Friday, 18 September 2009

:: Salam Lebaran...


Lebaran menjelang tiba.. Salam Aidilfitri buat semua teman dan pengunjung yang singgah di teratakku ini. Salah dan silap, andai terlanjur kata kumohon kemaafan.. Moga gembira dan berbahagia di Aildilfitri.. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin..


Mari kita mengimbau nostalgia lama dengan salah satu lagu kegemaranku.. Selamat pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalanraya kerana ramai insan tersayang yang sedang menanti kepulangan kita.. InsyaAllah... : )



p/s: Malam ini aku akan berangkat pulang ke kampung Atuk di Endau,Rompin bersama seisi keluarga. Doakan perjalanan kami moga selamat sampai ke destinasi.. Jumpa lagiii.. Assalamualaikum..


:: credits to azreena.zafian's photostream@flickr.com

Tuesday, 8 September 2009

:: Sembang-sembang raya..

Wanita dan kecantikan tak dapat dipisahkan. Menjelang lebaran, kaum wanitalah yang paling sibuk membuat persediaan. Menghias rumah, menghias diri, tak lupa juga keperluan ahli keluarga untuk bergaya di pagi raya. Memang semulajadi kita dianugerahkan sifat sebegini. Sesuai pulalah dengan tanggungjawab kita sebagai suri dalam rumahtangga. : )

Untuk lebaran yang bakal menjelang aku belum pasti tentang persediaan yang harus aku lakukan. Baju raya? Mujur sudah beres. Kagumnya aku pada wanita-wanita yang mampu menjahit sendiri baju sendiri dan baju anak-anak. Jimat bukan? Kerana aku tak punya bakat, maka ditempah saja pada ibu saudara yang mahir. Sebelum puasa sudah dibeli kain, kerana aku kurang gemar berhimpit-himpit di gedung beli-belah di tengah bulan puasa. 'Cobaan...'

InsyaAllah, Syawal kali ini masuk tahun kedua aku dan suami dapat beraya bersama. Syukur, Alhamdulillah. Tawaran kerja di musim raya ditolak oleh suami demi untuk menggembirakanku. Kalau tak, tentu sunyi di pagi raya. : ) Untuk persiapan si dia, minggu yang mendatang baru mahu pergi meronda di sekitar KL. Lelaki kurang mengambil kisah, kurang cerewet dan tidak macam-macam yang dimahukannya. Cukup sepasang baju Melayu dan sehelai dua T-shirt.

Bila difikirkan, untuk wanita; baju kurung, blouse, tudung, kerongsang, kasut, beg tangan, dan sebagainya perlu sebagai kelengkapan diri. Itu belum termasuk sebilangan dari kita yang mengidam gelang/rantai emas baru, set sofa baru, meja makan baru, segala-galanya baru. Emm, boleh buat sang suami menggaru-garu kepala yang tidak gatal. : )

Sebagai seorang yang baru setahun jagung bergelar isteri, aku cuba belajar mendidik diri membeli mengikut keperluan. Mengutamakan yang utama. Kalau ada rezeki, barulah melunaskan hajat di hati. Perlu diingat selalu, nafsu perlu ditawan dengan akal, bukan semata-mata mengikut hati.

Apa cerita pula kuih raya, kad raya, dan duit raya..? :D
-Kuih raya 'tunjuk' atau buat sendiri?
-Ucapan melalui SMS lebih jimat dari berutus kad raya?
-Duit raya RM1 masih relevan kan...? : )

Tak ketinggalan.. balik raya, kampung siapa..? : )

Emm, cukuplah setakat itu. Yang sebenarnya tak semua berlegar dalam kotak fikiran. Sengaja berkongsi cerita raya bersama teman-teman semua, terutamanya kaum wanita yang menjadi individu paling sibuk musim-musim begini.

Bak kata pengetuaku dalam mesyuarat petang tadi.. demam raya tu simpan-simpanlah dulu, wahai cikgu semua... Hehe.. jangan pula sampai kerja terabai.. dan yang paling penting, amal ibadah kita di bulan Ramadhan.. itu yang lebih utama.. InsyaAllah, hari-hari esok, kita akan lebih beringat. Salam Ramadhan dariku.. selamat malam..



One Drop Perfumes WOMEN Celebrities' Special

p/s: Pemberian suami sempena Aidilfitri.. menggantikan botol wangian lama yang sudah kosong.. Boleh tahan, wangiiii.. : )

Saturday, 5 September 2009

:: Dua minggu sudah...

