Friday 26 December 2008

:: Bila ombak menghempas pantai...

Tsunami, kisah sedih yang diratapi oleh sebahagian besar masyarakat dunia menjelangnya hari-hari terakhir kalendar tahun 2004. Empat tahun sudah berlalu, apakah memori ini masih segar dalam ingatan..? Mungkin ada yang sukar untuk melupakannya kerana kehilangan insan-insan tersayang kekal berbekas di hati mereka yang terlibat dalam tragedi ini.

26 Disember 2004, ombak besar Tsunami yang terhasil oleh gempa berukuran 8.9 pada skala Richter di utara Sumatera telah menerjah pesisiran pantai negara-negara yang terletak di pesisir Lautan Hindi. Indonesia, Sri Lanka dan India merupakan antara yang terjejas teruk dan mendahului senarai kematian yang mencecah angka ratusan ribu. Negara-negara lain yang turut terlibat ialah Thailand, Bangladesh, Myanmar, Maldives serta Malaysia sendiri.

Yang menjadi mangsa hanya mampu mengalirkan air mata menangisi nasib mereka. Bingung dan tenggelam punca, begitulah suasana yang dapat dilihat di kawasan yang ditimpa bencana. Mereka akui, tiada sebarang petanda yang mampu membuatkan mereka bersedia.

Natijah selepas peristiwa ini, ramai yang telah menyuarakan pendapat tentang betapa perlunya diwujudkan satu sistem amaran awal terhadap ancaman tsunami yang lebih menyeluruh dan berkesan di rantau ini sebagai langkah berjaga-jaga. Apakah ia sudah menjadi realiti..? Jangan pula menunggu pisang berbuah dua kali dalam hal-hal yang membabitkan kehilangan nyawa seperti ini...

Kepada mereka yang ditimpa musibah, aku mengucapkan takziah. Harapanku agar mereka terus tabah dan bersabar menghadapi dugaan. Apa jua yang telah berlaku, jadikan ia sebagai iktibar dalam perjalanan kita mencari erti sebuah kehidupan..

p/s: Tahun 2004 mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila ucapan selamat tinggal serta alu-aluan kehadiran tahun baru tidak lagi diiringi dengan konsert hiburan dan acara-acara yang keterlaluan gembiranya. Ia sesuatu tindakan yang sungguh wajar, tetapi.. bagaimana pula dengan tahun ini..?

:: credits to benbeau's photostream@flickr.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails