Salam.. aduhai.. menyepi buat seketika.. bila lama tak menulis mulalah hati rasa janggal! : )
Komitmen untuk berblog ini bukan mudah rupanya.. Keterbatasan waktu membuatkan kita tak sempat untuk berbicara walaupun hati masih selalu teringat pada segala yang menarik di ruangan ini. Mujur semangat masih belum padam, maka gagah jugalah jari-jemari menjamah papan kekunci untuk mencatat sesuatu untuk ingatan diri sendiri.
Cerita semalam.
Aku berkunjung ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 (K3G) yang berlangsung dari 15 Mei yang lalu, bertempat di PWTC. Semalam merupakan hari terakhir. K3G ini disertai oleh 400 hingga 600 pempamer yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, agensi kerajaan, entepris kecil dan sederhana (SME), IPT tempatan, serta pelbagai institusi lain.
Lebih dari 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang telah ditawarkan terutamanya kepada graduan menganggur dan juga yang masih tercari-cari pekerjaan tetap. Kesimpulannya, dengan kehadiran 'para pemburu kerja' yang begitu mengalakkan seperti semalam, aku perlu bekerja lebih keras untuk menggapai pilihan kerjaya yang diimpikan.
Cerita kelmarin.
Mm, cubaan untuk menjadi usahawanita berjaya...? Hehe.. tak perlu ku ceritakan panjang lebar kerana halnya kecil saja. Ya, aku mula berjualan dadih setelah mempromosikannya secara kecil-kecilan. Resepi tersendiri, dan boleh dikatakan rasanya juga lain dari yang lain. Ingin mencuba..? Boleh saja.. Terbuka juga untuk tempahan.. : ) Buat masa ini aku cuma sediakan perisa asli dan coklat. Mungkin selepas ini akan muncul pula perisa jagung dan strawberry. InsyaAllah.. : )
Cerita minggu lepas.
Jika aku menyepi, itu tandanya aku tak lekat di rumah. :D
Lokasinya di mana pula? Alhamdulillah, kali ini sampai juga kami ke pulau legenda Langkawi. Terlalu banyak pengalaman manis di sana. Kerana diri telah jatuh hati dengan pantai, maka lama tak melihat desiran ombak, hati jadi rindu.
Mungkin bagi segelintir pengunjung, membeli belah di Langkawi membuatkan mereka teruja, namun bagiku pulau ini memiliki keistimewaan yang lebih dari itu. Sampaikan tiba hari kami mahu berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur, kami mengambil keputusan untuk menambah satu hari lagi. Semuanya kerana hati yang merasa tidak puas.
Tak puas melihat cantiknya laut, dan masih lagi ingin merasakan ketenangan tatkala dibuai angin petang, ditemani langit yang membiru. Mm, bila masa kian lapang nanti akan ku segerakan tambahan foto-foto di flickr.com.
Sekian, bertemu lagi di hari esok.. Salam manis buat semua teman yang sudi berkunjung ke mari.. Selamat malam.. : )