Bulan yang dirindui ini sudah dua minggu berlalu.. Alhamdulillah kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Masih berbaki dua minggu lagi.. perbanyakkan amalan kerana jika Ramadhan sudah berlalu pergi dan kita tidak melakukan satu apa pun yang bermanfaat, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang rugi.. : )

Selain solat-solat sunat, zikir, wirid dan doa, serta beramal baik, ada satu lagi cara kita untuk melipatgandakan amalan kita di bulan mulia ini, iaitu dengan bersedekah. Sesungguhnya Ramadhan, Bulan Infaq Sedekah..




Diriwayatkan dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas raldhiallahu 'anhuma : "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan; saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur'an.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang paling dermawan, juga paling mulia, paling berani dan amat sempurna dalam segala sifat yang terpuji; kedermawanan beliau pada bulan Ramadhan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini. Berbagai pelajaran yang dapat diambil dari berlipatgandanya kedermawanan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di bulan Ramadhan :

1. Bahawa kesempatan ini amat berharga dan melipatgandakan amal kebaikan.

2. Membantu orang-orang yang berpuasa dan berzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka ia memperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang.

Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam beliau bersabda: "Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya. " (HR. Ahmad dan At-Tirmidzl).

3. Bulan Ramadhan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan dari api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar. Allah Ta'ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah nescaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan. Balasan itu adalah sejenis dengan amal perbuatan.

4. Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama termasuk sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadits Ali radhiallahu 'anhu, bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luamya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. " Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badwi seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,? jawab beliau: "Untuk siapa saja yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan solat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. " (HR. At-Tirmidzi dan Abu Isa berkata, hadits ini gharib)

Semua kriteria ini terdapat dalam bulan Ramadhan. Terkumpul bagi orang mukmin dalam bulan ini; puasa, solat malam, sedekah dan perkataan baik. Kerana pada waktu ini orang yang berpuasa dilarang dari perkataan kotor dan perbuatan keji. Sedangkan solat, puasa dan sedekah dapat menghantarkan pelakunya kepada Allah Ta 'ala.

5. Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan dari api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi solat malam. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Puasa itu merupakan perisai bagi seseorang dari api Neraka, sebagaimana perisai dalam peperangan" (Hadits riwayat Ahmad, An-Nasa'i dan Ibnu Majah dari Ustman bin Abil-'Ash).

Dan dalam hadis Mu'adz radhiallahu 'anhu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api" (Hadist riwayat At-Tirmidzi dan katrrnya. "Hadits hasan shnhih. ")

6. Dalam puasa, tentu terdapat kekeliruan serta kekurangan. Dan puasa dapat menghapuskan dosa-dosa dengan syarat menjaga diri dari apa yang mesti dijaga. Padahal kebanyakan puasa yang dilakukan kebanyakan orang tidak terpenuhi dalam puasanya itu penjagaan yang semestinya. Dan dengan sedekah kekurangan dan kekeliruan yang terjadi dapat terlengkapi. Kerana itu pada akhir Ramadhan, diwajibkan membayar zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa dari perkataan kotor dan perbuatan keji.

7. Orang yang berpuasa meninggalkan makan dan minumnya. Jika ia dapat membantu orang lain yang berpuasa agar kuat dengan makan dan minum maka kedudukannya sama dengan orang yang meninggalkan syahwatnya kerana Allah, memberikan dan membantukannya kepada orang lain.

Untuk itu disyari'atkan baginya memberi hidangan berbuka kepada orang-orang yang berpuasa bersamanya, kerana makanan ketika itu sangat disukainya, maka hendaknya ia membantu orang lain dengan makanan tersebut, agar ia termasuk orang yang memberi makanan yang disukai dan kerananya menjadi orang yang bersyukur kepada Allah atas nikmat makanan dan minuman yang dianugerahkan kepadanya, di mana sebelumnya ia tidak mendapatkan anugerah tersebut. Sungguh nikmat ini hanyalah dapat diketahui nilainya ketika tidak didapatkan. (Lihat kitab Larhaa'iful Ma'arif, oleh Ibnu Rajab, hlm. 172-178.)

Semoga Allah melimpahkan taufik-Nya (kepada kita semua). Salawat dan salam semoga senantiasa dilimpahkan Allah kepada Nabi kita Muhammad, segenap keluarga dan sahabatnya.

:: credits to resource & cahayanika 's photostream@flickr.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails