Wednesday, 5 May 2010
:: Cinta datang lagi..
Wednesday, 6 January 2010
:: Jatuh, bangun..
Berbalik pada diri sendiri, aku akui aku pernah merasa itu semua. Mengecap manisnya kejayaan, kemudian menempuh pula kegagalan, bagaimana lesunya hati tidak bersemangat, dan jiwa tiba-tiba kabur tentang masa depan. Namun di sebalik semua itu, aku belajar sesuatu. Tentang hakikat sebuah kehidupan.
Sehebat dugaan yang kita hadapi, ingatlah Tuhan. Begitu juga jika kita dilimpahi kesenangan yang bisa menghanyutkan. InsyaAllah, dapat kita lalui hari esok dengan hati yang tenang dan yakin..
Sunday, 27 December 2009
:: Bas terbabas; takziah buat semua mangsa..

Petikan dari sumber berita;
Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa, pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum berlaku kemalangan.
“Bas dipandu dalam keadaan tidak stabil, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian,” dakwanya.
Apapun, aku pasti semua penumpang pengangkutan awam seperti ini telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pemandu yang diamanahkan untuk menakhoda perjalanan mereka ke destinasi yang dihajati. Tetapi dek kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dengan panduan keselamatan yang telah digariskan, maka tragedi seperti ini berlaku dan terus berlaku.
Yang menjadi mangsa, para penumpang. Kepulangan yang dinanti keluarga tersayang, cuma disambut dengan air mata penuh duka, melihat jasad yang telah kaku tidak bernyawa.
Mungkin sehari dua lagi perkara ini akan lenyap dari ingatan kita semua. Namun buat keluarga mangsa yang terlibat, ia akan menjadi noktah hitam dalam hidup mereka. Buat semua pengusaha pengangkutan awam, terutamanya pemandu yang menjadi tonggak utama, jadikanlah nahas ini sebagai iktibar. Yang dipegang erat dalam hati..
Sunday, 6 December 2009
:: Selamat Pengantin Baru..
Perjalanan ke rumah pengantin di Raub, Pahang tidak membosankan sama sekali. Pemandangan indah di lebuhraya Karak membuai rasa. Bukit-bukau yang dilitupi kabus membuatkan mata tidak jemu memandang. Hampir dua jam perjalanan, kami sampai di sana.
Seronok bertemu rakan lama. Walaupun kami dulu bersahabat di usia yang masih mentah (ketika zaman sekolah menengah), dan kemudiannya terpisah oleh jarak dan masa, namun kenangan-kenangan manis dulu yang mengukuhkan persahabatan kami.
Sama cantik, sama padan, kupanjatkan doa agar mereka bahagia sehingga ke anak cucu. Ops, sampai cucu sahajakah? Bagaimana pula bila sudah bercicit? Ada yang membuat humor. Semua pasangan kalau boleh mahu kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Moga begitulah hendaknya..
Minggu depan pula majlis perkahwinan sepupuku. Lazimnya jika majlis yang melibatkan keluarga sebegini, kita akan sama-sama 'turun padang' membantu serba-sedikit persiapan majlis tersebut. Bila ramai-ramai berkumpul, di situlah kemeriahan dapat kita rasai.
Bagaimana dengan kalian? Khabarnya ada seorang dua teman blogger yang akan naik pelamin dalam masa yang terdekat. Tahniah aku ucapkan dan terima kasih kepada mereka yang menjemput. InsyaAllah aku akan menghadirkan diri. Selamat Pengantin Baru dan moga majlis tersebut akan menjadi saat terindah pada diri anda dan pasangan..
Friday, 4 December 2009
:: Kataku pada Malam

Malam itu indah
Malam itu waktu untuk kita memejam mata
Memutar mimpi-mimpi indah
Jangan takut jika mimpi itu menyesakkan dada
Jika kau bangun lagi esok hari
Tersenyumlah
Kerana mungkin ada lagi malam-malam indah untukmu
di kemudian nanti
Malam
Balutilah aku dengan selimutmu
Aku tak dapat melihatmu yang gelap pekat
Tapi aku dapat merasakan
nyaman yang kau beri
Maka ucapku.......,
Terima kasih Malam...