Monday, 8 September 2008
:: Hargailah Sebuah Kehidupan
"Kita hidup di hari ini untuk apa? Apa tujuannya?"
Ada manusia yang tertanya-tanya mengapa ia hidup, apa peranannya di muka bumi ini. Ada manusia yang menghabiskan masanya dengan bersukaria sebab dirasanya hidup ini hanya untuk di dunia sahaja. Ia menumpukkan harta benda, wang, isteri dan anak-anak dibiarkan tidak terbela jiwanya.Ada juga manusia yang tidak tahu mengapa ia dijadikan, lalu menyesal dengan dirinya. Walaupun hidup dengan serba kemudahan. Jiwa terasa kosong, lalu ia mencari dirinya - dikaji segala kemungkinan mengapa manusia hidup di dunia.
Mungkin sahaja ia mendapati sains dapat menyelesaikan persoalan yang sudah bertalu-talu datang di dalam pemikiran. Malangnya - anaknya yang mati - ia tidak dapat menerima walaupun dirinya hebat untuk mengubat. Akhirnya ia membunuh diri kerana kecelaruan fikiran dan sudah sampai batasan akalnya memikirkan kehidupan tanpa panduan..Ada juga yang mahu menjadi baik di sepanjang kehidupannya. Menderma, menolong orang susah, menjaga nama baik diri, keluarga dan jiran-jiran. Ia disenangi orang, sehinggalah ke matinya. Tetapi sayang.. di dalamnya tetap ada kekosongan, iaitu tidak percaya kepada Tuhan.Ada juga manusia yang hidup sekadar meneruskan penghidupan, ia tidak kisah ke mana ia akan pergi selepas itu. Tidak kisah samada kebaikan atau kejahatan, tetaplah dikerjakan.
Di sana ada manusia yang hidup terlantar di katil hospital, di temani dengan segala jenis pil, balang oksigen. Setiap waktu jururawat dan doktor akan datang untuk memeriksa urat nadinya. Lalu ditulis perkembangan kesihatan, samada bertambah baik atau bertambah buruk.Di luar pula - ada pula manusia yang mati tanpa menunjukkan tanda ada penyakit. Ramailah yang meninggal dunia di atas jalanraya, dalam peperangan, ketika sedang bersukan, semasa dalam keadaan berehat, duduk, tidur, menari-nari dan sebagainya berbanding mereka yang dalam kesakitan.
Allah mengajar mengapa kita semua dijadikan :
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. "
(Surah Ad-Dzariyyat ; 56)
Apa yang kita isi dalam kehidupan? Sesaat, dua, mungkin bagi kita tidaklah penting, tetapi ingatlah apa yang berlaku sepanjang masa tersebut amatlah penting. Setiap perbuatan dari apa yang kita fikirkan amatlah berharga. Malanglah sekiranya perbuatan tidak diukur dengan semasak-masaknya. Hasil dari perbuatan dan kesannya jika ia adalah buruk. Maka tentu di bahu-bahu kita sudah tertulis dengan kejahatan. Apatah lagi sekiranya ia melibatkan hubungan dengan manusia yang tentunya lebih berat ditanggung nanti.Apa yang kita lalui di dalam kehidupan, setiap detik dan waktunya amatlah penting dan berharga. Tersilap percaturan buruk padahnya..
1. Sudah langsaikah hutang piutang? Hak Allah? Hak sesama manusia?
2. Berapa ramai yang disakiti hati mereka?
3. Sudah sampai manakah jalan yang dipilih? Semakin benar atau salah?
4. Sumbangan kepada jalan agama?
5. Amal jariah yang disimpan untuk bekalan di akhirat sana?
6. Kehendak dan keinginan - yang manakah lebih utama?
7. Apa kisahnya hal aqidah, syariat dan akhlak pada diri? Isteri? Keluarga?
8. .......Di sini ada jawapannya dari Allah :
Katakanlah "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. "
(Surah al An'am ; 162)
Fahamilah sebuah kehidupan untuk dihargai dan diberi makna di dalamnya. Walaupun susah, sukar, payah dan getirnya.. lalui juga sebagai seorang insan yang beriman...
..anak pejuang..
p/s: moga hati kita terkesan dengan apa yang terkandung dalam artikel ini.InsyaAllah..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment