Thursday 20 November 2008

:: Diam dalam Dunia itu....

Salam buat semua..
Lewat petang semalam aku lega kerana telah berjaya menyiapkan satu bab dalam karya pertamaku yang entah bila akan menemui penamatnya. Moga-moga ia akan selesai dengan jayanya satu hari nanti. Kekeringan idea kadangkala mengekang 'mood'ku untuk terus-terusan menulis. Berhenti sebelum apa yang tercipta lari dari landasannya.

Aku kagum dengan pengurusan idea dan masa oleh sepupuku, penulis Dina Najat. Walaupun dikelilingi tiga anak kecil dan urusan rumahtangga yang pasti tidakkan berkesudahan, beliau masih mampu menulis. Pelbagai genre karya kreatif dan hampir 4 buah novel telah dihasilkannya. Maka sewajarnya beliau menjadi sebahagian dari inspirasiku.

Pada mulanya aku tertarik dengan identiti seseorang yang bergelar penulis setelah melihat betapa gembiranya kakak sepupuku itu bila mana satu persatu karyanya menjengah pasaran. Ini bukan soal kerjaya semata-mata. Yang penting bagiku, aku anggap penulis itu ada medan dan dunianya tersendiri yang berbeza dari realiti insan-insan lain. Maka aku pun mula berjinak-jinak walaupun aku tiada asas sekelumit pun. Apakah satu hari nanti aku akan dapat menyertai mereka? Mungkin ya jika mendapat keizinanNya..

Baru-baru ini seorang temanku mengusulkan agar aku memiliki koleksi dari penulis tersohor, Ramlee Awang Murshid. Sejujurnya aku belum pernah membaca tulisan dari beliau. Cuma sesekali menjengah ke blog-blog pengikut setianya. Menurut temanku, karyanya unik dan lain dari yang lain. Kita sebagai pembaca akan turut tenggelam dalam jangkaan dan persoalan yang sentiasa bermain dalam setiap liku-liku ceritanya. InsyaAllah, pulang bercuti ke Malaysia nanti akan kudapatkan kesemua judul itu.


Emm, tiba-tiba perutku berbunyi minta diisi. Cukup buat waktu ini, waktu petang kelak akan ku sambung lagi. Aku mahu keluar ke pasaraya terdekat, untuk membeli sedikit keperluan dapur. Jika rajin aku akan memasak, jika sebaliknya, cukuplah membeli kudapan sahaja. Tengoklah nanti.. ^_^

2 comments:

Abang Long said...

Supaya semangat menulis tidak luntur, sentiasa berhubung dan berdamping dengan ramai penulis.

nadinezuharra said...

thanx atas tips dari Abang Long..akan saya usahakan.. : )

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails