Amat rindu untuk menulis. Entah kenapa hari-hari yang berlalu tiada sebarang kata yang kutitipkan di sini. Kesempitan waktu bukanlah alasan kerana aku punya banyak masa cuma mungkin masa itu kuhabiskan dengan pelbagai aktiviti lain. Kutinggalkan dunia 'online' buat sementara.
Kerana sedar yang diri banyak ketinggalan perkara-perkara baru maka malam ini aku kembali. Oh, banyak cerita manis dan duka yang aku hadapi malam ini.
Antara yang terkesan di hati dan membuatkan aku sedikit ralat; baru malam ini aku dapat membaca luahan hati seorang rakan blogger yang telah kehilangan bayi yang sedang dikandung lapan bulan tidak lama dulu.. dan kini, aku sedikit terlewat untuk mengutuskan salam takziah walhal rakan ini pernah berjabat tangan denganku dan membantuku beberapa bulan yang sudah. Kerana kami tidaklah rapat cuma sekadar kenalan yang bertukar-tukar fikiran, maka kami jarang berhubung. Dan baru-baru ini aku sudah pun membayangkan yang beliau sudah selamat melahirkan dan sedang berbahagia dengan cahaya mata sulungnya itu.. Salam takziah wahai teman, InsyaAllah esok aku akan menghubungimu..
Di sini, walau sesibuk mana pun kita dan sejauh mana pun harapan kita agar setiap insan lain sedang berbahagia sama seperti yang kita sedang kecapi, sentiasalah buka hati dan setiap pancaindera agar lebih peka dengan berita dan masalah yang menimpa insan-insan lain dalam hidup kita. Kutitipkan keinsafan ini dalam diri, kerana hakikatnya, kita turut sama mengharapkan perkara yang baik dari orang lain terhadap diri kita. InsyaAllah...
p/s: Jauh di mata, dekat di hati.. : )