan segar dan sihat manakala para wanitanya pula langsing dan jelita. Cemburu melihat pinggang mereka yang ramping bak kerengga. Apakah petua-petua yang mereka amalkan ya..?

Walaupun zaman telah berubah, kebanyakan dari petua-petua ini masih menjadi ikutan dan ada yang telah diringkaskan agar mudah bagi kita mengaplikasikannya. Semuanya bertitik tolak dari usaha dan kerajinan kita. Jimat, dan mudah. Sememangnya petua-petua ini akan berguna juga bila tiba masanya...

Sebahagian dari petua yang menarik minatku;

.............................................................................

Mencantikkan kulit
-Amalkan meminum air campuran pucuk pegaga dan lobak merah yg telah dihancurkan.

Untuk kulit cerah, licin & harum
-Ambil 1-2 biji limau nipis dan dibelah dua. Semasa mandi, gosokkan pada muka dan seluruh badan.

Menghilangkan parut jerawat
-Potong kentang nipis-nipis, tidak perlu dibasuh dan tekapkan pada parut-parut tersebut. Biarkan sehingga kering. Kemudian cuci muka dengan air suam.

Menghilangkan kedut di muka
-Ambil 1/2 batang lobak merah, dibersihkan dan diparut. Kemudian campurkan sebiji kuning telur dan secamca besar tepung jagung. Bahan-bahan ini dikacau hingga sebati. Setelah itu bolehlah dilumurkan pada kulit muka. Lakukan sekali sehari pada waktu malam. Cucilah muka ketika hendak tidur dengan air suam.

Menaikkan seri wajah
-Basuh muka anda menggunakan air basuhan beras yang ketiga. Bilas dengan air bersih setelah sepuluh minit.

Khasiat Oat
-Oat, selain enak dimakan, juga berkesan merawat kulit kering dan berkedut. Caranya, isi 2 camca teh oat ke dalam mangkuk, dan gaulkan dengan sedikit susu pembersih/pelembap muka. Kemudian sapu pada kulit yang sudah di scrub terlebih dahulu. Selepas 5 - 10 minit, bolehlah dicuci. Hasilnya kulit lembut, halus, dan tidak kering.

Melentikkan bulu mata
-Ambil daun lidah buaya. Sebelum masuk tidur, sapukan lendirnya pada bulu mata dengan sapuan menghala ke atas.. Amalkan selalu hingga bulu mata semakin lentik.

Hilangkan parut di badan
-Jika anda mempunyai kesan parut, anda boleh menghilangkannya dengan menyapu lendir lidah buaya. Cuma sapu lendir itu pada parut. Lakukan tiga kali seminggu.

Menghapuskan kelemumur
-Ambil beberapa biji buah mengkudu masak, basuh dan tumbuk sehingga hancur. Kemudian, sapukan pada kepala sambil digosok-gosok. Amalkan seminggu dua kali sebelum mandi. Atau;
-Gosokkan limau nipis di kulit kepala tiga hari sekali sebelum mandi, dan sisir menggunakan sikat. Selepas 15 minit, bilas dengan air bersih.

Memutihkan gigi
-Ambil garam halus sebanyak 1 sudu kemudian campurkannya dengan titisan air, tapi ingat jangan terlalu banyak memadai lembab saja bagi memudahkan anda mencoleknya. Kemudian gosoklah garam tadi pada gigi anda. Sebaik-baiknya gunakan berus gigi yang rapat. Beruslah berulang kali dan ulangi selama satu hingga dua minggu. Hasil yang akan anda perolehi, deretan gigi yang putih bagaikan mutiara.

Menghilangkan bau badan
-Ambil beberapa helai daun pandan, tumbuk hingga lumat dan ambil airnya. Masukkan sedikit kapur sirih ke dalam air daun pandan tadi dan kacau rata. Kemudian sapukan air daun pandan ini ke seluruh badan dengan menggunakan kedua-dua tapak tangan. Seelok-eloknya lakukan sebelum kita mandi. InsyaAllah bau badan akan hilang.

Melangsingkan tubuh
-Ambil 2 batang lobak merah dan sebiji timun. Parut dan perah airnya. Kemudian air itu dicampur dengan air perahan sebiji limau nipis. Bancuh hingga sebati dan minum dua kali sehari. Amalkan setiap hari hingga berat badan anda turun.

Mengelakkan perut buncit
-Sekiranya anda makan nasi, jangan disulami dengan air. Minum air setelah selesai makan. Sebaik-baiknya minum 1/2 jam - 2 jam kemudiannya.

Mengatasi masalah penghadaman
-Caranya amat mudah iaitu minum air kopi pahit yang tidak ditambah gula, sebaliknya anda campurkan pula sedikit garam pada kopi tadi. Sesudah dibancuh pekat anda minumlah sebaik-baiknya pada waktu malam mahupun pagi.

Mengurangkan kadar kolestrol dalam darah
-Sebelum sarapan pagi, ketika perut benar-benar kosong, perah limau nipis/kasturi yang dicampur dengan sesudu madu, dan diminum dengan selawat 3 kali. Dengan mengamalkan setiap hari, kadar kolestrol dapat dikurangkan. Bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan, bagus jika diamalkan sambil mengurangkan makanan berminyak untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.

Mengembalikan suhu badan yang normal
-Anda dinasihatkan jangan minum minuman yang sejuk. Amalkan meminum air suam sekiranya dahaga.

Agar badan ringan dan bertenaga
-Minum air rebusan serai dan halia (yg dititik), kulit kayu manis serta lada hitam. Amalkan pada waktu pagi dan malam.

Cengkih penawar sakit gigi
-Sekiranya anda mengalami sakit gigi, gigit 3 kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit. Kalau gigi berlubang, ketuk cengkih dan isi di dalam lubang gigi anda dan tutup dengan kapas. InsyaAllah, sakit beransur kurang.

Khasiat bawang
-Pening kepala: Potong 2 ulas bawang putih dan telan bersama sedikit air. Sapu tempat yang sakit dengan minyak bawang putih.
-Lemah otot: Ambil 3 ulas bawang putih dan hancurkan. Kemudian minum bersama susu setiap hari selama sebulan bagi menguatkan otot yang lemah.
-Demam selsema: Makan seulas bawang putih setiap kali selepas makan sebanyak tiga kali sehari. Dan minum air perahan bawang putih dan limau serta berkumur air wap bawang putih.
-Susah hadam: Rebus bawang merah bersama kulitnya, kemudian kupas kulitnya. Bawang itu haruslah dihancurkan dan dicampurkan ke dalam madu asli untuk dijadikan krim sapuan roti. Amalkan selalu.

.............................................................................

Semua petua di atas, jika diamalkan selalu, InsyaAllah akan mendapat hasil yang memuaskan..Sumber dari internet, terima kasih buat penulis-penulisnya.

p/s: Aku suka minum air limau nipis yang dicampur dengan madu, terutamanya selepas banyak makan daging atau makanan berlemak. Badan akan terasa selesa, dan perut tidak sebu..(macam Eno lah lebih kurang.. ) ^_^

4 comments:

Mohd Juhari jaffar @ Joema said...

ni banyak petua berguna ni..boleh save ni..petua putihkan gigi best jugak ni..habis rosak kerana rokok huhuhuh..

@tune® said...

kalau kite ikut betul2..pasti kite xperlu produk kecantikan skang...malahan jimat lg kn?

Arin said...

kalau ikut petua2 nih..yang mana mudah..tak yah bayar memahal gie beauty shop memana nak cantikkan muka atau badan kan?

nadinezuharra said...

Joema-->mesti masin kan?hehe..tp nak try jg bg lebih shining! :p

@tune & Arin-->mm,mmg orang perempuan lebih rajin n 'pemurah' bab2 kecantikan n kosmetik ni..
tp tak elok jg membazir keterlaluan kn..sesekali kena buat juga facial sendiri di rumah..
*suka letak putih telur di hidung n tekap ngan tisu..bila dah kering,tanggalkan..mm,berkesan untuk bintik2 hitam.. : )

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails